Oleh: Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid
Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) yang diluluskan baru-baru ini telah memberikan nafas dan harapan baru kepada banduan akhir serta banduan yang telah dijatuhkan hukuman seumur hidup. Ianya juga memberikan harapan kepada ahli keluarga banduan supaya dapat disatukan dengan banduan semula. Ini menjukkan usaha dan komitmen kerajaan Malaysia dalam menegakkan keadilan dan melindungi hak asasi manusia sejagat selaras dengan Artikel 3 Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.
Peranan institusi penjara, peguam, serta Yayasan Guaman Kebangsaan Malaysia juga amat penting dalam mendapatkan semakan semula terhadap hukuman mati atau penjara seumur hidup yang telah dikenakan terhadap banduan. Memandangkan intitusi penjara diberikan tanggungjawab untuk memfailkan Notis Permohon dan Afidavit Sokongan untuk semakan hukuman, adalah penting agar mereka diberikan taklimat serta tenaga pekerja yang mencukupi bagi membolehkan mereka memfailkan permohonan dalam tempoh 90 hari.
Perbicaraan semakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup bukan lah perbicaraan baru atau perbicaraan semula yang melibatkan saksi – saksi tetapi perbicaraan untuk menilai samada hukumann yang telah dijatuhkan boleh dipinda atau dikekalkan. Tempoh 90 hari yang diberikan untuk memfailkan Notis Usul dan Afidavit Sokongan di Mahkamah Persekutuan haruslah dilakukan dengan secepat mungkin supaya kes banduan tersebut dapat diberikan tarikh bicara awal. Namun begitu, semakan hukuman ini bukan satu jaminan bahawa hukuman mati atau penjara seumur hidup ini akan gantikan atau dikurangkan. Mahkamah masih boleh menolak permohonan semakan dan mengekalkan hukuman sedia ada. Walaubagaimanapun banduan masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan.
Walaupun hukuman mati atau penjara seumur hidup telah diberikan setelah melalui proses perbicaraan, namun banduan masih berhak untuk mendapatkan semakan dan Mahkamah harus mendengar setiap permohonan berdasarkan merit serta keterangan yang diberikan didalam Afidavit Sokongan yan merangkumi faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan, tempoh pemenjaraan banduan, kelakuan banduan semasa dipenjarakan, dan pertimbangan yang lain.
Semoga langkah seperti ni dapat memberikan peluang kedua kepada banduan untuk insaf dan berbakti kepada masyarakat.
……
Penulis merupakan pakar kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di haezreena@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment