Memastikan ringgit kekal stabil

Spread the love

Oleh: Dr. Adilah A. Wahab

Keputusan Malaysia keluar daripada senarai pemantauan manipulasi mata wang Amerika Syarikat (AS) merupakan berita positif yang mencerminkan kestabilan ekonomi negara. Langkah ini menunjukkan bahawa Malaysia telah berjaya memenuhi piawaian antarabangsa, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan dagang yang dipercayai di arena global. Namun, untuk memastikan Malaysia kekal keluar dari senarai tersebut, usaha berterusan diperlukan, termasuk meningkatkan ketelusan kewangan dan memperkukuhkan daya saing ekonomi.

Sebelum ini, Malaysia pernah termasuk dalam senarai pemantauan manipulasi mata wang AS kerana faktor seperti lebihan dagangan dengan AS dan campur tangan AS dalam pasaran pertukaran mata wang asing. Walaupun campur tangan ini bertujuan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi domestik, ia juga dilihat sebagai satu usaha yang boleh mempengaruhi nilai mata wang secara tidak adil dan tidak konsisten dengan kemajuan ekonomi negara.

Terdapat tiga kriteria utama yang digunakan oleh Jabatan Perbendaharaan AS untuk sesebuah negara termasuk dalam senarai pemantauan manipulasi mata wang AS:

  • Lebihan dagangan barangan dengan AS melebihi AS$15 bilion (AS$ 1= RM 4.48).
  •  
  • Lebihan akaun semasa yang ketara sebanyak 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
  •  
  • Campur tangan secara konsisten dalam pasaran pertukaran mata wang asing sekurangnya selama lapan bulan dalam setahun dengan pembelian bersih  berjumlah sekurang-kurangnya 2% daripada KDNK dalam tempoh 12 bulan.
  •  

Berdasarkan data terkini Malaysia tidak lagi memenuhi ketiga-tiga kriteria tersebut dan ini membolehkan Malaysia terkeluar dari senarai pemantauan tersebut. Pengeluaran dari senarai ini bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil daripada dasar ekonomi yang lebih stabil dan telus. Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranan penting dengan memastikan campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing dilakukan secara minimum dan hanya apabila diperlukan untuk mengekalkan kestabilan kewangan. Selain itu, usaha untuk mempelbagaikan rakan dagang dan memacu permintaan domestik turut membantu mengurangkan ketidakseimbangan dagangan.

Terdapat beberapa strategi yang dapat memastikan Malaysia kekal terkeluar dari senarai pemantauan manipulasi mata wang AS:

1. Mempertingkatkan Ketelusan Dasar Mata Wang

Ketelusan adalah asas kepada keyakinan pelabur dan rakan dagang. Bank Negara Malaysia perlu terus melaporkan data mengenai rizab antarabangsa dan operasi pasaran mata wang secara berkala. Ini akan menunjukkan bahawa dasar mata wang negara adalah sejajar dengan piawaian antarabangsa. Terdapat beberapa negara yang telahpun mewujudkan dasar ketelusan mata wang. Sebagai contoh, pada tahun 2018 Bank Pusat Chile telah meluluskan dasar ketelusan baharu berdasarkan semakan ketelusan IMF dan telah mewujudkan bahagian khas di laman webnya untuk menyediakan maklumat tambahan mengenai cara polisi mata wang mereka beroperasi. Dasar ketelusan ini boleh dirangka di Malaysia untuk menyokong kestabilan ekonomi.

2. Mengurangkan import dan kukuhkan permintaan domestik

Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada import dan pada masa yang sama memperkukuhkan permintaan domestik. Melabur dalam industri yang berpotensi dan meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk permintaan domestik adalah satu langkah yang dapat merangsang aktiviti ekonomi dalaman. China merupakan salah satu negara yang berjaya memperkukuhkan permintaan domestik dan mengurangkan import. Pada tahun 2018, Presiden Xi Jin Ping telah mengunakan slogan “travel the road of self-reliance” yang menekankan pelaburan kukuh untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran dan memfokuskan industri yang mempunyai potensi iaitu pembuatan dan teknologi. Dengan mengurangkan kebergantungan kepada import dan perkukuhkan permintaan domestik, Malaysia dapat mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan kestabilan Ringgit.

3. Memperluaskan Pasaran Dagangan

Memperluaskan pasaran dagangan adalah satu strategi yang berkesan untuk mengurangkan lebihan dagangan dengan satu negara tertentu. Usaha ini boleh dilakukan dengan mempelbagaikan eksport ke lebih banyak negara dan menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang baharu. Selain itu, Malaysia perlu meningkatkan daya saing produk tempatan dalam pasaran global melalui inovasi dan pengurusan kos yang cekap. Ini akan menjadikan Malaysia lebih menarik sebagai rakan dagang tanpa menjejaskan hubungan dengan rakan dagang sedia ada.

4. Menggalakkan Kerjasama Antarabangsa

Malaysia perlu terus membina hubungan kukuh dengan organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Kerjasama ini boleh membantu negara memahami perubahan dalam piawaian global dan menyesuaikan dasar kewangan serta perdagangan dengan lebih cepat. Selain itu, komunikasi berterusan dengan rakan dagang utama seperti AS dan China juga penting untuk menangani sebarang kebimbangan berkaitan dasar kewangan atau perdagangan secara langsung.

Pengeluaran daripada senarai pemantauan ini memberikan banyak manfaat kepada Malaysia, termasuk meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa, yang akan membawa lebih banyak pelaburan langsung asing (foreign direct investment – FDI), dan menambah baik penarafan kredit negara, yang akan mengurangkan kos pembiayaan untuk projek pembangunan.

Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang signifikan dalam memastikan dasar mata wangnya tidak melanggar piawaian antarabangsa. Walaupun pengeluaran daripada senarai pemantauan ini adalah satu langkah positif, usaha berterusan diperlukan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Dengan mengamalkan ketelusan, mengurangkan import dan memperkukuhkan permintaan domestik, memperluaskan dagangan dan menggalakan kerjasama antarabangsa Malaysia boleh terus mengukuhkan kedudukan Ringgit dan seterusnya menjadi rakan dagang yang dihormati di peringkat global. Dalam menempuh ekonomi global yang semakin mencabar, kestabilan ekonomi, mata wang dan dasar yang telus dan objektif adalah kunci kepada masa depan yang lebih baik.


Dr. Adilah A. Wahab

Penulis merupakan pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation