Oleh: Affan Nasaruddin
Hobi mengumpul setem merupakan antara hobi yang semakin dilupai. Pada suatu ketika dahulu, hobi ini merupakan antara hobi yang paling digemari ramai dan popular, baik dalam kalangan orang dewasa mahu pun kanak-kanak dan remaja. Kini hanya segelintir sahaja bilangan mereka yang masih setia mengumpul dan menghargai setem.
Senario ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh kemajuan teknologi maklumat yang telah mengubah cara kita berkomunikasi. Dahulu kita perlu menulis surat untuk berkomunikasi dan mengambil masa sehingga beberapa hari untuk surat tersebut sampai ke penerima yang dikehendaki. Tetapi sekarang melalui emel sahaja sudah memadai, malah ianya jauh lebih mudah dan pantas kerana segalanya kini terletak di hujung jari.
Kiriman kad ucapan perayaan, ucapan tahniah, dan ucapan ulang tahun kini menggantikan penghantaran surat, dan dihantar pula melalui mesej pesanan ringkas di platform WhatsApp atau Telegram. Maka tidak hairanlah sekiranya ada dalam kalangan generasi sekarang yang tidak mengetahui apa itu setem, kegunaannya, dan di mana ingin mendapatkannya.
Setem dikeluarkan oleh badan atau agensi rasmi yang bertanggungjawab menguruskan perkhidmatan pos di sesebuah negara. Di Malaysia, pihak bertanggungjawab tersebut ialah Pos Malaysia, manakala di United Kingdom setem dikeluarkan oleh Royal Mail, dan di Australia oleh Australia Post. Pemilihan tema bagi keluaran setem biasanya dipilih berdasarkan tema peristiwa-peristiwa penting, tokoh-tokoh terkenal, seni, budaya, warisan, isu semasa dan biodiversiti, merangkumi kedua-dua flora dan fauna.
Dan tema biodiversiti merupakan antara keluaran yang sangat popular dan sering diterbitkan oleh perkhidmatan pos di serata dunia. Tidak terkecuali, Pos Malaysia juga pernah mengeluarkan pelbagai koleksi setem berkaitan biodiversiti tempatan seperti paku-pakis, bunga-bungaan, orkid liar, hidupan laut terancam, lebah madu, ikan air tawar, burung, rama-rama, pepatung, dan lain-lain.
Koleksi setem bertemakan burung sentiasa menerima sambutan yang menggalakkan dari orang ramai apabila dikeluarkan. Ini tidak menghairankan kerana terdapat lebih daripada 11,000 spesies burung di seluruh dunia, masing-masing dengan penampilan dan keunikan mereka yang tersendiri. Berdasarkan pangkalan data Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) terdapat lebih kurang 785 spesies burung di Malaysia. Antara koleksi bertemakan burung yang pernah dikeluarkan oleh Pos Malaysia ialah koleksi burung tanah tinggi, koleksi burung enggang, koleksi burung yang dilindungi, serta koleksi burung raja udang.
Lebih menarik, pengeluaran setem kenang-kenangan bersempena sesuatu peristiwa juga sering menggunakan biodiversiti sebagai temanya. Baru-baru ini, Pos Malaysia telah mengeluarkan setem sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China. Setem yang bernilai RM1.50 setiap satu itu direkabentuk dengan menggunakan imej pokok merbau dan pokok pine. Seperti mana yang kita ketahui, pokok merbau (Intsia palembanica) merupakan pokok kebangsaan Malaysia, manakala pokok pine (Pinus hwangshanensis) adalah salah satu pokok yang terkenal di China, yang turut dikenali sebagai Greeting Pine.
Jelas melalui rekabentuk koleksi setem kenang-kenangan ini kita dapat mengumpul dan berkongsi maklumat penting tentang pelbagai spesies dan habitat biodiversiti yang ada di negara kita. Secara tidak langsung ini mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan melestari alam, dan menyokong usaha pemuliharaan serta memelihara biodiversiti oleh pelbagai pihak berkepentingan.
Selain itu, dengan mengumpul setem juga kita dapat belajar dan menghargai keindahan khazanah biodiversiti di negara lain. Keunikan dan reka bentuk yang menarik dapat memupuk minat pengumpul setem untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesies flora dan fauna yang digambarkan di dalam koleksi tersebut. Tidak keterlaluan jika dikatakan setem juga mampu dijadikan salah satu medium bagi pembelajaran subjek sains secara kreatif dan inovatif dalam kalangan murid-murid sekolah.
Mengumpul setem adalah lebih daripada sekadar hobi. Ia turut mempunyai nilai pendidikan yang tinggi jika kita mula melihatnya sebagai medium bernilai tambah kepada usaha pembelajaran dan penghargaan terhadap kepelbagaian biodiversiti di seluruh dunia.
….
Penulis merupakan Pegawai Penyelidik di Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) dan boleh dihubungi di affannasaruddin@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment