Pameran Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim Memperingati Seorang Seniman

Spread the love

KUALA LUMPUR 9 Julai 2024 – Balai Seni Negara mengadakan pameran “Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim” bermula 26 Jun 2024 hingga 21 Januari 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara. Pameran arkib tu menghimpunkan koleksi nadir Mustapa Hj. Ibrahim yang telah didaftarkan sebagai koleksi seni visual negara seperti fotografi hitam putih dan warna, manuskrip puisi, cetakan sutera saring, catan serta dua buah arca.

Pameran itu turut bertujuan untuk menyebar kesedaran ‘pendokumentasian’ dalam kalangan seniman-seniman muda untuk membangunkan arkib mereka sendiri sebagai kepentingan nilai sejarah seni di masa hadapan.

Mustapa Hj. Ibrahim dilahirkan pada tahun 1946 di Bagan Datuk, Perak dan meninggal dunia pada 28 Mac 2024 di Selangor. Beliau adalah tokoh pelukis yang menjadi penggerak kepada penubuhan kumpulan seniman yang digelar ‘Anak Alam’ sekitar tahun 1970-an. Mustapa Hj. Ibrahim bukan sahaja seorang pelukis, malah beliau berbakat sebagai penyair, pelukis ilustrasi, pemain teater, pereka prop teater dan pemuzik alam (gendang dan bungkau). Selain itu, beliau adalah pelaku gerak spontan yang kisah dan catatan senimannya perlu didokumentasikan dalam sebuah naskhah penerbitan seni visual negara.

Penglibatan beliau dalam seni bermula apabila beliau mempelajari seni lukis dengan mengikuti kelas lukisan yang dianjurkan Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS) di Studio Taman Budaya, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada akhir 1960-an. Beliau kemudian mula giat melukis secara serius melalui pelukis potret terkenal seperti Mohd Hoessein Enas dan Mazeli Mat Som.

Mustapa Hj. Ibrahim adalah seorang seniman yang inovatif dan berdedikasi tinggi. Ia dapat dilihat menerusi hasil seninya, di mana beliau sentiasa meneroka pelbagai pembaharuan dalam mengekspresikan diri dan karya seni sekaligus menjadikan ia bermakna serta berkesan. Terdahulu, karya seni beliau pernah dipamerkan di Balai Seni
Negara menerusi “Pameran Pemandangan Malaysia” pada tahun 1972, “Pameran Warisan Endau/Rompin” pada 1985, “Pameran Terbuka Balai Seni Lukis Negara” pada tahun 1989 dan banyak lagi.

Mustapa Hj. Ibrahim adalah tokoh seniman yang harus dikenang. Justeru, orang ramai dijemput hadir untuk melawat pameran “Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim” dan menghayati karya seni beliau di Galeri Potret, Balai Seni Negara bermula pada 26 Jun 2024 hingga 21 Januari 2025. Masuk adalah percuma. Maklumat lanjut layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation