PULAU PINANG, 7 Januari – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, mengadakan lawatan kerja rasmi ke CG Global Profastex Manufacturing Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengilang kontrak (OEM) berpangkalan di Pulau Pinang.
Lawatan ini bertujuan menyokong pengembangan syarikat ke pasaran antarabangsa dan meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PMKS).
Turut serta dalam lawatan ini, pegawai- pegawai kanan KUSKOP serta wakil daripada agensi berkaitan, termasuk SME Corp. Malaysia, SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).
Ewon berkata, lawatan itu adalah susulan daripada kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke syarikat berkenaan pada Disember tahun lalu.
Katanya, lawatan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan memperkasakan sektor keusahawanan negara.
“Melalui lawatan ini, kita dapat mengenal pasti beberapa peluang bantuan yang bersesuaian untuk tujuan pengembangan syarikat dalam aspek potensi dan kompetensi perniagaan.
“Saya berharap bantuan dan sokongan kementerian serta agensi-agensi kementerian dapat membantu meningkatkan saiz syarikat berkenaan daripada kecil kepada sederhana dan seterusnya menyumbang kepada sasaran meningkatkan peratus syarikat bersaiz sederhana sebanyak 5 peratus pada tahun 2027.
“Dalam konteks ini, SME Corp.Malaysia, SME Bank dan PERNAS akan memperincikan program keusahawanan dan skim pembiayaan yang bersesuaian dengan pihak syarikat selaras dengan aspirasi KUSKOP untuk membantu memacu kejayaan berterusan sekali gus melonjakkan prestasi usahawan PMKS di negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebagai latar belakang, syarikat ini merupakan pengilang kontrak (OEM) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dan sokongan dalam bidang elektronik dan elektrik.
KUSKOP melalui SME Corp. dan SME Bank sejak tahun 2018 telah menyediakan sokongan dan bantuan kepada Syarikat CG Global yang telah mempunyai Status PMKS (Perusahaan Kecil) dalam aspek peningkatan automasi dan akses pasaran ke peringkat antarabangsa.
Melalui penganjuran Anugerah Enterprise 50 (E50) tahun 2024 juga, syarikat telah mendapat tempat ke-15 dan turut diiktiraf sebagai Usahawan Eksport Terbaik E50 Tahun 2024.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment