Oleh: Prof. Madya Dr. Zalina Zakaria
Baru-baru ini, berkuatkuasa pada 18 November 2023, Muslim di India dan di luar India telah dikejutkan dengan dalam satu langkah kontroversi yang diambil oleh kerajaan wilayah Uttar Pradesh di India, yang diketuai oleh BJP, sebuah parti fundamentalis di India yang mengenakan larangan ke atas pengeluaran, penyimpanan, pengedaran dan penjualan produk makanan, ubat-ubatan dan kosmetik yang disahkan halal. Malah dikatakan bahawa kerajaan wilayah ini telah lama merancang untuk mengenakan larangan ke atas produk yang disahkan halal. Keputusan ini telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pelbagai masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan umat Islam di India bahkan di luar India. Kerajaan wilayah Uttar Pradesh menyatakan bahawa larangan/sekatan tersebut adalah berdasarkan isu kesihatan awam dan untuk mencegah kekeliruan. Malah mereka berhujah bahawa pensijilan halal, yang menjadi tanda aras pematuhan kepada undang-undang Islam, mengganggu piawaian kualiti yang ditetapkan oleh Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006. Walau bagaimanapun, rasional ini telah disambut dengan keraguan dan kritikan, dengan ramai yang melihatnya sebagai percubaan untuk terus meminggirkan umat Islam di India. Tindakan kerajaan pimpinan BJP di Uttar Pradesh ini dilihat oleh banyak pihak sebagai sebahagian daripada dasar anti-Muslim yang semakin meluas.
Pensijilan halal adalah penting bagi umat Islam, kerana ia memastikan makanan dan produk lain mematuhi undang-undang pemakanan dalam Islam. Larangan itu bukan sahaja menjejaskan keperluan amalan agama tetapi pada masa yang sama juga berpotensi menyasarkan perniagaan yang dimiliki atau memenuhi keperluan orang Islam. Sekatan/larangan pengeluaran, penyimpanan, pengedaran dan penjualan produk makanan, ubat-ubatan dan kosmetik yang disahkan halal ini melanggar hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan bebas.
Pengharaman produk halal ini dilihat dalam konteks peningkatan Islamofobia di India dan seluruh dunia. Dasar seperti ini, yang secara langsung memberi kesan kepada amalan agama Islam, boleh memburukkan lagi diskriminasi yang sudah sedia ada dan terasing di kalangan masyarakat Islam. Ia juga menimbulkan persoalan tentang komitmen terhadap kebebasan beragama dan nilai sekular dalam demokrasi terbesar di dunia. Malah dasar ini menyokong dakwaan Suruhanjaya Amerika Syarikat tahun lalu yang mengatakan bahawa terdapat kemerosotan ketara kepada prinsip kebebasan beragama di India di bawah pemerintahan nasionalis Hindu lalu mengesyorkan sekatan yang disasarkan ke atas penindasan yang sedemikian. Malah ia adalah tahun ketiga berturut-turut Suruhanjaya tersebut menegur dan meminta India diletakkan dalam senarai ‘negara yang menjadi perhatian khusus’.
Berhubung dengan alasan yang dikemukakan oleh kerajaan wilayah Uttar Pradesh bahawa pensijilan halal mengganggu piawaian kualiti yang ditetapkan oleh Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006, sejauh manakah dakwaan tersebut adalah benar? Persijilan halal adalah perincian kepada prosedur atau suatu garis panduan yang dijadikan rujukan pihak pengusaha industri halal yang ingin memohon sijil pengesahan halal yang dikeluarkan oleh mana-mana badan persijilan halal. Jika diteliti secara lebih mendalam, pensijilan halal adalah suatu proses untuk memastikan pengusaha industri mengamalkan konsep halalan tayyiban secara berkesan dalam penghasilan produk makanan. Tayyiban bermaksud “baik” (tayyib) yakni bersih, suci, selamat, berkualiti dan tidak memudaratkan. Ia bukan sahaja melibatkan pemilihan bahan ramuan semata-mata tetapi juga merangkumi keseluruhan proses bermula pada peringkat penyediaan bahan, proses pengilangan,
pengeluaran, penyimpanan, pemindahan, pengedaran sehinggalah produk tersebut disajikan kepada pengguna. Sebenarnya jika diteliti terhadap prosedur sedia ada, terdapat empat elemen penting yang membuktikan pensijilan halal adalah suatu usaha berterusan mendidik pengusaha beramal dengan konsep halalan tayyiban. Elemen tersebut termasuklah pematuhan halal terhadap ramuan makanan, amalan baik dalam keseluruhan pengendalian makanan, pelaksanaan sistem jaminan halal dan pematuhan kepada perundangan berkaitan dan kawalan yang berterusan oleh pihak pengurusan pensijilan halal.
Pematuhan kepada perundangan berkaitan adalah termasuklah pematuhan kepada aspek kualiti dan keselamatan makanan yang menjadi kewajiban di Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006 atau perundangan berkaitan makanan di mana-mana negara sekalipun. Oleh itu, persijilan halal telah menjadi satu sistem kualiti di peringkat global, kerana piawaian yang ditekankan dalam piawaian makanan halal adalah tinggi dan ini termasuk aspek kualiti dan kebersihan. Jadi apabila pelanggan membeli produk yang telah mendapat pengiktirafan halal, ia juga dijamin bersih dari segi pemprosesan dan kualiti makanan tersebut. Selain itu, produk halal terutama yang dihasilkan untuk eksport perlu mematuhi International Standard ISO 22000 Food Safety Management, iaitu piawaian makanan yang paling ketat.
Secara asasnya terdapat prinsip kesaksamaan dan keadilan ditegakkan dalam masyarakat yang pelbagai seperti India. Namun begitu, dasar wilayah India tersebut yang mengambil tindakan menyekat dan melarang kesemua aktiviti berkaitan produk halal adalah bertentangan dengan prinsip mereka sendiri. Jika dilihat, hujah yang dikemukakan tentang larangan produk halal bahawa larangan itu bukan mengenai kesihatan awam tetapi mengenai lain-lain terutamanya dasar peminggiran minoriti agama yang dilihat begitu ketara di India. Larangan ke atas produk yang disahkan halal di Uttar Pradesh adalah perkembangan yang amat membimbangkan, bukan sahaja untuk masyarakat Islam tetapi bagi sesiapa yang menghargai kebebasan beragama.
…
Penulis merupakan Pengarah, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya dan Profesor Madya, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di zalina_jsu@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment