Oleh: Mohd Saiful Aqil Naim Saful Amin, Prof. Madya Dr Mohd Khairul Naim bin Che Nordin
Kebelakangan ini, wujud sesetengah kelompok yang mempertikaikan Sifat 20 sebagai pendekatan mengenal Allah. Mereka beranggapan sepatutnya umat Islam hanya perlu merujuk terus kepada ayat al-Quran ketika mahu belajar ilmu akidah. Ilmu ini dilihat perlu sesuai dengan ‘laras’ orang awam dan tidak perlu dibincangkan secara sukar. Selain itu, mereka juga melihat tidak perlu mencampur adukkan keyakinan tentang Allah dengan akal manusia yang terbatas. Namun benarkah anggapan sedemikian?
Perlu difahami bahawa pembelajaran Sifat 20 merupakan sebahagian dari sejumlah gugusan besar sistem kefahaman agama yang dibangunkan oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah bermanhaj al-Asha‘irah. Ia merupakan sebuah sistem pembelajaran yang telah dirumuskan sejak zaman berzaman untuk memahami akidah sahih seperti yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Batu asas kepada pembukuan sebuah metodologi yang komprehensif serta mampan ini telah diletakkan oleh tokoh ulung Ahli Sunnah iaitu Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari (w. 324 H) serta para ulama penerus mazhab ini semisal Imam Ibn Furak (w. 406 H) dan Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali (w. 505 H). Penyusunan lengkap dan sistematik bagi metodologi sifat 20 – yang merupakan salah satu metode penting dalam manhaj al-Asha‘irah – merupakan usaha penting yang telah disumbangkan oleh Imam Muhammad bin Yusuf al-Sanusi (w. 895 H) melalui karya pentingnya Umm al-Barahin. Karya ini menjadi induk kepada majoriti kitab akidah tulisan ulama Jawi semisal ‘Aqidah al-Najin dan Siraj al-Huda.
Manhaj yang dibangunkan oleh para ulama ini telah terbukti membantu majoriti umat Islam zaman berzaman dalam memahami akidah yang benar. Tambahan lagi pendekatan Sifat 20 ini bukan sekadar mengukuhkan akidah bahkan juga menghapuskan keraguan melalui bidasan hujah logik yang terkandung dalam ilmu kalam. Namun, memandangkan perbincangan sifat 20 dimulakan dengan perbahasan logik dan epistemologi semisal hakikat berfikir (al-nazar) dan hukum akal, sesetengah pihak mendakwa metodologi ini menganjurkan umat Islam untuk meragui akidah terlebih dahulu sebelum benar-benar meyakininya dengan dalil yang rasional.
Wujud juga tohmahan berat yang mengaitkan manhaj sifat 20 dengan jalur pemikiran skeptisisme seperti yang dipelopori oleh para sofis dan sebahagian filsuf semisal Rene Descartes (m. 1650 M) yang menganjurkan untuk meragui sesuatu pengetahuan sebelum mengimaninya. Ini jelas merupakan tasawur yang silap dan tidak benar mengenai manhaj al-Asha‘irah.
Hakikatnya, ulama al-Asha‘irah sejak zaman berzaman secara konsisten menekankan bahawa keyakinan yang benar tentang akidah perlu diambil terlebih dahulu daripada wahyu yang sahih. Allah Taala berfirman dalam surah al-Mulk ayat ke-9 yang mana terjemahannya: “Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan berfikir dengan akal, tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka.”
Dalam mentafsirkan ayat ini, tokoh besar al-Asha‘irah dan juga seorang ahli tafsir ulung; Imam Fakhr al-Din al-Razi (w. 606 H) menjelaskan hikmah Allah Taala menyebutkan perbuatan mendengar dahulu sebelum perbuatan berfikir ialah kerana insan merupakan audiens dakwah (mad’ū) apabila bertemu dengan Baginda SAW. Peringkat pertama seseorang menerima dakwah ialah dengan mendengar terlebih dahulu ucapan Baginda SAW.
Setelah itu, dia memikirkan pula kebijaksanaan atau hikmah di sebalik ucapan Baginda sekali gus menyingkap kebenaran ucapan tersebut. Oleh itu menurut Imam al-Razi, segala sumber keimanan perlu diambil dan diterima terlebih dahulu daripada wahyu – yakni al-Quran dan al-Sunnah yang sahih – lalu difikirkan serta seterusnya dibina hujah bagi menambahkan keyakinan terhadap kebenaran akidah Islam.
Tokoh hadith al-Asha‘irah yang terulung; Imam Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf al-Nawawi (w. 676 H) turut menegaskan dalam syarahannya terhadap Sahih Muslim bahawa keraguan terhadap Allah Taala merupakan suatu kekufuran. Oleh itu, di mana logiknya al-Asha‘irah mendakwa perlu meragui akidah terlebih dahulu -yang mana ia suatu kekufuran- setelah itu barulah beriman?
Hakikatnya, sifat 20 merupakan suatu rumusan kerangka logik yang berkesan dalam memahami akidah. Pendekatan Sifat 20 merupakan manifestasi terhadap gesaan mengenal Allah Taala melalui penelitian terhadap alam ini. Dalam al-Quran, terdapat lebih dari 20 gesaan kepada manusia untuk menggunakan akal seterusnya mengamati hakikat alam ini.
Hasilnya dibangunkan dalil kosmologi ataupun dalil al-huduth yang menetapkan kedudukan Allah Ta’ala sebagai Pencipta alam yang memiliki segala sifat kesempurnaan yang berbeza dengan makhluk. Walhasil, manhaj al-Asha‘irah mengangkat kepercayaan umat Islam ke tahap intelektual yang lebih tinggi sehingga mencapai tahap yakin yang berdalil.
Kepercayaan ini tidak sekadar bersifat dogmatik seperti kepercayaan sebahagian penganut tertentu tetapi dibangunkan selaras dengan dalil naqli (al-Quran dan al-Sunnah) dan juga ‘aqli (akal).
Kedua-dua penulis adalah daripada Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment