Malaysia telah dikenali sebagai perintis utama dalam tadbir urus dan pensijilan halal di peringkat global. Bermula sejak tahun 1974, Malaysia telah memulakan pensijilan halal yang berkembang dengan begitu sistematik dan teratur, yang bukan sahaja mematuhi segala keperluan syariah, malah memenuhi piawaian yang tersendiri. Sistem pensijilan ini tidak hanya menumpukan kepada pematuhan terhadap standard halal, tetapi turut merangkumi aspek pengurusan produk, perkhidmatan, dan import secara menyeluruh, dari peringkat pengeluaran hingga ke peringkat pemasaran dan pengedaran.
Di samping itu, Malaysia turut mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelbagai inisiatif sokongan yang berterusan, termasuk dasar yang menyeluruh untuk memacu pertumbuhan industri halal. Salah satu contoh komitmen negara ialah pembangunan Dasar Halal Negara 2025-2035.
Dasar Halal Negara 2025-2035 merupakan strategi jangka panjang negara bagi mewujudkan ekosistem halal yang lebih holistik dan kondusif. Objektif Dasar Halal Negara 2025 -2035 ada lima iaitu mewujudkan ekosistem halal yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan Halal Malaysia yang inklusif, seimbang dan mampan; melahirkan modal insan yang kompeten dan berintegriti; dan memastikan keupayaan sistem pengurusan Halal Malaysia berkembang melalui teknologi yang canggih, dinamik dan mesra pengguna. Keempat, membentuk generasi pengguna yang bijak, bermaklumat dan bertanggungjawab, serta menghasilkan dasar yang komprehensif dan terangkum melalui penyelidikan yang holistik dan menepati kehendak semasa.
Dasar ini melibatkan sepuluh komponen utama, termasuk sistem perundangan dan kawal selia baharu, pensijilan halal Malaysia; penyelarasan dengan pihak berautoriti agama negeri; pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara; teknologi dan inovasi; pengurusan aspek kepenggunaan; produk dan perkhidmatan import; pandangan hukum dan fatwa; penyelidikan halal; analisis makmal, serta manfaat dan pulangan ekonomi. Langkah ini diambil bagi memastikan hala tuju industri halal di Malaysia lebih jelas dan relevan di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Projek pembangunan Dasar Halal Negara 2025-2035 ini diamanahkan kepada Universiti Malaya (UM) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ia diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zalina Zakaria dari Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, sebagai ketua perunding. Turut serta dalam projek ini ialah Prof. Madya Dr. Saadan Man dan Dr. Norhidayah Pauzi dari Jabatan Fiqh dan Usul, bersama beberapa ahli penyelidik lain dari pelbagai fakulti Universiti Malaya, termasuk Prof. Madya Dr. Azah Anir Norman (Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat), Prof. Madya Dr. Nor Kartini Abu Bakar (Fakulti Sains), serta Dr. Nina Sakinah Rofaie (Fakulti Perniagaan dan Ekonomi).
Selain daripada perunding, pasukan kajian ini turut diketuai oleh Ketua Penasihat, Datuk Fadillah Baharin, bersama wakil Penasihat Industri, En. Othman bin Md. Yusoff; Penasihat Governan, En. Mohammad Zamri Mohamed Shapik; dan Penasihat Ekonomi, Dr. Muhammad Aizat Zainal Alam, serta koordinator projek JAKIM, En. Zaa’ba bin Zakaria.
Selain itu, pasukan ini turut dibantu oleh staf pentadbiran termasuk dua orang koordinator, iaitu Noreena Nordin dan Razidah Othman Jaludin, serta tiga orang pembantu penyelidik, iaitu Nursyamimi Zawani Mohd Shoid, Illya Farhana Mohd Yassir, dan Siti Qhairunissa Ramli.
Mandat ini membuktikan kepercayaan pihak kerajaan terhadap kepakaran UM dalam bidang halal serta kemampuan institusi ini untuk menjadi pemacu perubahan strategik. Projek ini bukan sahaja penting untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pengukuhan ekosistem halal yang mampan.
Menurut Prof. Madya Dr. Zalina, Pengarah, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC), UMHRC pada awalnya menerima berita tersebut dengan penuh keterujaan. Namun, dalam masa yang sama, mereka menyedari bahawa tanggungjawab yang dipikul bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan secara bersama untuk merealisasikan Dasar Halal Negara 2025-2035. Tambahnya lagi “Kami menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan data yang terperinci, termasuk sesi town hall, tinjauan awam, dan lawatan ke luar negara untuk mengumpul pandangan penting dari pelbagai pihak antarabangsa”.
“Pada pertengahan Disember 2024, saya telah membentangkan laporan kajian Dasar Halal Negara 2035 (DHN2035) serta menyerahkannya kepada Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee. Pembentangan tersebut diadakan dalam satu sesi khas yang melibatkan pengurusan tertinggi JAKIM bersama wakil daripada Kementerian Ekonomi”.
Laporan pembentangan ini merangkumi dapatan kajian yang diperoleh melalui kajian literatur semasa bagi komponen-komponen yang terlibat, enam sesi dialog awam (townhall) yang diadakan di seluruh Malaysia, iaitu di zon tengah (Putrajaya), zon selatan (Melaka), zon Sabah (Sabah), zon Sarawak (Sarawak), zon utara (Pulau Pinang), dan zon timur (Pahang). Selain itu, kajian lapangan turut dijalankan di luar negara yang melibatkan tujuh benua utama dunia, termasuk Amerika Utara (AS), Amerika Selatan (Argentina), ASEAN (Thailand), Eropah (Amsterdam, Switzerland, dan Itali), Asia Tengah (China), Asia Barat (Turkiye), dan Oceania (New Zealand), serta tinjauan awam.
Menurut Timbalan Pengarah UMHRC, Dr. Norhidayah Pauzi, “Kepercayaan yang diberikan oleh JAKIM kepada Universiti Malaya untuk membangunkan Dasar Halal Negara 2025-2035 ini merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Dengan penglibatan pelbagai kepakaran dalam bidang akademik dan industri, serta bimbingan JAKIM, dasar ini dapat direalisasikan”.
Tambah beliau lagi, semua pihak boleh memberikan cadangan dan komentar penambahbaikan Halal Malaysia untuk 10 tahun akan datang berdasarkan kompenan-kompenan Dasar Halal Negara 2035-2035 atau lain-lain cadangan yang berikatan di laman sesawang rasmi Dasar Halal Negara di https://www.dhn2035.my/ms. Pandangan dan saranan yang diberikan amat penting bagi memperkukuhkan lagi pensijilan halal negara sekaligus meningkatkan daya saing industri halal Malaysia di peringkat global melalui perancangan yang lebih holistik dan berkesan”, kata beliau semasa mengakhiri perbualan ini.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment