Merujuk kepada ucapan Pesuruhjaya PAS Perak, YB Razman Zakaria yang berdegil untuk meneruskan usaha menukarkan kerajaan sebelum PRU-16, Ketua DAPSY Malaysia, YB Woo Kah Leong menyelar tindakan PAS & Perikatan Nasional (PN) tersebut yang langsung tidak menghormati sistem demokrasi negara.
YB Woo Kah Leong turut mengecam niat PAS tersebut yang cukup tidak bertanggungjawab lantaran segala usaha pertukaran kerajaan yang tidak melalui proses demokrasi sebenar setentunya akan menatijahkan senario ketidakstabilan politik yang seterusnya akan memudaratkan ekonomi negara.
“Sebagai seorang ahli politik yang telah kalah berturut-turut dalam kes mahkamah disaman fitnah dan hanya meminta maaf serta tarik balik kenyataan selepas menerima surat peguam, Razman sepatutnya bertaubat dan belajar untuk mengambil iktibar daripada kes-kes tersebut dengan tidak lagi mewujudkan keadaan huru-hara & kucar-kacir dalam politik negara.”
YB Woo Kah Leong menempelak Pesuruhjaya PAS Perak tersebut agar mengambil pendekatan yang lebih matang dan bertanggunjawab apabila mengutarakan kenyataan politik dan jangan melupai apa yang pernah diujarnya untuk tidak kelihatan menepuk air di dulang dan akhirnya terpercik muka sendiri.
YB Woo yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak berkata, berkemungkinan besar Ketua Pembangkang Perak telah lupa bahawa beliau sendiri telah memimpin wakil rakyat PN Perak untuk mengadakan sidang media pada Mei 2023 dan malah menjelaskan bahawa tiada usaha untuk menggulingkan kerajaan dalam pada itu.
Kendatipun dinafikan usaha untuk guling kerajaan, namun YB Razman yang selalu kalah kes disaman difitnah pula beria-ria dan sebarkan ura-ura ketika ceramah politik di Kampung Gajah baru-baru ini bahawa tugas PN adalah untuk mengambil alih kerajaan sebelum PRU-16.
“Adakah ini bermaksud bahawa YB Razman mencuba untuk menyebarkan penipuan dalam kalangan penduduk yang menghadiri ceramah dengan memberikan janji palsu untuk menukarkan kerajaan sebelum PRU-16 ataupun beliau sendiri tidak bersetuju dengan apa yang dikatakannya sewaktu sidang media yang diadakan di SUK Perak pada Mei 2023?”
YB Woo Kah Leong menasihati Pesuruhjaya PAS Perak tersebut untuk memfokuskan usaha berkhidmat demi rakyat kawasannya daripada terus menyebarkan info politik yang tidak berasas.
“Kepada YB Razman, ingatlah peribahasa yang berbunyi, sekiranya sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.”
(Kenyataan Media Ketua DAPSY Malaysia merangkap Exco Kerajaan Negeri Perak, YB Woo Kah Leong pada 30 Disember 2024)
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment