Potensi Penggunaan Teknologi Nuklear Dalam Industri

Spread the love

Teknologi nuklear memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor sosioekonomi negara, terutamanya dalam sektor perindustrian, kesihatan, makanan dan pertanian, pengurusan air dan perlindungan alam sekitar. Penggunaan sains dan teknologi nuklear secara aman melalui pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti memberi impak yang positif kepada dunia.

Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada penggunaan teknologi nuklear secara aman sejak pengenalan mesin sinar-x di Tanah Melayu pada tahun 1897. Sejak itu, penggunaan teknologi nuklear semakin berkembang seiring dengan kemajuan pesat industri negara. Pada masa ini, Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan dan makmal berteraskan sains dan teknologi nuklear yang sebahagiannya telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa termasuk sebagai Pusat Kolaboratif Antarabangsa (ICC) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Pusat Latihan Serantau (RTC) dan Pusat Sokongan Sekuriti Nuklear Serantau (NSSC) di Asia dan Pasifik.

Malaysia mempunyai sebuah reaktor penyelidikan nuklear, iaitu Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) yang beroperasi di Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sejak tahun 1982. RTP digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan, termasuk pengeluaran radioisotop perubatan, perindustrian, pertanian serta pendidikan dalam bidang sains dan kejuruteraan nuklear. Selain RTP, Malaysia juga mempunyai pelbagai kemudahan penyinaran yang dapat meningkatkan kestabilan dan kemampanan bekalan makanan, perubatan dan penjagaan kesihatan, serta pelbagai tujuan lain yang berkaitan dengannya.

Sejajar dengan perkembangan teknologi nuklear, sudah tiba masanya Malaysia mengorak langkah ke hadapan untuk memperkasa penggunaan teknologi nuklear secara aman berteraskan matlamat pembangunan mampan yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Berikut adalah antara bidang fokus yang melibatkan pengunaan teknologi nuklear di Malaysia.

Makanan dan Pertanian

Teknologi nuklear telah digunakan secara meluas dan mampu membantu menangani isu berkaitan kestabilan dan kemampanan bekalan makanan menerusi sistem pertanian pintar, pengurusan tanah, tanaman dan ternakan. Sumbangan ini dapat dilihat melalui penghasilan lebih daripada 30 jenis varieti tanaman dan benih baharu yang lebih baik, rintang penyakit dan cuaca. Antaranya adalah penghasilan benih padi NMR152 yang berjaya menambah pendapatan petani melalui peningkatan hasil tuaian diantara 35 hingga 50 peratus. Benih padi ini telah mendapat Anugerah Pencapaian Cemerlang FAO/IAEA 2014 dan 2021 bagi kategori pembiakan mutasi tumbuhan baka baharu padi dan Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia 2021 untuk dua kategori iaitu Anugerah Usahawan Penyelidik dan Supreme Award.

Teknologi nuklear juga terbukti dapat membantu menentusahkan ketulenan makanan dari sumber semula jadi, selamat dimakan dan dikenalpasti lokalitinya. Sebagai contoh bagi produk-produk agro seperti padi, sarang burung walit dan madu, teknik pengaktifan neutron digunakan untuk pencirian profil elemen habitat asal dan mengesahkan keaslian produk melalui penanda geokimia. Proses ini membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dalam penguatkuasaan serta kawalan terhadap agromakanan di Malaysia.

Teknologi nuklear juga boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan menerusi teknik penyinaran dengan menghapuskan bakteria berbahaya dan serangga perosak yang seterusnya dapat memanjangkan jangka hayat makanan tersebut. Oleh itu, teknologi nuklear berpotensi membantu industri kecil dan sederhana tempatan bagi memenuhi piawaian keselamatan import makanan yang ditetapkan oleh badan antarabangsa dan pasaran import.

Pengurusan Alam Sekitar, Air dan Sumber Asli

Pengurusan alam sekitar, air dan sumber asli adalah penting untuk kehidupan sejagat. Apabila populasi bertambah dan ekonomi berkembang, akses kepada air bersih dan selamat adalah penting. Teknik nuklear boleh diperluaskan penggunaannya untuk penentuan umur dan kualiti air yang menyumbang kepada pembangunan rancangan pengurusan sumber air bersepadu bagi memelihara ekosistem berkaitan air. Isu berkaitan sumber air yang terhad dapat diatasi dengan pengurusan sumber yang lebih berkesan melalui kajian pencarian sumber air bawah tanah. Teknologi nuklear juga membantu mengatasi isu pencemaran air melalui rawatan air sisa industri, pengurangan bahan cemar dan peningkatan kualiti air agar selamat untuk diguna semula.

Penggunaan teknologi nuklear bagi pengurusan alam sekitar dan sumber asli berupaya meningkatkan strategi pemantauan untuk perancangan pengurusan alam sekitar yang berkesan. Ini termasuklah pembangunan pangkalan data kualiti udara, mengenal pasti unsur dan elemen radioaktif dalam persekitaran marin. Teknik ini juga menyediakan kaedah analisis yang sensitif dan tepat bagi menganalisis jumlah surihan bahan pencemar dalam atmosfera dan lautan, untuk mengurus dan melindungi ekosistem lautan yang sangat luas secara mampan.

Pada tahun 1984, Malaysia telah menubuhkan Pusat Pengurusan Sisa Radioaktif Kebangsaan bagi pengurusan sisa radioaktif yang selamat di negara ini. Sisa radioaktif ini terhasil daripada pelbagai aktiviti nuklear, seperti reaktor penyelidikan, institusi perubatan, sektor perindustrian dan amang daripada bahan radioaktif semula jadi (NORM) dalam pemprosesan mineral, dan industri minyak dan gas. Antara sisa ini, NORM dan sisa radioaktif punca terkedap (DSRS) adalah jenis sisa radioaktif yang paling banyak dihasilkan di Malaysia. Pada masa ini, kemudahan teknologi lubang gerek sedang dibangunkan dengan kerjasama IAEA di negara ini bagi melupuskan sisa DSRS terkumpul.

Keselamatan dan Sekuriti Nuklear

Keupayaan Malaysia dalam menerajui bidang keselamatan dan sekuriti nuklear berpotensi menjadikan negara sebagai hab perkhidmatan dan latihan serantau pada masa hadapan. Ini adalah selaras dengan pemilihan Malaysia sebagai Pusat Latihan Serantau IAEA dalam bidang perlindungan dan keselamatan sinaran dan Pusat Sokongan Sekuriti Nuklear Serantau (NSSC).

Dari segi infrastruktur, Malaysia mempunyai sistem pengesanan bahan nuklear dan radioaktif melalui 82 Portal Pemantauan Sinaran (RPM) di pintu masuk dan keluar seluruh negara. Kemudahan ini membolehkan Malaysia mengesan pergerakan keluar masuk bahan nuklear dan bahan radioaktif. Di samping itu, terdapat lapan Stesen Pemantauan Sinaran Alam Sekitar (ERMS) yang digunakan untuk memantau tahap sinaran alam sekitar.

Malaysia juga mempunyai makmal keselamatan dan sekuriti nuklear seperti Regional Loaner Pool untuk peralatan pengesan sinaran, Makmal Perlindungan Fizikal,  Makmal Radiologikal Bergerak, Makmal Radiokimia dan Alam Sekitar, dan Makmal Kimia Analisis bagi menjamin penggunaan selamat teknologi nuklear.

Penutup

Seperti yang kita ketahui, dunia kini sedang berhadapan dengan cabaran terhadap isu perubahan iklim dan keperluan untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih mampan dan lestari. Dalam konteks ini, tenaga nuklear memiliki potensi yang sangat besar sebagai sumber tenaga alternatif yang dapat menawarkan bekalan tenaga yang stabil dengan pelepasan karbon yang sangat rendah. Oleh itu, tenaga nuklear tidak hanya memenuhi keperluan tenaga negara yang semakin meningkat tetapi juga dapat menjadi sumber ekonomi baru melalui pelbagai aspek seperti pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan inovasi, serta pendidikan dan latihan.

Tenaga nuklear adalah salah satu sumber tenaga yang paling efisien dan tahan lama, dengan reaktor nuklear mampu beroperasi hingga beberapa dekad. Ini akan membantu Malaysia memastikan kestabilan bekalan tenaga untuk jangka masa panjang sambil mencapai objektif pembangunan mampan. Selain itu, pelaksanaan teknologi nuklear yang bertanggungjawab dan selamat, dengan mematuhi standard dan protokol keselamatan dan sekuriti nuklear yang ketat, akan memastikan bahawa risiko terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia dapat dijaga dan dikawal.

Selain dari segi produksi tenaga, industri nuklear juga menawarkan peluang untuk penjanaan sumber ekonomi baharu. Pembinaan dan operasi stesen tenaga nuklear akan membuka peluang pekerjaan baru dan merangsang perkembangan industri pendukung. Pengetahuan dan keahlian yang diperlukan dalam sektor ini juga akan memacu pendidikan dan latihan, membuka peluang untuk Malaysia menjadi pusat kecemerlangan dan latihan dalam bidang nuklear di rantau ini. Secara tidak langsung, ini akan memperkaya ekosistem inovasi dan teknologi negara, menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhannya, tenaga nuklear memegang potensi yang besar untuk memainkan peranan penting dalam mewujudkan masa depan yang lebih mampan dan lestari untuk Malaysia, baik dari segi tenaga, alam sekitar, mahupun ekonomi. Dengan pendekatan yang berhemah dan selamat, tenaga nuklear boleh menjadi salah satu tunjang utama dalam transformasi tenaga dan pembangunan ekonomi negara.

Disediakan oleh

CHANG LIH KANG

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation