Mengelak bias dalam menghadapi gelombang kedua

Spread the love

Oleh: Dr. Nor Aishah Abdullah

Tanggal 10 April 1912 masyarakat dunia menyaksikan kejadian tenggelamnya kapal RMS Titanic yang membawa seramai 2209 penumpang dengan hanya 20 buah bot penyelamat. Walaupun menerima banyak amaran mengenai kewujudan aisberg di kawasan laluan kapal tersebut, kapten kapal meneruskan pelayaran dengan kelajuan penuh.

Sikap optimis melampau dalam kalangan anak kapal bahawa ‘Titanic’ adalah kapal yang tidak akan tenggelam kerana rekabentuk dan teknologi yang canggih juga menyebabkan mereka tidak memberi perhatian terhadap sebarang tanda amaran. Amaran seorang pegawai keselamatan, Maurice Clarke supaya kapal dibekalkan dengan lebih banyak bot penyelamat juga diabaikan. Akibatnya, kapal yang dianggap kebal bencana itu akhirnya ditelan Lautan Pasifik dalam masa kurang tiga jam, mengorbankan lebih 1500 nyawa.

Ini adalah apa yang berlaku pada lebih 1 abad yang lalu. Sikap dan respon masyarakat merupakan kunci utama dalam menentukan implikasi bencana terhadap kehidupan mereka. Ketika ini negara kita dilanda ‘pesta banjir’ tahunan yang telah dianggap ‘biasa’ oleh masyarakat. Ianya dianggap biasa kerana ia pasti berlaku pada setiap hujung tahun, dan setiap kali itu jugalah mangsa-mangsa banjir ini dapat menangani situasi ini dengan cara tersendiri.

Pengalaman berulang ini juga menjadikan mangsa banjir pasrah dan reda menjadikan mereka leka terhadap risiko dan bahaya yang menanti. Mereka beranggapan bahawa mereka telahpun memahami pola fenomena ini memandangkan ia sering berlaku meskipun perubahan iklim telah meningkatkan intensiti dan frekuensi banjir di beberapa kawasan. Menurut statistik, seramai 235,706 orang daripada 68,868 keluarga di sembilan negeri terjejas dan ia adalah angka tertinggi dicatatkan semenjak Monsun Timur Laut 2014/2015.

Ada golongan yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara yang disediakan kerana takut rumah mereka dimasuki pencuri. Ada yang membenarkan anak-anak mereka bermandian dengan air banjir dengan anggapan ianya sama seperti air sungai. Ada pula yang mengambil kesempatan berniaga makanan di hadapan rumah dengan meletakkan meja hidangan di dalam air banjir dengan anggapan hidangan tersebut akan terselamat daripada air banjir tetapi culas terhadap kuman yang bakal bertandang.

Kecenderungan manusia untuk menganggap sesuatu situasi yang berulang sebagai perkara biasa atau tidak berbahaya ini merupakan satu bias kognitif di bawah kategori ‘bias normalisasi’. Bias jenis ini membuatkan manusia lebih cenderung bertindak mengikut kebiasaan berbanding mengenalpasti risiko secara kritikal dan bertindak berdasarkan bukti. Seorang penulis dari Amerika, David McRaney di dalam buku beliau bertajuk ‘Big Weather’ menyatakan bahawa apabila sesuatu bencana alam berlaku, manusia tidak akan segera berpindah, malah mereka akan berteriak dan menjerit ketakutan.

Mereka lebih cenderung untuk bertanyakan orang sekeliling atau teman rapat yang mereka percayai walaupun maklumat boleh didapati melalui media komunikasi utama. Ini menyebabkan mereka gagal mengenalpasti risiko yang bakal mereka hadapi dan bertindak dengan lebih cepat.

Ini juga yang berlaku semasa musim banjir di negara kita. Sikap ambil mudah ini mengundang risiko pelbagai penyakit bawaan air seperti dijangkiti kuman chorela dan salmonella. Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesan sebanyak 10, 272 kes penyakit bawaan air di pusat pemindahan sementara di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak. Ia berikutan kekurangan bekalan air bersih untuk digunakan mangsa banjir. Selain keperluan sebagai air minuman, bekalan air bersih juga diperlukan untuk penjagaan kesihatan kendiri dan memasak makanan.

Dalam menghadapi gelombang kedua banjir pada musim ini, pelbagai langkah berjaga-jaga perlu dilakukan pihak yang terlibat dalam menangani risiko berulang. Antaranya adalah dengan menyediakan pek dokumen penting seperti passport, kad pengenalan, dokumen bank dan insurans. Untuk pesakit-pesakit yang berisiko tinggi, pastikan ubat-ubatan penting dimasukkan ke dalam beg khas yang mudah dicapai semasa menyelamatkan diri nanti.

Pihak berwajib boleh membuat persediaan bekalan air bersih untuk mangsa-mangsa banjir yang mana ianya ditempatkan di kawasan berhampiran pusat pemindahan sementara dan kawasan berisiko banjir. Ini dapat mengelakkan perlbagai penyakit bawaan air melalui sanitasi dan juga pengendalian makanan.

Akhir sekali, proses komunikasi yang berkesan dalam kalangan mangsa banjir dan pihak-pihak yang terlibat amat penting bagi memastikan sebarang maklumat dapat disampaikan dengan berkesan terutama dalam meningkatkan kesedaran risiko banjir dalam kalangan masyarakat.


Dr. Nor Aishah Abdullah

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation