Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 Iktiraf Peningkatan Prestasi Sektor Industri Malaysia

Spread the love

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024, bagi mengiktiraf syarikat-syarikat Malaysia yang menunjukkan kecemerlangan dari segi amalan pengurusan, kualiti produk dan perkhidmatan serta memberikan nilai tambah berterusan kepada pemegang taruh. Sejak diperkenalkan pada tahun 1991, anugerah ini telah menjadi acara dwi-tahunan yang dinanti-nantikan oleh para pemain industri.

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan dalam AKI 2024, dengan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan (tiga kategori), Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (empat kategori), dan Anugerah Kecemerlangan Kategori Terbuka (satu kategori). Selain itu, satu pemenang dari lapan kategori ini telah dipilih untuk menerima Anugerah Perdana Menteri, anugerah paling berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan industri oleh kerajaan.

Majlis penganugerahan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, yang juga telah menyampaikan Anugerah Perdana Menteri kepada pemenang yang terpilih. Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, selaku tuan rumah, turut bersama meraikan para pemenang dan peserta.

Antara kategori lain yang dipertandingkan adalah Anugerah Kecemerlangan Syarikat Paling Berpotensi, yang diberikan kepada syarikat yang ditubuhkan tidak melebihi lima tahun dan menunjukkan rekod positif dari segi jualan dan keuntungan serta berpotensi untuk terus berkembang. Anugerah Kecemerlangan Industry4WRD yang diperkenalkan pada tahun 2020 turut dipertandingkan dengan dua kategori berbanding satu kategori pada tahun 2020, iaitu untuk syarikat dengan jualan tidak melebihi RM50 juta dan syarikat dengan pusingan jualan RM50 juta dan ke atas.

Anugerah baharu yang diperkenalkan pada tahun ini ialah Anugerah Kecemerlangan ESG (Environmental, Social and Governance), yang mengiktiraf usaha syarikat dalam pematuhan ESG untuk memangkin kelestarian. Ini mencerminkan komitmen MITI dalam menggalakkan amalan perniagaan yang lestari dan bertanggungjawab, selaras dengan salah satu misi Pelan Induk Perindustrial Baharu 2030 (NIMP 2030).

Penilaian bagi AKI 2024 adalah berdasarkan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF), sebuah rangka penilaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan digunapakai untuk menggalakkan amalan perniagaan
cemerlang bertaraf dunia. Penilaian berkaitan IR4.0 dan ESG juga dirangka dengan teliti oleh MITI dan agensi-agensi yang terlibat dari awal pelaksanaan IR4.0 dan ESG untuk industri.

Tengku Zafrul berkata, “Pengiktirafan AKI memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan persaingan yang sihat dan pembaharuan berterusan dalam sektor industri dan perdagangan kita. Kami di MITI juga melihat AKI sebagai salah satu inisiatif utama yang menyokong transformasi industri Malaysia bagi mendorong pertumbuhan ekonomi yang cemerlang, inklusif dan lestari, selaras dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Sebagai Pemacu Potensi Global, MITI yakin AKI 2024 akan terus menggalakkan budaya kecemerlangan dalam kalangan syarikat-syarikat Malaysia dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapai kejayaan yang berterusan agar mampu bersaing di peringkat global.”

Penilaian AKI diterajui oleh Majlis AKI yang dilantik oleh MITI dan dipengerusikan oleh Tan Sri Yong Poh Kon. Majlis AKI ini dibantu oleh ahli-ahli majlis yang terdiri daripada tokoh-tokoh industri dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan. Mereka bertanggungjawab dalam menentukan kaedah dan kriteria penilaian, memuktamadkan kategori, dan memilih pemenang bagi setiap kategori. Proses penilaian dan penyenarai pendek syarikat-syarikat yang layak dicalonkan sebagai pemenang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penilai yang menyokong Majlis AKI.

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024, sila layari laman web rasmi MITI di aki.miti.gov.my.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation