Oleh Dr Mohd Firdaus Abdullah
Baru-baru ini, bertempat di Stadium Universiti Putra Malaysia, saya berkesempatan menonton perlawanan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 antara pasukan Malaysia menentang Hong Kong. Dalam perlawanan tersebut, Malaysia tewas dengan keputusan 70 berbalas 6 kepada pasukan yang berada di ranking ke-24 dunia itu.
Namun, saya yakin pasukan Malaysia, atau dikenali sebagai Bunga Raya, yang berada di kedudukan ranking ke-47 dunia ini mampu memberikan persembahan yang lebih baik sekiranya mempunyai program dan perancangan yang strategik. Salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan adalah melalui program naturalisasi, sebagaimana yang dipraktikkan oleh pasukan ragbi Hong Kong.
Walaupun saya akui terdapat kemungkinan inisiatif sebegini akan menimbulkan perdebatan, pendekatan ini sebenarnya dapat memberikan peningkatan serta-merta dari aspek kemahiran, pendedahan antarabangsa, dan kelebihan daya saing, kepada pasukan ragbi kebangsaan. Dan peningkatan ini sudah pun berjaya dibuktikan di dalam sebuah pasukan sukan kebangsaan.
Lihat saja peningkatan prestasi yang dibawakan oleh pasukan Harimau Malaya. Saya tidak menyatakan bahawa naturalisasi adalah faktor mutlak kepada kebangkitan mereka, namun tidak dapat dinafikan bahawa keterlibatan pemain naturalisasi menjadi antara faktor kejayaan yang diperoleh pasukan itu. Kini, hampir 15 pemain naturalisasi pernah dan sedang bermain bagi pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia, yang membawa Malaysia menduduki kedudukan 135 secara purata dalam 6 tahun kebelakangan ini.
Naturalisasi, yang melibatkan pemberian kewarganegaraan kepada pemain asing untuk mewakili Malaysia dalam sukan ragbi antarabangsa, dapat menangani beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh sukan ini. Pemain asing, terutamanya yang mempunyai pengalaman dalam liga profesional, membawa kemahiran lanjutan dan pemahaman mendalam tentang permainan, lantas meningkatkan standard keseluruhan permainan dan menjadi penanda aras bagi pemain tempatan.
Selain itu, pemain naturalisasi turut mempunyai pengalaman yang sangat berharga dalam persekitaran pertandingan berprestasi tinggi, yang pastinya mampu mempersiapkan pasukan Malaysia untuk pertandingan antarabangsa dengan lebih baik. Tambahan pula, kemasukan pemain asing yang berpengalaman dapat segera meningkatkan prestasi pasukan, menjadikan Malaysia lebih kompetitif di pentas global dan berpotensi membawa pulang keputusan pertandingan yang lebih baik dan pengiktirafan yang lebih besar.
Dengan menggabungkan bakat asing secara strategik, Malaysia dapat meningkatkan kelebihan daya saing, mempercepat perkembangan pemain tempatan, dan meningkatkan profil ragbi dalam negara. Ia adalah strategi yang boleh melengkapi usaha berterusan pelbagai pihak, baik persatuan sukan, kelab persendirian, mahu pun kerajaan, untuk memajukan sukan ini dan membuka jalan kepada kejayaan jangka panjang di peringkat antarabangsa. Matlamat utama seharusnya adalah pembangunan ekosistem ragbi yang seimbang dan mampan di mana pemain naturalisasi dan bakat tempatan dapat bekerjasama dan berkembang bersama.
Walaupun pemain naturalisasi menawarkan banyak manfaat, menangani kebimbangan yang kemungkinan timbul juga adalah sangat penting. Satu kebimbangan yang sering ditimbulkan adalah kesan terhadap pemain tempatan, kerana kemasukan bakat asing mungkin mengehadkan peluang atlet tempatan untuk diketengahkan. Namun ini sebenarnya boleh diatasi dengan mengamalkan pendekatan yang seimbang, di mana pemain asing itu saling melengkapi dan meningkatkan, dan bukannya menggantikan bakat tempatan.
Peluang mewakili negara seharusnya menjadi sesuatu yang dibanggakan, dan memastikan pemain naturalisasi untuk komited dengan matlamat pasukan dan negara adalah amat penting. Mereka perlu dipastikan supaya mempunyai semangat juang yang sejajar dengan ahli pasukan tempatan dalam membawa maruah negara di dalam sesebuah pertandingan.
Juga perlu diakui yang strategi penggunaan pemain naturalisasi ini bukanlah sesuatu yang mampan dan dijadikan penyelesaian jangka panjang. Ia hanyalah sebahagian daripada strategi pembangunan sukan ragbi yang lebih luas, membabitkan pelaburan pembangunan sukan di peringkat akar umbi, pendidikan kejurulatihan, dan penambahbaikan infrastruktur sukan ragbi di seluruh negara.
Kesimpulannya, naturalisasi dalam sukan, khususnya ragbi, adalah strategi pedang bermata dua. Di satu sudut, ia boleh meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan, menaikkan keterlihatan global, dan memperhebat potensi ekonomi melalui industri sukan secara serta-merta. Di sudut yang lain pula, kegagalannya berkemungkinan boleh mencetuskan isu nasionalisme yang sempit, dan seterusnya merencat perancangan dan pembangunan industri sukan negara.
Naturalisasi adalah sebuah proses dan isu yang rumit, dan memerlukan pelaksanaan yang cermat dan berhati-hati oleh semua pihak dalam industri sukan, demi memaksimumkan faedah dan manfaatnya kepada kita semua.
Siapa tahu, satu hari nanti mungkin pasukan Bunga Raya juga mampu membuat kejutan sebagaimana dilakukan oleh pasukan naturalisasi UAE (ranking ke-73 dunia) yang mengalahkan Korea Selatan (ranking ke-33 dunia, ke-3 Asia) dengan mata 36 berbalas 32 di ARC 2024?
…
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di firdaus.abdullah@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment