Kenaikan cukai perkhidmatan 8 peratus boleh cetus kebimbangan

Spread the love

Oleh: Prof Madya Dr. Anna Azriati Che Azmi

Kerajaan baru-baru ini bercadang untuk meningkatkan kadar cukai perkhidmatan ke 8% dari 6% sambil memperkenalkan pengecualian untuk beberapa industri tertentu untuk kenaikan kadar cukai ini. Namun, perubahan terbaru dalam kenaikan cukai perkhidmatan dan pengecualian kenaikan kadar ini untuk industri tertentu, akan menimbulkan masalah lain.

Prof Madya Dr. Anna Azriati Che Azmi

Tujuan utama kenaikan cukai perkhidmatan adalah tidak begitu jelas. Sekiranya matlamat kenaikan kadar cukai perkhidmatan adalah untuk tujuan memberi hasil kepada negara, memberikan pengeculian kadar cukai perkhidmatan adalah langkah yang kurang tepat. Kos pemunggutan cukai akan meningkat kerana menambah pengecualian kepada beberapa industri tertentu dan akan menjadikan sistem cukai perkhidmatan menjadi rumit.

Mungkin kadar yang rendah untuk industri tertentu bertujuan untuk memperbaiki kesan daripada kenaikan cukai perkhidmatan terhadap pengguna. Walaubagaimanapun, kesan ini boleh secara tidak sengaja merosakkan matlamat utama penghasilan pendapatan daripada perubahan cukai ini. Sebagai contoh, pengecualian kenaikan kadar cukai perkhidmatan ke atas industri makanan, minuman dan telekomunikasi mungkin diberi kerana cuba menyokong isi rumah berpendapatan rendah.

Namun, ini boleh menyebabkan kerugian pendapatan yang besar kepada negara. Ini kerana kedua-dua golongan berpendapatan tinggi dan rendah membeli makanan, minuman dan telekomunikasi, dan seringkali dalam kuantiti yang berbeza. Kedua-dua golongan ini akan mendapat impak juga dari kenaikan kadar cukai perkhidmatan pada industri yang akan terkesan, golongan berpendapatan rendah mungkin akan merasai impak ini lebih kerana sumber pendapatan terhad.

Memperkenalkan kadar cukai perkhidmatan yang berbeza-beza untuk industri tertentu akan menyebabkan munculnya kumpulan yang berpengaruh akan melobi untuk mendapatkan kadar cukai perkhidmatan yang rendah untuk industri mereka. Kepentingan kewangan mereka yang besar menjadikan mereka bertekad untuk memastikan kadar cukai perkhidmatan pada kadar rendah. Kumpulan ini akan berusaha untuk melobi dengan luas, menggunakan sumber mereka untuk mempengaruhi pembuat dasar agar kadar cukai perkhidmatan yang rendah dapat dinikmati oleh mereka.

Suatu sistem cukai barang dan perkhidmatan yang mempunyai satu kadar cukai sahaja merupakan suatu sistem cukai yang ideal. Pendekatan ini memastikan pengguna tidak mempunyai insentif kewangan untuk beralih penggunaan mereka kepada barang dan perkhidmatan dengan kadar cukai yang lebih rendah, kerana ini mungkin tidak sepadan dengan kehendak mereka.

Kenaikan terkini dalam kadar cukai perkhidmatan dengan pengecualian untuk beberapa industri tertentu adalah isu yang kontroversi. Walaupun penyokong cadangan ini akan melihat dari manfaat pendapatan negara yang diperolehi, cadangan ini juga mempunyai kesan yang tidak diingini. Hasil negara tidak mungkin akan mengalami peningkatan yang baik. Pengaruh kumpulan berpengaruh akan melobi agar industri mereka tidak menerima kenaikan kadar cukai perkhidmatan ini.

Pembuat dasar cukai akan menghadapi cabaran untuk mencari keseimbangan antara penghasilan pendapatan, menyokong golongan yang kurang bernasib baik, dan mengawal tingkah laku yang boleh membawa kepada matlamat sistem cukai yang berfungsi dengan baik.

……

Penulis merupakan Profesor Madya di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di annaazriati@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation