• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Amalan Gaya Hidup Hayatan Toyyibah Dari Perspektif Islam

Spread the love

Oleh : 1Siti Jamilah Mohd Sukri & 2 Che Nurul Asyiqin Che Yusoff

Kehidupan yang sejahtera, aman damai dan harmoni dalam kalangan masyarakat merupakan impian setiap insan yang mendambakan ketenangan dalam kehidupan. Disebalik ranjauan kehidupan yang semakin menekan, adakalanya manusia tercari-cari mekanisme terbaik untuk melepaskan segala tekanan yang terpaksa dipikul dari segi pekerjaan, hubungan kekeluargaan, rakan taulan dan dilema yang pelbagai. Malangnya, ada sesetengah tersalah memilih kaedah untuk mencari ketenangan, lebih-lebih lagi melalui cara yang bertentangan dengan etika moral secara umumnya. Masakan tidak, di bulan ramadhan yang mulia, masih ada segelintir umat Islam melakukan aktiviti-aktiviti yang mencemarkan imej seseorang Muslim. Sebagai contoh, ada segelintir pempengaruh media sosial merakam rakaman lagu bertemakan hari raya aidilftri seolah-olah menormalisasikan budaya transgender dalam kalangan masyarakat melalui pemakaian pakaian yang ketat dan mempamerkan lenggok badan yang tidak sopan.

Perbuatan sebegini bukan sahaja tidak menghormati bulan suci Ramadhan, bahkan membuka peluang masyarakat untuk memfokuskan perkara-perkara yang tidak berfaedah melalui tayangan-tayangan video yang jelek lagi tidak memberikan apa-apa manfaat. Alasan yang diberikan juga tidak munasabah dengan mengatakan perbuatan ini dilakukan semata-mata untuk hiburan sahaja dan melihat reaksi masyarakat di luar sana. Melihatkan senario ini, semakin lama sifat malu dalam kalangan umat Islam pada zaman sekarang semakin tandus iaitu, boleh diibaratkan seperti ‘telur dihujung tanduk’. Mereka menyangka kebahagiaan akan diperoleh berdasarkan bilangan ketikan suka  dan rakaman video yang ditularkan dalam media sosial. Bagi mereka, kebahagiaan boleh diperoleh dengan menjadi pusat tumpuan orang ramai dan popular seperti selebriti di luar sana. Perbuatan seperti ini mendatangkan kerisauan kerana segelintir mereka menjadikan hiburan sebagai lesen bagi melakukan perbuatan yang tidak beretika. Masakan tidak, generasi muda pada masakini memandang enteng kepentingan menuntut ilmu secara formal kerana bercita-cita untuk menjadi pempengaruh media sosial yang boleh memperoleh pendapatan lumayan dengan cara yang mudah tanpa perlu menghabiskan wang ringgit, tenaga dan usaha berbanding menuntut ilmu secara formal yang mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun. Rentetan itu, bilangan para pelajar yang berminat untuk menyambung pelajaran juga semakin lama semakin tandus. Lebih membimbangkan tidak mustahil jika suatu hari nanti universiti dan sekolah-sekolah semakin lompong bilangan pelajar yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu di institusi pendidikan.

Tidak bermaksud salah mempunyai cita-cita sebagai pempengaruh kerana ada sahaja pempengaruh yang berjaya membina kandungan-kandungan video yang bermanfaat serta menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama. Tetapi, yang dibimbangi ialah mencipta kandungan video yang tidak bermanfaat, merosakkan akhlak dan pemikiran yang rasional serta boleh menjadi contoh tauladan yang tidak baik kepada generasi muda terutamanya. Hal ini demikian kerana penggunaan sosial media tanpa kawalan dan tujuan yang jelas boleh membawa kepada penularan penyakit mental yang serius. Terdapat banyak kajian yang dijalankan mengaitkan kesan penggunaan media sosial kepada timbulnya masalah kesihatan mental seperti perasaan cemas, tidak tenteram,  masalah depresi atau kemurungan yang teruk.

Lebih-lebih lagi, segelintir masyarakat menjadikan jumlah pengikut sebagai kayu ukur untuk menentukan populariti seseorang pempengaruh. Pada hemat mereka, tahap populariti penting untuk menunjukkan pengaruh mereka di dalam masyarakat. Hipotesis semakin ramai pengikut di dalam media sosial semakin popular dan berpengaruh dalam Masyarakat menjadi pegangan. Masakan tidak, ada sesetengah syarikat meletakkan syarat dengan adanya akaun media sosial berserta jumlah pengikut yang ramai boleh menjadi salah satu asbab syarat penerimaan seseorang pekerja. Inilah realiti sekarang yang kita harus hadapi bahawa tahap kecerdasan dan keilmuwan seseorang bukan lagi menjadi syarat utama untuk menilai kewibawaan seseorang untuk diterima masuk bekerja. Maka, tidak hairanlah jika generasi muda semakin hilang minat untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi kerana merasakan kerjaya pempengaruh media sosial boleh menjamin pulangan lumayan tanpa perlu berhempas pulas menuntut ilmu. Sudut pandang sebegini boleh ‘menjerat leher’ kerana tanpa ilmu dan pegangan yang kukuh, tidak mustahil akan terjun ke lembah kemusnahan akibat mudah terjebak dengan sogokan-sogokan negatif demi meraih keuntungan semata-mata. Sebagai contoh, ada segelintir pempengaruh terutamanya golongan usahawan  sanggup melakukan aksi-aksi yang tidak sopan semata-mata untuk melariskan sesuatu produk. Bagi mereka dengan mencipta isu sebegini, mereka boleh menjadi popular lebih-lebih lagi boleh mengundang kecaman masyarakat walaupun terpaksa mengaibkan diri sendiri.

Melihatkan senario sebegini, ramai yang sanggup memilih jalan keaiban semata-mata ingin mendapatkan keuntungan yang melimpah ruah demi kemewahan kehidupan di dunia. Persoalannya, sejauh manakah gaya hidup sebegini boleh memberikan kebahagiaan? Adakah benar-benar diperoleh kebahagiaan hakiki yang boleh membawa ketenangan? Berbeza maksud kebahagiaan dari kaca mata seseorang mukmin yang menekankan aspek ‘hayatan toyyibah‘ sebagai mekanisme untuk mendapatkan kebahagiaan yang holistik. Sudut pandang hayatan toyyibah menilai kebahagiaan bukan dari sudut kebendaan, status mahupun populariti yang dimiliki. Kebahagiaan boleh dicapai walaupun memiliki kehidupan yang sederhana dan jauh daripada sifat-sifat kemewahan yang lain. Ada orang yang kehidupannya sangat sederhana seperti rumah yang kecil, gaji yang sederhana, satu kenderaan sahaja untuk memudahkan pergerakan dan tidak dikenali oleh masyarakat.Tetapi, kehidupan yang dimiliki cukup membahagiakan dan terasa lengkap. Lebih-lebih lagi dalam Islam, elemen takwa merupakan tunjang kepada kehidupan yang berkonsepkan hayatan toyyibah. Hal ini demikian kerana daripada sifat takwa lahirnya sifat-sifat yang baik seperti itqan iaitu, bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan untuk mendapatkan hasil yang terbaik, amanah, haya’ (sifat malu bertempat) dan banyak lagi sifat-sifat terpuji yang lain. Seseorang Muslim tidak akan berani melakukan sesuatu perbuatan yang tercela dengan adanya sifat takwa yang berperanan sebagai benteng pencegahan. Bahkan, Allah SWT telah menjanjikan kehidupan yang bahagia di dunia mahupun akhirat bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup berteraskan prinsip hayatan toyyibah dengan menjadikan sifat takwa sebagai tonggak kepada sesuatu perbuatan.

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Imran ayat 133 berkenaan dengan janjiNya dalam memberikan ganjaran pahala yang melimpah ruah dan syurga kepada orang-orang yang bertaqwa.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa.”

Selain itu, dijanjikan rezeki melimpah ruah sebagai tanda kurniaan Allah kepada hambanya yang taat mentaati perintahNya. Bukankah limpahan nikmat yang Allah berikan di dunia mahupun di akhirat sudah cukup membahagiakan orang-orang mukmin? Tidak benar sama sekali tanggapan sebahagian orientalis yang menganggap agama Islam ketinggalan zaman akibat menolak pembangunan material kerana terlalu mementingkan pembangunan kerohanian semata dalam menjamin kehidupan yang sejahtera. Hakikatnya, Islam mengekang penganutnya terlalu berlebih-lebihan memanjakan diri dengan kemewahan agar penyakit wahn tidak bersarang di dalam seseorang mukmin. Apabila terlalu tebal cinta kepada perkara keduniaan akan membawa kepada kemusnahan akhlak dan budi pekerti akibat terlalu asyik diulit kemewahan. Malah, sejarah turut mengajar kita kejatuhan sesebuah tamadun kerana menganggap hiburan yang melampau sebagai medium untuk memberikan keseronokan. Walhal, keseronokan ini bersifat sementara dan tidak hakiki.

Akhir kalam, pengamalan gaya hidup berteraskan hayatan toyyibah berupaya memberikan kebahagiaan hakiki kepada seseorang individu kerana menjadikan elemen ‘toyyibah‘ iaitu, bercirikan baik, berkualiti dan suci mengikut penilaian syariah sebagai tonggak dalam melakukan sesuatu perbuatan. Jika segala-galanya berada dalam parameter yang digariskan oleh syariah, maka ketenangan, kebahagiaan dan kemakmuran kehidupan akan berada di dalam genggaman sesiapa sahaja tanpa mengira status, tahap populariti dan tahap kekayaan dimiliki.

1Siti Jamilah Mohd Sukri
Pensyarah Pengurusan Islam dengan Perniagaan Halal,
Fakulti Teknologi, Reka Bentuk dan Pengurusan (Pengurusan Islam),
Kolej Universiti Yayasan Pahang.
Emel : jamilah@ucyp.edu.my

2 Che Nurul Asyiqin Che Yusoff,
Graduan Sarjana,
Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Emel: chenurulasyiqin@yahoo.com


Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation