Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Dalam institusi keluarga, bapa memainkan peranan yang penting. Ibaratnya bapa merupakan nakhoda yang mengemudi bahtera sebuah rumahtangga di samudera institusi keluarga. Dalam rumahtangga, kehadiran sosok seorang bapa sangat penting di samping seorang ibu. Bapa bertanggungjawab memastikan segala keperluan rumahtangga terpenuhi dan berjalan lancar. Bapa juga bertindak sebagai pelindung dan pemberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Di samping itu, bapa adalah individu yang berperanan dalam membentuk keteguhan dan kestabilan jiwa anak-anak.
Peranan bapa disebut jelas dalam hadis Nabi SAW. Dari Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpin, seorang ketua adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas kepimpinannya, seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut, bapa berperanan penting dan bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Di antara peranan tersebut termasuklah tanggungjawab bapa memberi nafkah dan menyediakan keperluan asas kepada anak-anak. Ia merangkumi menyediakan pendidikan yang baik untuk membina sikap beragama dan berilmu bagi anak-anak, menyediakan perbelanjaan untuk makanan yang mencukupi, berkhasiat dan seimbang sesuai dengan tumbesaran anak-anak, menyediakan pakaian yang sesuai dan layak dipakai oleh anak-anak dan menyediakan kediaman atau rumah yang sesuai dan layak dihuni oleh anak-anak, juga perbelanjaan yang melibatkan penjagaan kesihatan anak-anak. Ia adalah sebaik-baik perbelanjaan yang diganjari pahala yang besar. Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik dinar yang dinafkahkan seseorang adalah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya.” (HR Muslim)
Selain itu, bapa juga berperanan dalam membentuk akhlak anak-anak. Contoh teladan yang baik akan ditiru dan diikuti oleh anak-anak. Ini disebabkan bapa adalah sebahagian daripada pencorak karakter dan perlakuan anak-anak kerana merekalah agen sosialisasi primer. Berdasarkan hadis Nabi SAW: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR al-Bukhari)
Dalam masa yang sama, kehadiran bapa juga dapat menjadi pelindung dan penguat emosi anak-anak. Anak-anak dapat membesar dengan penuh kasih sayang, yakin diri dan rasa selamat di bawah jagaan seorang bapa. Dalam keadaan ini, bapa berperanan dalam membentuk keluarga yang baik dan membawa mereka untuk masuk ke syurga. Ini disebabkan dalam al-Quran, surah al-Tahrim, ayat 6, Allah SWT telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.”
Pada masa kini tidak dapat dinafikan, terdapat segelintir bapa yang melarikan diri daripada tanggungjawab, melakukan penderaan dan kekerasan dalam rumahtangga, juga mengabaikan nafkah-nafkah dan kasih sayang terhadap anak-anak. Mereka dengan rasa tidak bersalah telah berlepas tangan dan membiarkan isteri atau mantan isteri membesarkan anak-anak tanpa peranan seorang bapa. Sedangkan pengabaian ini termasuk dalam dosa. Nabi SAW bersabda: “Cukuplah seseorang itu dikatakan berdosa ketika dia menahan nafkah dari orang yang menjadi tanggungannya.” (HR Muslim).
Namun begitu, apa yang menyedihkan dalam masyarakat kini, jasa bapa seringkali dilupakan. Bapa tidak dihormati dan disayangi oleh anak-anak, malah dalam sesetengah kes, bapa mengalami pengabaian dan penderaan. Terdapat anak yang tergamak membuang bapanya kerana tidak mahu menjaga mereka. Bapa yang telah tua dan uzur dianggap sebagai tidak berguna dan membebankan. Selain itu, ada bapa yang ditempatkan dan dibiarkan terus di tempat penjagaan warga emas. Bagi anak-anak yang berkerjaya, kesibukan dengan rutin harian dan keluarga mereka menyebabkan si bapa terabai.
Asasnya, bapa mempunyai kedudukan yang mulia dalam Islam. Dalam al-Quran, Allah SWT telah memerintahkan para anak agar berbuat baik, tidak berkasar, dan berkomunikasi dengan sopan santun dengan ibu bapa, terutama ketika usia mereka telah tua. Dalam surah al-Isra’ ayat 23-24, Allah SWT berfirman: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekali pun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.’”
Tegasnya, bapa adalah insan yang telah berkorban tenaga dan masa untuk mencari nafkah demi memenuhi kebajikan keluarga. Bahkan ketika membesarkan anak-anak, bapa telah mengerah keringat siang dan malam untuk mencukupkan keperluan anak-anak di rumah. Hinggakan bapa jarang ada di rumah kerana keluar mencari rezki. Bapa juga adalah sosok yang kuat dan tidak pernah mengeluh atas susahnya kehidupan dan mencari rezki.
Secara keseluruhannya, bapa adalah tulang belakang keluarga dalam mencari nafkah demi kesejahteraan dan kestabilan keluarga. Tanggungjawab ini melibatkan banyak aspek kehidupan keluarga, dari menyediakan keperluan asas sehinggalah memastikan kesihatan dan pendidikan anak-anak terjaga. Pengorbanan dan usaha bapa dalam mencari nafkah harus dihargai oleh setiap ahli keluarga.
Oleh itu, hargailah dan sayangilah bapa, kerana tanpa usaha dan pengorbanan mereka, kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga tidak dapat dicapai. Dalam hal ini, Allah memerintahkan anak-anak agar berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam surah Luqman ayat 14, Allah SWT berfirman: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.”
Justeru, ketika mempunyai kesempatan untuk berbakti semasa bapa masih hidup, maka manfaatkanlah peluang yang diberikan oleh Allah SWT. Berbuat baiklah, ambil berat tentang diri mereka, bertanya khabar dan keadaan kesihatan mereka, ambil tahu urusan makan dan minum mereka, serta pelbagai bentuk khidmat yang diperlukan. Namun, jika bapa telah meninggal dunia, anak-anak masih lagi dapat meneruskan kebaktian buat mereka dengan melakukan amal kebajikan, sedekah dan kiriman doa.
Jelasnya, sebagai anak, kita sentiasa berhutang dengan bapa akan titisan-titisan keringatnya dalam mencari nafkah kepada keluarga dan membesarkan anak-anak. Walaupun jasa bapa tidak mampu dibalas sepenuhnya, namun jadilah anak yang terbaik dalam berkhidmat kepadanya. Jangan hanya membataskan sehari untuk meraikan hari bapa, sebaliknya jadikan setiap hari sebagai hari yang penuh bermakna kerana dapat berkhidmat dan membahagiakan bapa hingga ke akhir hayat.
…
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment