INISIATIF BELANJAWAN 2025 AKAN MEMBANTU KEMENTERIAN DIGITAL MEMPERKUKUHKAN EKONOMI DIGITAL MALAYSIA.

Spread the love
Gambar kredit FB Rasmi Menteri Digital

PUTRAJAYA, 19 Oktober 2024 – Kementerian Digital menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo juga merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas peruntukan RM1.3 billion kepada Kementerian Digital untuk usaha-usaha merangsang inovasi teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan memperkukuhkan lagi ekonomi digital negara.

Bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”, antara sorotan Belanjawan 2025 tertumpu kepada pembangunan teknologi AI serta bakat, langkahlangkah keselamatan siber, pemacuan inovasi, dan usaha pendigitalan terutamanya untuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

RM10 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Digital untuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) bagi mempertingkat penggunaan teknologi AI melalui kerjasama dengan akademia dan industri.

Gobind juga menyambut baik peruntukan untuk penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe Network) yang bertujuan menggembleng kepakaran dan aspek-aspek keselamatan AI.

Gobind juga mengalu-alukan peruntukan kepada kementerian-kementerian yang lain yang menjurus kepada menggalakkan dan memperkukuhkan ekosistem digital dan teknologi baharu seperti:

  • Pelaksanaan e-invois secara sepenuhnya pada 1 Julai 2025 di mana elaun modal diberikan untuk pembelian peralatan ICT dan perisian komputer.
  • Peruntukan RM50 juta untuk pembelajaran AI kepada semua universiti penyelidikan. Ini merupakan tambahan sebanyak RM30 juta, berbanding RM20 juta yang diperuntukan dalam Belanjawan 2024.
  • Potongan cukai untuk Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang membangunkan kursus berkaitan teknologi digital, AI, robotik, IoT, dan teknologi mampan.
  • Peruntukan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk penambahan jawatan demi mengukuhkan pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024.
  • RM50 juta untuk Geran Padanan Digital untuk PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran, sekali gus bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan.

“Ternyata, Kerajaan MADANI menitikberatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat sejagat. Inisiatif-inisiatif dalam Belanjawan 2025 akan terus membantu Kementerian Digital menerajui usaha transformasi digital, mewujudkan satu ekosistem digital negara yang cekap dan selamat, sekaligus melonjakkan ekonomi digital negara dan merapatkan jurang sosio-ekonomi di kalangan rakyat Malaysia. Fokus ini sudah semestinya akan membantu dalam usaha kita mencapai ataupun merentasi sasaran kita supaya ekonomi digital dapat menyumbang sebanyak 25.5% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tahun 2025,” kata Gobind.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation