“Saya percaya ilmu yang dimiliki seseorang adalah kunci yang membezakan tahap kejayaan kita dengan individu lain. Oleh itu, saya sentiasa menanamkan sifat bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan tidak kira di mana saya berada,” kata Nur Izzah Inshirah Azmi Nassaruddin memulakan perbualan.
Gadis berusia 23 tahun yang lebih mesra dipanggil Inshirah ini merupakan mahasiswa tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor. Anak kedua daripada lima adik-beradik ini berasal dari Semenyih, Selangor dan kini sedang menjalani latihan praktikal di syarikat multinasional Deloitte.
“Keputusan saya untuk menceburi bidang perakaunan adalah sesuatu yang tidak terancang sebenarnya. Membesar dalam keluarga di mana tiada siapa yang pernah menceburi bidang ini, saya sering mendapati diri saya keseorangan pada awalnya,” tambah Inshirah.
Namun demikian, Inshirah bersyukur kerana ibu bapanya menyokong penuh cita-citanya dan sentiasa menjadi sumber kekuatan dalam usahanya mengejar cita-cita. “Kedua-dua mereka sememangnya kekuatan saya yang memungkinkan saya bukan sahaja mampu meneruskan pengajian dengan cemerlang, malah secara langsung turut menimbulkan minat saya yang mendalam terhadap bidang ini,” katanya.
Pelajar cemerlang yang pernah meraih CGPA 4.00 semasa di Kolej Matrikulasi Perlis ini telah menunjukkan prestasi yang konsisten di sepanjang pengajian ijazah sarjana mudanya di UiTM. Pencapaian akademiknya yang cemerlang ini telah melayakkan beliau menerima Anugerah Dekan pada setiap semester pengajian.
Selain cemerlang dalam akademik, Inshirah juga aktif dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum. Beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting untuk setiap aktiviti yang diceburi, termasuklah sebagai Exco SMF Perakaunan, Bendahari Kehormat Jawatankuasa Perwakilan Kolej Rafflesia, MICPA Student Councillor, dan banyak lagi.
“Saya percaya penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurikulum sebegini mampu membina jati diri seorang graduan yang bakal menyertai masyarakat kelak. Tambahan pula, saya bercita-cita untuk menjadi seorang auditor yang serba boleh pada suatu hari nanti. Saya yakin penglibatan sebegini akan mempersiapkan saya ke arah itu dengan pengalaman berharga mendekati pelbagai segmen masyarakat,” kata Inshirah penuh yakin.
Anak jati Selangor ini juga mempunyai minat yang mendalam dalam aktiviti kesukarelawanan. Beliau aktif dengan Small Changes MY, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam menangani isu ketidaksamarataan dalam pendidikan. “Melalui Small Changes, saya berpeluang mendekati pelajar-pelajar sekolah daripada komuniti yang terpinggir serta komuniti luar bandar. Selain memperkasa penggunaan Bahasa Inggeris, penglibatan saya adalah dengan hasrat untuk membekalkan pelajar-pelajar ini dengan pengetahuan dan kemahiran insaniah yang mereka perlukan demi mengharungi cabaran dalam proses menimba ilmu,” terang Inshirah.
Penggemar masakan ayam balado ini juga telah menubuhkan inisiatif pengumpulan dana sendiri di bawah naungan Small Changes MY. “Dana yang dikumpulkan digunakan sepenuhnya bagi tujuan kem pendidikan yang dijalankan oleh Small Changes. Sebagai Fundraising Officer, saya juga menguruskan pelbagai inisiatif pengumpulan dana oleh sukarelawan dan memastikan setiap aktiviti yang dirancang dijalankan dengan jayanya,” tambahnya sambil tersenyum.
Inshirah mengakui bahawa kekuatan utamanya terletak pada kemahiran pengurusan masa yang cekap. “Saya berusaha untuk mengimbangi pelbagai tanggungjawab yang saya pikul sebagai seorang mahasiswa, baik di dalam mahu pun di luar dewan kuliah. Kemahiran ini sememangnya suatu keperluan khusus untuk graduan yang bakal menempuh alam pekerjaan tidak lama lagi,” katanya.
Komitmen dan pencapaiannya yang cemerlang telah diiktiraf apabila beliau dinobatkan sebagai salah seorang penerima National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2023 anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Menjadikan Novie Tajuddin, CEO Official Education Malaysia Global Services dan bekas CEO The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) sebagai suri teladannya, Inshirah berharap perjalanannya akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk keluar dari zon selesa mereka dan mengejar minat masing-masing, tanpa mengira latar belakang bidang pengajian.
“Berbekalkan kelayakan akademik dan pengalaman menyertai pelbagai aktiviti yang menggilap kemahiran insaniah di sepanjang tempoh pengajian, saya kini lebih yakin untuk menghadapi cabaran memulakan alam kerjaya kelak, berbanding ketika mula-mula memulakan pengajian dahulu. Saya pasti bekalan ini juga amat penting kepada mahasiswa lain yang akan mula mengukir perjalanan kerjaya masing-masing, walau apa juga bidang pengajian mereka,” kata Inshirah mengakhiri perbualan.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment