KPM pandang serius isu buli, telah laksanakan beberapa langkah atasinya

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 November 2023 – Bagi menangani isu buli yang melibatkan murid sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beberapa langkah telah diambil.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Yin ketika menjawab soalan lisan dari Ahli Parlimen Balik Pulau di Dewan Rakyat hari ini, antara usaha yang diambil bagi memastikan gejala itu ditangani adalah seperti yang berikut:

  • KPM telah melancarkan tujuh teras Nadi Keunggulan KPM. Menerusi teras dua Nadi Keunggulan KPM, KPM memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi melahirkan anak yang baik lagi cerdik dengan mewujudkan suasana harmoni yang menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme; 
  • KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2002 : Pelaksanaan Program Sekolah Selamat. Program Sekolah Selamat dilaksanakan di semua sekolah seluruh negara. Program ini bertujuan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat agar warga sekolah dapat menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kegiatan kokurikulum tanpa gangguan daripada mana-mana pihak, termasuk perbuatan gengsterisme, dadah dan buli dalam kalangan murid;
  • memantau dan mengambil langkah proaktif untuk menangani gejala sosial dalam kalangan murid sekolah oleh semua pengetua dan guru besar. KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 6 Tahun 2000: Menangani Masalah Keselamatan, Dadah dan Gengster. Antara tindakan yang perlu diambil oleh pihak sekolah adalah mengadakan peti aduan di sekolah dan asrama, mengukuhkan Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama serta mengambil tindakan dan menghukum murid yang melakukan perbuatan buli di sekolah atau asrama. Jawatankuasa anti buli telah diwujudkan di setiap JPN melalui Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin Negeri;
  • mengeratkan hubungan antara guru dan murid melalui pelaksanaan Amalan Guru Penyayang di sekolah. Melalui Surat Siaran KPPM Bilangan 4 Tahun 2012: Pelaksanaan Amalan Baik Guru Penyayang adalah bertujuan untuk menerapkan budaya penyayang dalam kalangan warga sekolah, meningkatkan hubungan murid dan guru serta mengeratkan hubungan sesama murid. Usaha ini dapat mengurangkan risiko berlakunya gejala sosial di sekolah;
  • mengadakan kerjasama erat dengan pihak Polis Diraja Malaysia melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). Setiap sekolah menengah dan sekolah rendah mempunyai seorang PPS yang sentiasa mendampingi dan bekerjasama dengan pihak sekolah, termasuklah mengadakan program untuk mencegah buli; 
  • menyediakan saluran pelaporan bagi membolehkan pihak sekolah melaporkan kes buli kepada KPM. Pada masa kini, KPM telah menyediakan portal aduan buli yang membolehkan warga sekolah termasuk murid dan ibu bapa serta orang awam membuat aduan terus kepada pihak Kementerian dan maklumat yang diterima akan dilindungi. Terdapat empat saluran utama Portal Aduan Buli iaitu melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, e-mel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp;
  • menyediakan khidmat kaunseling kepada murid-murid yang didapati cenderung untuk melakukan perbuatan salah laku terhadap murid lain; dan
  • terkini, KPM melancarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Di Institusi Pendidikan. Garis panduan ini menjadi rujukan kepada semua pihak berkepentingan di institusi pendidikan dalam menjelaskan kefahaman tentang salah laku buli dan implikasinya serta peranan masing-masing dalam pengurusan salah laku buli terutamanya terhadap pembuli dan mangsa buli.

Tambah beliau, KPM sentiasa komited untuk meningkatkan lagi kesedaran murid bagi mencegah gejala buli di sekolah.

Katanya, KPM juga amat menghargai peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat yang sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah bagi menangani gejala buli dalam kalangan murid di sekolah.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation