Oleh: Prof Madya Ts. Dr. Zul Ilham Bin Zulkiflee Lubes
Rasionalisasi subsidi minyak yang dirancang negara bakal mencorakkan landskap tenaga dan dijangka mempercepatkan peralihan penerimaan kenderaan elektrik di kalangan pengguna. Dengan penarikan subsidi diesel dan seterusnya petrol, kenderaan elektrik menjadi pilihan yang semakin menarik dan bakal menyumbang kepada pengangkutan lestari dan inovasi dalam sektor automotif negara.
Baru-baru ini, program rasionalisasi subsidi yang dijalankan menginjak naik harga runcit bagi diesel yang sebelum ini sekitar RM2.15 seliter kepada kenaikan hampir 40% menghampiri harga pasaran dunia. Untuk minggu-minggu seterusnya, harga diesel bakal berubah mengikut trend pasaran harga minyak global.
Selain dari masalah besar penyeludupan bahan api keluar dari sempadan yang menjadi motivasi besar program rasionalisasi ini, langkah ini dikira sangat penting bagi Malaysia memandangkan kerajaan menanggung perbelanjaan subsidi berbilion ringgit setiap tahun untuk memastikan harga runcit diesel dalam negara rendah. Peningkatan harga runcit diesel dan khabarnya diikuti petrol tidak lama lagi dijangka bakal menyediakan persekitaran yang lebih menarik terhadap ekosistem mobiliti elektrik.
Memandangkan Malaysia bakal meneraju rantau ini sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan, adalah wajar bagi negara untuk mendemonstrasikan kepimpinan dengan menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang baru diperkenalkan dan inisiatif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Awal tahun ini pula, penyelarasan semula tarif elektrik telah menyaksikan kenaikan tarif bagi pengguna dengan penggunaan melebihi 600 kWh sebulan. Jumlah pengguna kategori ini yang menghampiri 1.2 juta isi rumah telah menyaksikan kenaikan bil elektrik sekitar 4-6 peratus. Persoalan kritikal pada masa ini ialah sama ada pengguna di Malaysia telah bersedia untuk beralih kepada menggunakan kenderaan elektrik?
Sudah bersediakah Malaysia?
Di sebalik pelbagai cabaran ekonomi, pengguna di Malaysia sewajarnya tidak hanya mengambil kira hanya harga bahan api runcit dan tarif elektrik sebagai penanda aras dan sebaliknya turut memikirkan faktor penting lain seperti harga pembelian kenderaan elektrik dan keselamatan. Kos keseluruhan pemilikan kenderaan elektrik turut merangkumi pelbagai elemen seperti harga belian, servis, insuran dan pengecasan.
Secara keseluruhan, semua ini memerlukan komitmen kewangan yang signifikan berkadaran atau menyaingi pemilikan kenderaan bahan api konvensional. Walaupun transisi laju industri automotif global ke arah mobiliti elektrik menjanjikan penurunan kos pemilikan dan servis kenderaan elektrik, manfaat ini sering dikaburi bayaran muka yang lebih tinggi untuk kenderaan elektrik dan kos penukaran bateri yang tinggi nanti.
Aspek keselamatan turut memainkan peranan penting lebih-lebih lagi berkenaan saiz bateri besar yang digunakan kenderaan elektrik. Sebarang kemalangan yang melibatkan impak besar meningkatkan risiko bayaran perlindungan insuran yang tinggi dan penggantian bateri.
Apa yang positifnya ialah kenderaan elektrik memberikan manfaat lebih dari sudut penyelenggaraaan kenderaan kerana bahagian mekanikal yang kurang daripada kenderaan bahan api konvensional. Tiada lagi keperluan untuk penukaran kerap minyak enjin, palam pencucuh dan tali sawat pemasaan yang mengurangkan masa servis kenderaan elektrik dan kos keseluruhan. Walaupun penukaran bateri diperlukan, ianya tidak kerap dan bukan dalam beberapa tahun awal penggunaan kenderaan elektrik tersebut.
Di samping itu, pemilik kenderaan elektrik di Malaysia akan menikmati pengecualian cukai jalan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menyokong mobiliti elektrik sehingga Disember 2025. Ini dijangka berlanjutan selama beberapa tahun sebelum struktur cukai baharu untuk kenderaan elektrik diperkenalkan, yang dianggap lebih menguntungkan berbanding kenderaan bahan api konvensional.
Kemungkinannya, lebih 10 hingga 20 tahun lagi diperlukan sebelum infrastruktur pengecasan dapat dipenhi di Malaysia. Sementara itu, kerajaan sudah pasti akan terus menyokong ekosistem mobiliti elektrik dengan pelbagai insentif kewangan ke arah merealisasikan trend pengangkutan yang lebih lestari.
Jalan masih berliku
Di rantau ini, Malaysia disamping Thailand dan Indonesia dilihat bersaing untuk mendepani arus kenderaan elektrik dengan jayanya walaupun masih banyak sektor hiliran berkaitan yang belum berkembang. Ketiadaan infrastruktur yang lengkap untuk pengecasan di seluruh negara mungkin boleh digantikan dengan perkhidmatan penukaran bateri bercas walaupun ianya lebih sesuai untuk motosikal elektrik. Sektor kitar semula bateri pula masih belum berkembang kerana rata-rata kenderaan elektrik di negara kita belum lagi sampai masanya untuk peringkat penggantian atau pelupusan bateri.
Apa yang lebih penting ialah transisi kepada kenderaan elektrik seharusnya turut melibatkan peralihan kepada penjanaan tenaga yang lebih lestari. Buat masa kini, 80% daripada penjanaan elektrik di Malaysia, Thailand dan Indonesia masih lagi bergantung kepada bahan api fosil. Vietnam dilihat lebih terkedepan di rantau ini dalam menjadikan penjanaan tenaga boleh baharu lebih dominan.
Tanpa perhatian khusus terhadap sektor penjanaan tenaga ini, peralihan kepada kenderaan elektrik di negara ini hanya akan dapat mengurangkan pelapasan karbon di ekzos tetapi tidak dapat mencapai matlamat besarnya iaitu ke arah mencapai pelepasan sifar bersih sebelum tahun 2050 seperti yang digagaskan oleh Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara tidak lama dahulu.
Penulis ialah Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di ilham@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment