PUTRAJAYA, 18 OGOS 2024 — Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyambut baik aspirasi Perdana Menteri dalam Mesyuarat Agung Penjawat Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2024 untuk terus komited memperkasakan perkhidmatan awam sebagai tunjang kemajuan negara.
Menurut PETRA menerusi satu kenyataan hari ini, Kementerian menyokong tiga (3) intipati utama reformasi perkhidmatan awam yang diumumkan dengan berusaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan melalui penerapan teknologi dan proses inovatif dalam pengurusan tenaga dan air.
“Di samping itu, PETRA juga komited untuk mempersiapkan pegawai dalam menghadapi perubahan dengan menyediakan latihan berterusan dan peluang pembangunan profesional. Dengan pendekatan ini, PETRA yakin dapat memperkukuhkan daya saing negara melalui inisiatif yang menyokong pertumbuhan mampan dan kecemerlangan dalam sektor kritikal ini.” kata PETRA.
Pelarasan gaji yang diumumkan oleh Kerajaan, dengan kenaikan 15% untuk pegawai Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan 7% bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan persekitaran kerja tetapi juga berperanan penting dalam mengurangkan risiko rasuah dan ketirisan dalam sektor awam.
“Dengan pendapatan yang relevan dan kesejahteraan yang lebih terjamin, pegawai awam akan kurang terdedah kepada tekanan kewangan yang boleh mendorong kepada amalan tidak beretika. Ini seterusnya akan menggalakkan budaya integriti dan akauntabiliti yang lebih kukuh, serta memastikan sumber awam digunakan dengan lebih berkesan dan bertanggungjawab.
Di samping itu, usaha Kerajaan memperkenalkan penambahbaikan kemajuan kerjaya bagi pegawai gred 41 hingga gred 48 melalui kenaikan pangkat secara Khas untuk Penyandang (KUP) dijangka memberi manfaat kepada lebih 342 orang pegawai di Jabatan dan agensi di bawah PETRA, terutamanya dalam skim perkhidmatan tertutup di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).” kata PETRA.
Tambahnya, langkah pengiktirafan pegawai sebagai Subject Matter Expert (SME) dalam bidang kritikal seperti peralihan tenaga memberikan PETRA kelebihan untuk memanfaatkan kepakaran dalaman dan mengurangkan kebergantungan kepada konsultan luar. Ini juga memastikan laluan kerjaya yang lebih dinamik dan fleksibel kepada pegawai.
Dengan sokongan ini, PETRA akan memastikan kecemerlangan dalam pengurusan tenaga dan transformasi air, memacu agenda negara ke arah kemajuan yang lebih pesat dan berdaya saing di peringkat global.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment