PETRA pandang serius isu mikroplastik sebagai bahan pencemar baru

Spread the love

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2024 – Sebagai usaha untuk mengetengahkan isu berkaitan bahan cemar baharu termasuk mikroplastik, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan kualiti air.

Menurut Menterinya Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini, berdasarkan kajian NAHRIM terhadap enam (6) lembangan sungai telah mengumpul data purata kelimpahan mikroplastik di setiap lembangan sungai terpilih dan seterusnya ke laut adalah dipengaruhi oleh aktiviti antropogenik seperti industri dan domestik.

Katanya lagi, pada ketika ini masih belum ada had piawaian pematuhan berkaitan bahan cemar baharu mikroplastik di dalam air. Contohnya, proses rawatan air perlu diberi perhatian bagi menjamin kualiti air yang selamat.

“Maklumat daripada hasil penyelidikan NAHRIM sangat penting bagi tujuan penambahbaikan dan pengukuhan garis panduan, polisi dan akta sedia ada dalam usaha Kerajaan mengawal pencemaran plastik dan juga mikroplastik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan persekitaran air.

Namun, kajian yang lebih menyeluruh perlu dijalankan untuk menilai dari sudut impak kesihatan manusia yang terdedah kepada pencemaran mikroplastik. Kerjasama semua pemegang taruh seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan amatlah diperlukan supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih holistik.” kata Fadillah.

NAHRIM juga telah menganjurkan Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama pada 15 hingga 16 Julai 2024. Seminar itu berjaya mengumpulkan lebih 39 kertas persidangan yang membincangkan isu-isu berkaitan mikroplastik. Seminar itu tidak hanya tertumpu kepada sumber air dan persekitaran marin sahaja, namun impak kepada organisma lain seperti organisma akuatik, tanah dan pelbagai medium lagi.

Dalam usaha memperluas penyelidikan berkaitan kehadiran bahan cemar baharu mikroplastik dalam sumber air di Malaysia, NAHRIM juga akan mengambil langkah-langkah seperti penggunaan dokumen bahan cemar baharu sebagai dokumen asas menyebarkan pengetahuan dan kesedaran berhubung pencemaran mikroplastik, pembentukan Jawatankuasa Khas bagi membincangkan hal-hal berkaitan bahan cemar baharu di Malaysia dan penambahbaikan Piawaian Kualiti Air Mentah Malaysia dengan penambahan parameter bahan cemar baharu.

Langkah-langkah lain adalah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pengumpulan data primer pencemaran mikroplastik dalam sumber air mentah di Malaysia dan Pembangunan Standard Operating Procedure (SOP) bagi persampelan mikroplastik dan pengesanan mikroplastik yang diangkat menjadi Malaysian Standard (MS).

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation