• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Ke mana lulusan KV hendak pergi?

Spread the love

Oleh: Dr. Abd. Razak Zakaria

Sekolah Menengah vokasional (SMV) merujuk kepada sekolah-sekolah yang menawarkan latihan kemahiran berbanding pendidikan akademik. Pada awal penubuhannya pada tahun 1964, pendidikan vokasional lebih ditumpukan kepada murid-murid yang mempunyai pencapaian akademik yang rendah supaya mereka tidak terus tercicir daripada arus pendidikan perdana. Walau bagaimanapun, perubahan dasar baru kerajaan telah mengangkat pendidikan vokasional ke tahap yang lebih tinggi dan tidak lagi dianggap pendidikan vokasional sebagai pendidikan kelas kedua.

Dr. Abd. Razak Zakaria

Kementerian Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) telah meletakkan pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu bidang teras yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran dan berkualiti serta memenuhi hasrat negara dalam melahirkan ramai tenaga kerja mahir. Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Teknik dan Vokasional berusaha menjayakan misi ini dengan memperkasakan lagi bidang Teknik dan Vokasional melalui penjenamaan semula bidang-bidang yang dijangkakan dapat melahirkan ribuan tenaga mahir untuk kegunaan negara pada masa hadapan.

Pada Mei 1995, KPM telah membentangkan memorandum bagi Penstrukturan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) kepada Sekolah Menengah Teknik (SMT) kepada Kabinet, dan telah mendapat kelulusan. Cadangan penstrukturan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) kepada Sekolah Menengah Teknik (SMT) adalah bertujuan untuk meningkatkan bilangan pelajar yang mengambil mata pelajaran dalam bidang teknikal sehingga ke peringkat ijazah. Memandangkan Malaysia kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal seperti juruteknik dan jurutera, KPM mengambil pendekatan mengetengahkan bidang Teknik dan Vokasional (TVET) bagi keperluan melatih tenaga kerja muda serta memberi peluang kepada murid-murid menceburi bidang teknikal dan vokasional selain daripada aliran biasa yang lebih tertumpu kepada bidang sains dan sastera.

Penstrukturan semula Sekolah Menengah Vokasional (SMV) diharapkan dapat melonjak bidang kemahiran teknikal sebagai aliran pendidikan arus perdana negara dalam melahirkan lebih ramai tenaga mahir sejak di bangku sekolah lagi. Transformasi ini meletakkan bidang kemahiran teknikal atau vokasional yang cukup relevan dalam konteks keperluan melatih tenaga kerja bagi keperluan negara pada masa akan datang.

Perubahan drastik terhadap teknologi dan perkembangan ekonomi menuntut kepada keperluan tenaga mahir dan organisasi latihan dalam melahirkan murid yang mampu bersaing dalam era globalisasi. Unit Perancang Ekonomi Malaysia (EPU) pada 2006 menyatakan bahawa Malaysia perlu memperbaiki dan meningkatkan kualiti tenaga kerja dengan meningkatkan modal insan berpendidikan dan berkemahiran. Justeru, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menaik taraf Sekolah Menegah Teknik di Malaysia bagi menjayakan misi dan visi melahirkan lebih ramai tenaga mahir. Sekali lagi KPM merancang pengstrukturan semula Sekolah Menengah Teknik kepada Kolej Vokasional dengan tujuan yang sama iaitu memperkasakan bidang Teknik dan Vokasional (TVET) dengan menawarkan lulusan dengan Sijil Diploma setelah menamatkan pengajian di Kolej Vokasional (KV).

Kesinambungan Sekolah Menengah Teknik (SMT) kepada Kolej Vokasional (KV) adalah salah satu pendekatan yang dilakukan oleh KPM bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan (mismatch) dalam kalangan pelajar dengan keperluan tenaga kerja dalam sektor industri. Sistem pembelajaran di Kolej Vokasional yang telah diperkenalkan pada tahun 2012 menjadi titik tolak kepada sistem Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) yang telah bermula sejak tahun 1964 lagi. Tuntasnya, adakah KPM telah mengkaji sedalamnya dengan perancangan rapi terhadap penstrukturan semula SMT kepada KV? Sejauh manakah ianya benar-benar berhasil melahirkan tenaga mahir yang diperlukan oleh negara atau ianya hanya sekadar omong kosong bagi mengaburi mata pelbagai pihak?

Melihat kepada lulusan Diploma KV yang telah melalui proses pembelajaran di Kolej Vokasional, rata-rata mereka merasa gusar terhadap masa depan mereka yang tidak menentu memandangkan Sijil Diploma yang diperolehi hanyalah setara dengan sijil kemahiran (SKM3). Mereka memang mendapat kemahiran yang baik ketika belajar di KV dan boleh menjadi tenaga mahir di peringkat bawahan kerana tahap kelulusan mereka tidak setara dengan pemegang diploma lain. Itu antara penyebab mengapa sukar bagi mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. Apa yang dapat dirumus daripada hasil lulusan KV menunjukkan tahap kemahiran yang diberikan kepada pelajar KV sangat bagus tetapi tidak disusuli dengan penguasaan akademik yang setara dengan SPM. Subjek akademik yang ditawarkan kepada pelajar KV sangat rendah dan tidak setara dengan subjek-subjek yang dipelajari oleh murid-murid tingkatan empat dan lima di aliran perdana. Justeru, kualiti akademik pelajar-pelajar ini tidak menyokong kualiti kemahiran yang diperolehi.

KPM pada awalnya cuba untuk mengstruktur semula Sekolah Teknik kepada Kolej Vokasional yang memberi peluang kepada pelajar untuk menceburi bidang kemahiran. Namun, pelaksanaannya yg dilihat sambal lewa menjadikan pelajar-pelajar tidak dapat meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Diploma yang disandang oleh lulusan KV juga hanya sekadar menjadi pekerja mahir bawahan sedangkan mereka seharusnya diketengahkan sebagai golongan pakar dalam bidang yang diceburi. Ini kerana perancangan rapi tidak dijalankan sebaiknya ketika penstrukturan semula. Jika di Amerika, lulusan High School Diploma telah dirancang ketika pelajar-pelajar masih di sekolah menengah rendah sehingga ke menengah atas. Mereka perlu menghabiskan 48 jam kredit untuk melayakkan mereka mendapat High School Diploma. Pelajar Freshmen, Sophomore, Junior dan Senior perlu lulus kesemua subjek yang diambil untuk mendapat sijil. Mereka boleh terus memohon ke peringkat ijazah dengan menggunakan High School Diploma. Namun, apa yang berlaku kepada lulusan Diploma Kolej Vokasional adalah berbeza. Lebih parah lagi apabila lulusan KV tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Kementerian Pendidikan menetapkan syarat kemasukan ke universiti awam mestilah lulus Sijil Pelajaran Malaysia. Ke manakah pelajar-pelajar lulusan KV hendak pergi? Ke depan salah ke belakang sesat. Dilema ini menjadikan mereka terumbang ambing untuk memilih kerjaya masa depan mereka. Jika ingin meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, mereka terpaksa mengambil diploma sekali lagi dan mengambil masa yang lebih panjang untuk mendapat segulung ijazah.

KPM seharusnya memandang serius akan hal ini bagi tujuan mencapai misi yang diuar-uarkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Penstrukturan semula Kolej Vokasional perlu dilakukan bukan hanya sekadar merombak kurikulum namun lebih daripada itu dengan memberi latihan semula kepada guru-guru yang mengajar di Kolej Vokasional. Bukan sekadar menukar nama Sekolah Teknik kepada Kolej Vokasional, tahap pembelajaran juga perlu diperkasakan dengan menyediakan silibus yang seimbang antara kemahiran dan penguasaaan akademik. Guru-guru yang berkualiti juga perlu ditempatkan di Kolej Vokasional. Sehingga kini masih ada lagi guru-guru lama yang tidak mempunyai ijazah dan masih mengajar di Kolej Vokasional sedangkan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPMV) telah lama dibubarkan dan dinaik taraf kepada diploma.

Apakah kita ingin melihat lulusan Diploma Kolej Vokasional hanya sekadar lulusan kelas ketiga sedangkan ada di antara mereka berpotensi menjadi insan yang suatu hari nanti boleh memacu negara? Justeru, acuan yang bagaimana yang kita ingin bentuk hasil daripada keluaran Kolej Vokasional? Adakah sekadar melepaskan batuk di tangga dengan mengorbankan jiwa anak bangsa yang mempunyai masa depan yang panjang untuk berbakti kepada negara?

……

Penulis merupakan Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC), dan boleh dihubungi di abdrazak@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation