KUALA LUMPUR, 3 November 2023 – Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah merasmikan pembukaan Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) melibatkan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer bermula dari Setiawangsa ke Kerinchi yang dibuka secara rasmi kepada pengguna jam 11:59 malam, 3 November 2023.
Sebahagian jajaran Lebuhraya SPE iaitu Seksyen 4 (Setiawangsa – Taman Melati) sepanjang 4.4 km telah dibuka kepada pengguna pada 21 Disember 2021.
Lebuhraya SPE ini dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi – Salak (Seksyen 1), Salak – Pandan (Seksyen 2), Pandan – Setiawangsa (Seksyen 3) dan juga Setiawangsa – Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 km, laluan 3 lorong dua hala dan 7 persimpangan bertingkat.
Lebuhraya SPE ini menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya SPRINT, AKLEH, DUKE, MRR2 dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di Bandaraya Kuala Lumpur.
Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh pihak perunding trafik, lebuh raya ini dijangka mampu mengurangkan sehingga 30 % masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna terutamanya pada waktu puncak melibatkan laluan ke utara, timur, barat dan selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.
Pembukaan sepenuhya Lebuhraya SPE ini, pastinya akan membawa impak signifikan terhadap usaha Kerajaan untuk membantu menyuraikan trafik bagi Bandaraya Kuala Lumpur selain usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk keselesaan rakyat setempat. Sebagai contoh, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak dan sebaliknya dijangka akan mengambil masa hanya 35 minit sahaja berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.
Selaras dengan Kempen MYJalan iaitu inisiatif KKR yang bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti dan menggalakkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya dan lebuh raya adalah tanggungjawab bersama, diharapkan semua pengguna dapat bersama-sama memupuk rasa tanggungjawab menjaga dan menyayangi infrastruktur awam seperti SPE ini agar manfaat dan impak positifnya berterusan.
Projek Lebuhraya SPE juga hari ini telah menerima penganugerahan “Malaysia Book of Records” (MBOR) bagi dua (2) kategori binaan iaitu:
(a) Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction) sejauh 2.104 km, dan
(b) Longest Elevated Land Bridge sejauh 20.686 km
Menteri Kerja Raya turut menasihatkan semua pengguna Lebuhraya SPE agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan supaya tidak memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya untuk mengambil gambar atau berswafoto. Ini boleh membahayakan bukan saja diri sendiri malah pengguna lebuh raya yang lain juga.
Tol diberikan secara percuma selama 30 hari sehingga 2 Disember 2023, jam 11.59 malam di Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang (dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur AKLEH menuju ke SPE) dan Plaza Tol Setiawangsa (arah Selatan dan Utara).
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment