1.Kami menyelar tindakan beberapa pemimpin PAS yang mempolitikkan majlis Sambutan Hari Natal di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tempoh hari.
2.Kenyataan tersebut bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyambut baik perayaan Hari Natal atas “…kesan positifnya ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti atau bermoral bersandarkan nilai keagamaan luhur serta suci.”
3.Percanggahan ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat percubaan untuk memberi gambaran bahawa ianya parti yang inklusif, namun sebenarnya rata-rata kepimpinan PAS tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
4.Jelas bahawa semua yang terlibat dengan persembahan adalah mereka yang menyambut Hari Natal, terutama sekali mereka dari Sabah dan Sarawak, dan tiada yang dipaksa untuk menghadiri majlis tersebut.
5.PAS sepatutnya mempertahankan dan mendukung hak dan kepentingan semua kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya memecahbelahkan masyarakat dengan politik sempit.
6.PAS digesa untuk membawa semangat Malaysia dalam politik tanahair dan meninggalkan politik ekstrim yang tidak meraikan perpaduan dalam kepelbagaian di negara kita. Sesungguhnya kepelbagaian itulah yang menjadi tonggak kekuatan kita.
7.PAS sepatutnya menghayati semangat “li ta’arafu” sepertimana dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa, bersuku kaum supaya kamu saling kenal-mengenal (li ta’arafu)…”
8.PAS perlu menekuni “fiqh ta’ayush” yang menekankan konsep ‘hidup bersama’ serta ‘interaksi sosial’ antara manusia dari pelbagai latar belakang, agama dan budaya.
9.Kepelbagaian etnik, ras, serta suku kaum merupakan ‘sunnatullah’ sepertimana di Malaysia ini. Kepelbagaian tersebut perlu dirai, difahami dan saling dihormati. BUKAN untuk dimanipulasi demi kepentingan politik atas nama agama.
Oleh:
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Sheikh Umar Bagharib Ali
Young Syefura Othman
Syahredzan Johan
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment