Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Khairul Naim bin Che Nordin
Di Malaysia, saban tahun kita menyambut Maal Hijrah bersempena masuknya tahun baru Islam. Pelbagai perbahasan telah dibincangkan oleh para ilmuwan tentang Hijrah, namun apa yang juga perlu direnungi ialah maksud dan tujuan sambutan itu diadakan. Ia bukan sekadar untuk memperingati peristiwa bersejarah hijrah Nabi Muhammad dan para sahabat ke bumi Yathrib, tetapi penghijrahan itu sendiri sarat dengan pengajaran dan panduan yang bermakna.
Kemahuan untuk berhijrah memerlukan suatu tekad, keazaman dan pengorbanan yang tinggi. Bayangkan, umat Islam di kala itu perlu meninggalkan tanah air tempat kelahiran, – mungkin selamanya tanpa mengetahui bila akan kembali- ; meninggalkan harta benda yang telah sekian lama diusahakan; serta meninggalkan ahli keluarga dan sahabat handai yang hidup dan membesar bersama. Perjalanan hijrah itu pula tidak mudah, terpaksa keluar secara bersembunyi dibimbangi ditangkap dan dihalang musyrikin Mekah, dan perlu pula melalui permusafiran panjang di padang pasir yang panas dan mencabar. Sudahlah begitu, Yathrib yang menjadi tempat tujuan belum diketahui bagaimanakah keadaannya. Di mana tempat mereka mahu tinggal, bagaimana mahu menyara hidup di tanah asing dan bagaimana pula penerimaan penduduk di sana. Oleh itu, keputusan untuk keluar berhijrah itu sendiri bukan suatu yang mudah, apatah lagi bila difikirkan persoalan di atas. Nabi maklum tentang hal ini, maka baginda memberikan pesan yang jelas, mengandungi sisi iman, ikhlas dan tawakkal kepada Allah dalam hadis yang bermaksud:
Dari Abu Hafs ‘Umar bin al-Khattab r.a, katanya: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya segala amalan itu bermula dari niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu (ia akan memperolehi berdasarkan) untuk apa diniatkannya. Maka barang siapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa hijrahnya untuk dunia, maka ia maksudnya itu akan terpenuhi atau kerana seorang wanita, maka ia akan mengahwininya. Oleh yang demikian hijrahnya adalah berdasarkan kepada maksud apa hijrah itu dilakukan.”
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di permulaan kitabnya Sahih al-Bukhari, di kitab al-Iman dan di lima tempat yang lain di dalam Sahihnya. Imam Muslim meletakkan hadis ini di kitab al-Imarah dalam Sahih Muslim, manakala Imam Abu Daud di kitab al-Talaq di dalam Sunan Abu Daud. Imam al-Tirmidhi meriwayatkan hadis ini di kitab Fadhail Jihad di dalam Sunan al-Tirmidhi, Imam Ibnu Majah di kitab al-Zuhd, di dalam Sunan Ibnu Majah manakala Imam al-Nasaie di kitab al-Taharah di dalam Sunan al-Nasaie. Hadis ini juga diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, al-Daraqutni, Ibnu Hibban dan al-Bayhaqi.
Para ulama meletakkan hadis ini di kedudukan yang tinggi dan penting kerana memperingatkan umat Islam untuk memperbetulkan niat semata-mata demi reda Allah. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Nabi SAW berkhutbah dengan hadis ini dan ia diikuti juga oleh Saidina ‘Umar yang juga berkhutbah dengannya. Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad menjelaskan maksud “amalan itu bermula dengan niat” adalah sepertiga dari ilmu. Ini kerana amalan seorang hamba dilihat kepada tiga aspek iaitu dengan hati, lidah dan anggota. Niat adalah dengan hati dan ia merupakan salah satu dari tiga bahagian tersebut. Oleh sebab itu, para ulama suka memulakan kitab dan karangan mereka dengan hadis ini seperti yang dilakukan oleh Imam al-Bukhari. Hal yang sama dilakukan oleh Imam al-Nawawi yang memulakan ketiga-tiga kitabnya iaitu Riyadh al-Salihin, al-Azkar dan al-Arba’in al-Nawawiyyah dengan hadis tentang niat. Berdasarkan maksud hadis ini jugalah maka ulama sepakat menetapkan bahawa setiap amalan ibadah mestilah dengan niat, sehingga jika adanya amalan yang dilakukan oleh mukallaf yang beriman tanpa niat maka ia tidak dii’tibarkan sebagai amalan syara’ dan tidak diganjari perlakuan tersebut.
Pada aspek faedah, hadis ini berkenaan peri penting niat yang ikhlas demi Allah ketika melakukan suruhan-Nya termasuklah ketika mahu keluar berhijrah. Ia juga sebagai teguran bahawa amalan kita akan dinilai berdasarkan apa yang kita niatkan. Dalam konteks hijrah, ia bukan sekadar ‘berpindah’ secara fizikal dari satu tempat ke lokasi yang tertentu semata-mata. Hijrah juga sarat dengan makna ruhaniyyah, dari iman yang kukuh di dalam hati, ikhlas melakukannya demi Allah sehingga sanggup mengorbankan apa sahaja yang dimiliki. Kemahuan berkorban termasuk nyawa dan harta sendiri merupakan tingkatan paling tinggi amal insan, yang bermula dengan niat dan azam yang ikhlas. Oleh sebab itu, pentingnya niat kerana ia menghasilkan azam dan tekad. Namun kekukuhan azam bergantung pada apa yang diniatkan. Hanya niat atau tujuan untuk Allah mampu melahirkan tekad dan pengorbanan sebegitu tinggi seperti yang ditunjukkan oleh generasi sahabat yang berhijrah. Sudah pasti juga ia dimulai dengan keimanan yang jelas lagi bersih kepada Allah sehingga melahirkan sifat cinta kepada Pencipta lalu sanggup meninggalkan apa yang dimiliki untuk Pemilik sebenar iaitu Allah.
Dalam ibadah, niat demi Allah perlu sentiasa diperbaharui dan dijadikan sebagai permulaan setiap amalan. Ini juga bermakna azam dan tekad kita untuk menjadi lebih baik perlu sentiasa diperbaharui dan tidak rasa selesa dengan keadaan sedia ada. Muslim yang baik adalah yang memiliki ‘kemahuan’ untuk berhijrah menjadi lebih baik sama ada sebagai hamba Allah yang soleh, anak yang taat, ibu bapa yang penyayang, pemimpin yang amanah, pelajar yang tekun, pekerja yang berdedikasi dan lain-lain posisi yang dipertanggungjawabkan. Inilah antara maksud ‘hijrah’ dalam konteks Muslim pada masa kini.
…
Penulis merupakan professor madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment