Pemikiran kreatif adalah sebuah kemahiran yang penting bagi golongan remaja kerana ia meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, dan membolehkan mereka menangani apa jua cabaran dengan berkesan. Selain itu, kemahiran ini juga membantu proses komunikasi, membina kesejahteraan emosi, dan turut memupuk pemikiran inovatif.
Secara keseluruhannya, memupuk pemikiran kreatif dalam kalangan remaja sebenarnya akan menyokong pertumbuhan peribadi, dan memperluas perspektif mereka terhadap kehidupan. Ini pastinya bakal melengkapkan mereka untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat pada masa hadapan.
Atas kesedaran itu, sekumpulan 24 orang mahasiswa dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) telah meluangkan masa bersama 40 orang pelajar Tingkatan Dua SMK St Gabriel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Program yang dinamai “Sulam: An Prihatin” ini merupakan sebahagian daripada kerja kursus bagi kursus teras universiti untuk mahasiswa berkenaan, iaitu Pembinaan Komuniti, Tindakan Sosial dan Inovasi. “Antara lainnya, objektif pembelajaran kerja kursus ini adalah memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mendekati kelompok komuniti yang dirasakan mempunyai potensi dalam menjadi ejen perubahan masyarakat dalam mengharungi cabaran dunia pasca pandemik yang semakin tidak menentu,” jelas Dr Asbah Razali, pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi yang merupakan penasihat program.
Selain memupuk kemahiran pemikiran kreatif, aktiviti-aktiviti interaktif yang dilaksanakan turut bertujuan untuk melatih pelajar agar menguasai kemahiran bersosial, dan seterusnya membina sahsiah diri yang positif agar mampu menjadi suri teladan masyarakat kelak. “Program ini diharap dapat meningkatkan semangat dan motivasi pelajar untuk lebih berkeyakinan dalam setiap aspek tugas yang dilakukan. Ia juga dapat membentuk pelajar agar lebih dinamik, progresif dan berkeperibadian unggul dan menjadikan program ini sebagai salah satu pengalaman yang berharga dalam kehidupan mereka,” kata Dr Asbah lagi.
Menurut Nurulqurratu’aini Sulaiman, mahasiswa UM yang merupakan pengarah program, kesemua aktiviti yang dilaksanakan adalah berbentuk interaktif dan memerlukan kerjasama dari kesemua ahli Kumpulan, termasuklah sukarelawan UM. “Dengan cara ini, bukan Sahaja dapat menimbulkan suasana yang ceria, malah secara tidak langsung telah melatih para remaja untuk membina kemahiran berinteraksi dengan orang lain di dalam sebuah konteks kemasyarakatan yang praktikal,” katanya lagi.
Menariknya, berbeza dengan program interaktif di antara sukarelawan dari pelajar universiti dan peserta dari remaja sekolah sebegini, “Sulam: An Prihatin” turut memuatkan sebuah aktiviti debat yang membincangkan isu semasa kemasyarakatan yang melibatkan peranan golongan remaja. “Secara tidak langsung, aktiviti ini telah memupuk sifat keneranian mereka, terutamanya dalam mengutarakan pendapat masing-masing. Di penghujung aktiviti, mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan sesama mereka. Ia diharapkan dapat membantu para pelajar untuk meningkatkan daya pemikiran mereka dengan lebih luas di samping dapat membantu meningkatkan keyakinan diri berhadapan dengan rakan-rakan dan masyarakat umumnya,” kata Nurulqurratu’aini lagi.
Turut hadir bersama pelajar sekolah ialah Ahmad Nizam Ahmad Syukri, Penolong Kanan Petang SMK St. Gabriel, Kuala Lumpur. Beliau mengalu-alukan kehadiran mahasiswa UM ke sekolah dalam sama-sama berusaha memantapkan hubungan dua hala antara universiti dan komuniti setempat. “Saya percaya, program ini akan membangunkan potensi diri pelajar SMK St. Gabriel, dan seterusnya meningkatkan kemahiran sosial dan sikap bertanggungjawab mereka melalui aktiviti yang dijalankan. Paling penting, program ini akan meningkatkan kesedaran para pelajar tentang kepentingan menimba ilmu sehingga ke menara gading,” katanya.
Dr. Asbah menyimpulkan bahawa program seumpama ini adalah amat wajar diteruskan pada masa akan datang agar dapat menjadi aspirasi kepada golongan mahasiswa dan pelajar sekolah untuk lebih berkeyakinan dan berani berhadapan dengan masyarakat kelak. “Pelajar sekolah terutamanya merupakan aset negara pada masa hadapan, dan melalui program sebegini, mereka dapat membangunkan diri mereka dengan lebih kompeten. Program seperti ini juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi ikatan dan jaringan sosial di antara Universiti Malaya dan SMK St. Gibrel, seterusnya menjadi platfom kolaborasi dan kerjasama yang lebih luasdan kreatif pada masa akan datang,” katanya mengakhiri temubual.
……
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati dengan menghubungi Dr. Asbah Razali melalui emel di asbahrazali@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment