Di sebuah perkampungan kecil di Pontian, Johor, para petani dan mahasiswa bertemu dalam satu usaha bersama untuk memahami dan mengaplikasikan teknik pengurusan tanah yang lebih lestari. Universiti Malaya Soil Doctor Programme (UMSDP), yang berlangsung pada 28 Disember 2024 di Kampung Seri Bunian, membawa harapan baharu kepada komuniti peladang dengan memperkenalkan inovasi dan solusi praktikal bagi pemeliharaan tanah gambut.
Tanah gambut di kawasan ini merupakan ekosistem yang kaya dengan bahan organik dan bertindak sebagai penyimpan karbon utama global. Namun, jika tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menjadi punca pelepasan gas rumah hijau yang tinggi, mempercepatkan perubahan iklim. Justeru, program ini bertujuan memperkasakan komuniti petani dengan ilmu pengurusan tanah yang mampan, termasuk penggunaan biochar, sistem saliran terkawal, dan pendekatan paludikultur untuk meningkatkan daya tahan tanaman terhadap perubahan iklim.
“Program ini telah berjalan lancar dengan adanya kerjasama daripada semua pihak. Program seperti ini perlu dilaksanakan untuk memberi pendedahan dan berkongsi ilmu serta inovasi agar ia memberi manfaat dan pengetahuan kepada komuniti untuk melaksanakan aktiviti pertanian secara lestari di tanah gambut,” ujar Dr. Rosazlin Abdullah, Pensyarah Kanan di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, yang juga merupakan penasihat program.
Selain memperkenalkan kaedah penghasilan biochar daripada bahan buangan pertanian, peserta juga diberikan pendedahan tentang teknologi mengesan asap pembakaran tanah gambut serta konsep paludikultur, yang mengekalkan paras air yang tinggi untuk mengurangkan degradasi tanah dan mengawal pelepasan gas rumah kaca. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada petani tetapi juga membuka peluang kepada mahasiswa untuk menerapkan ilmu dalam dunia sebenar.
“Saya gembira dapat mengaplikasikan pengetahuan saya kepada petani sebenar dalam komuniti. Secara tidak langsung, ini telah menambah keyakinan saya sebagai duta sains dalam masyarakat yang mampu menawarkan penyelesaian kepada permasalahan komuniti dan alam sekitar,” kata Masturina Mirza Mazuki, pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar, yang juga merupakan ketua sukarelawan bagi program ini.
UMSDP bukan sekadar platform untuk pemindahan ilmu tetapi juga bukti komitmen universiti dalam menyantuni cabaran komuniti melalui pendekatan STEM. Program ini mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia, yang aktif melaksanakan inisiatif ‘Soil Doctor Programme’ di seluruh negara. Dengan sokongan kerajaan dan usaha berterusan di peringkat antarabangsa, program seperti ini diharapkan dapat memperkasakan komuniti peladang dalam pengurusan tanah gambut secara lestari, sekali gus memelihara keseimbangan ekosistem dan mengurangkan kesan perubahan iklim di Malaysia.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment