KUANTAN, 7 Oktober 2023 – Keterlibatan pihak industri dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) menjadikan program yang ditawarkan terus relevan seiring dengan
keperluan semasa di industri.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, penglibatan pihak industri adalah sangat tinggi yang mana sehingga kini, lebih 14,000 buah industri terlibat membantu POLYCC dan 2,000 daripadanya adalah berstatus sangat aktif.
“Peranan industri dapat dilihat melalui pelantikan Industry Advisory Council (IAC), pembangunan kurikulum, penubuhan Industry on Campus (IOC) dan sebagainya. Hasilnya, para pelajar POLYCC menjadi rebutan majikan”, katanya pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Ke-44 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, ini dibuktikan dengan pencapaian kebolehpasaran graduan POLYCC untuk tempoh tiga (3) tahun berturut-turut adalah melebihi 90%. Malahan pada tahun 2022, kadar kebolehpasaran graduan POLYCC telah mencapai 95.32%.
“POLYCC juga berjaya menyumbang sebanyak 40% tenaga kerja teknikal terbesar negara. Data juga menunjukkan hampir 50% daripada graduan telah mendapat pekerjaan dalam bidang yang mereka pelajari”, ujarnya.
Pengarah POLISAS, Norehan Silek pula berkata, kerjasama strategik bersama pihak industri dan rakan kolaborasi juga diperlihatkan melalui sokongan menerusi pengiktirafan kecemerlangan graduan menerusi Anugerah Khas Industri, selain daripada Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Politeknik dan Jabatan, Anugerah Projek Terbaik serta Anugerah Pengarah Politeknik.
“Jumlah sumbangan dan tajaan secara keseluruhan bagi Anugerah Khas Industri untuk Majlis Konvokesyen kali ini bernilai RM 177,900 melibatkan 15 industri dan agensi. POLISAS amat berterima kasih kepada rakan-rakan kolaborasi strategik atas tajaan diberikan.
Setiap tahun juga, pelajar POLISAS yang terpilih turut mendapat tajaan biasiswa pendidikan PKT Excellence Award daripada PKT Logistics Group Sdn.Bhd. dan kali ini nilai keseluruhan adalah sebanyak RM 400,000 iaitu RM 80,000 setiap seorang yang melibatkan lima graduan cemerlang POLISAS bagi tahun 2022/2023”, katanya lagi.
Sejak tahun 2015 sehingga kini, PKT Logistics Group Sdn.Bhd. telah pun menaja sejumlah RM1.88 juta dalam bentuk biasiswa pendidikan, keutamaan adalah kepada pelajar bidang logistik yang layak sebagai pengiktirafan pencapaian akademik cemerlang oleh graduan untuk kemasukan ke program Ijazah.
Majlis Konvokesyen yang berlangsung selama dua hari sehingga 8 Oktober ini mengiktiraf 1687 pelajar yang tamat pengajian pada sesi 2 2021/2022 dan sesi 1 2022/2023. Jumlah keseluruhan siswazah yang dilahirkan POLISAS sejak 1976 sehingga kini adalah seramai 59,114 dan pada tahun ini melibatkan Jabatan Kejuruteraan Awam seramai 415 orang, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (273 orang), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (268 orang), Jabatan Perdagangan (456) dan Jabatan Teknologi Makanan (275 orang).
Majlis Konvokesyen kali ini menyaksikan graduan Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan, Muhammad Alif Syadhasif Khairul Azhar diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik bagi sidang pertama konvokesyen.
Beliau yang kini sedang menyambung pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam bidang Logistik dan Pengangkutan Maritim turut menerima Biasiswa Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi – Pelajar Cemerlang Politeknik (BYBMPT-PCP).
Seramai lima orang pelajar cemerlang POLISAS ditawarkan biasiswa ini dengan tajaan sehingga RM 8,400 setahun bagi sepanjang tempoh pengajian pada peringkat Sarjana Muda.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment