Bantuan subsidi diesel disalurkan kepada masyarakat Orang Asli
PUTRAJAYA, 1 Julai 2024 – Susulan pengumuman pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memaklumkan bahawa bantuan subsidi bahan api diesel kepada masyarakat Orang Asli akan disalurkan bermula pada 30 Jun 2024 berdasarkan permohonan tuntutan mereka.
Menurut JAKOA menerusi satu kenyataan hari ini, bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan, JAKOA akan memperkemaskan proses permohonan melalui bantuan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) yang akan turun padang agar tiada keciciran berlaku dikalangan Orang Asli yang layak.
“Bantuan ini akan membantu meringankan beban kos bahan api yang ditanggung oleh masyarakat Orang Asli dalam menjalankan aktiviti harian dan ekonomi mereka. Bantuan ini turut meliputi mereka yang tidak termasuk dalam kategori BUDI AgriKomoditi dan BUDI Individu.
Mengambil kira kekangan dan rintangan masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman, JAKOA akan memperhalusi mekanisma pembayaran bantuan serta menjadi agensi pemudahcara supaya proses tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.
JAKOA sentiasa komited dalam membantu masyarakat Orang Asli dan berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup mereka.” ujar JAKOA.
Be the first to leave a comment