‘Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas’ merupakan tema peringkat kebangsaan pada tahun ini bersempena Hari Warga Emas Sedunia yang disambut pada 1 Oktober saban tahun. Mengupas perspektif dari penjagaan kesihatan pergigian, adalah amat penting untuk golongan ini serta masyarakat untuk cakna dan prihatin terhadap kesihatan pergigian selari dengan Dasar Warga Emas Negara yang menggariskan lima jenis penuaan iaitu penuaan yang sihat, penuaan positif, penuaan menyokong, penuaan produktif dan penuaan aktif.
Menurut statistik dari Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Pergigian Orang Dewasa yang diadakan pada setiap sepuluh tahun sekali oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pada tahun 2020, trend menunjukkan bahawa peratus warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 batang gigi kekal ialah sebanyak 34.3 peratus. Hal ini adalah bersamaan dengan tiga dari sepuluh orang warga Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas. Ini menunjukkan bahawa negara masih perlu berusaha keras dalam mengorak langkah kearah sasaran kesihatan pergigian kebangsaan yang mensasarkan 60 peratus warga emas mempunyai gigi sebanyak 20 batang dan ke atas.
Menurut satu kajian yang dijalankan pada 2022 yang diterbitkan dalam BMC Oral Health bertajuk Tooth retention, health, and quality of life in older adults: a scoping review, terdapat hubungkait yang positif bagi warga emas yang mempunyai gigi lebih dari 20 batang dengan kesihatan secara keseluruhan serta penuaan yang sihat dan positif. Hal ini kerana, umum diketahui bahawa gigi merupakan aset penting untuk pertuturan, mengunyah makanan serta ketrampilan sosial. Dengan adanya gigi yang sihat sebanyak 20 batang dan ke atas, gigi dapat berfungsi dengan baik seterusnya menjamin kualti hidup yang sihat.
Selari dengan konsep penuaan menyokong, satu inisiatif telah dijalankan oleh Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia dalam menyantuni komuniti warga emas serta memberi pendedahan kepada golongan yang meniti usia ini menerusi program Senyuman Abadi: Pemerkasaan Kesihatan Mulut Warga Emas dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kemumin di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada 24 Oktober 2024.
Berobjektifkan ke arah peningkatan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mulut dalam kalangan warga emas, pelbagai aktiviti seperti ceramah pergigian, pameran kesihatan, pemeriksaan pergigian serta sesi latihan dalam kumpulan yang sangat interaktif. Sesi latihan dalam kumpulan sangat memberi impak serta maklum balas positif oleh kerana para pelatih yang memberi demonstrasi penjagaan pergigian merupakan wakil golongan komuniti warga emas yang telah dilatih oleh para pensyarah pergigian yang terlibat dalam program ini.
Program ini juga dimeriahkan dengan perasmian program oleh Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Antarabangsa, Pusat Pusat Pengajian Sains Pergigian, Professor Madya Dr Yanti Johari dan diserikan dengan kehadiran Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Dato’ Haji Roomai Nor Ali, wakil dari Jabatan Khidmat Masyarakat Kelantan serta pengarah program, Dr Mohammad Majduddin Sulaiman.
Para peserta yang rata-ratanya golongan warga emas sekitar Pengkalan Chepa juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai sesi cabutan bertuah yang membawa pulang pelbagai item menarik, hasil tajaan rakan kerjasama serta penaja iaitu Klinik Pergigian Dr Emma Saz dan Klinik Pergigian La Dentista. Kehadiran pasukan saringan kesihatan dari Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa juga telah menjadikan program lebih bermanfaat kepada para peserta melalui saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah dan paras gula dalam darah.
“Program yang sangat bagus serta perkongsian yang berilmiah untuk diaplikasikan dan diharap dapat dijalankan lagi pada masa akan datang”, ulas salah seorang peserta program yang mahu dikenali sebagai Cik Mah. Rata-rata peserta memberikan komen yang positif terhadap penganjuran program seumpama ini. Diharap program ini bukan sekadar satu pengisian malah memberi satu impak positif untuk diaplikasikan dalam rutin seharian bagi golongan warga emas agar kesihatan yang optimum dapat dicapai secara holistik, termasuk aspek kesihatan pergigian. Bak kata pepatah, bagai aur dengan tebing, kita harus saling bekerjasama dalam perkara ini. Oleh yang demikian, kerjasama semua pihak adalah penting untuk menyantuni golongan yang meniti usia emas ini sebagai salah satu langkah menghargai jasa serta bakti mereka selama ini.
Kesimpulannya, penjagaan kesihatan pergigian yang baik bukan sahaja penting untuk kualiti hidup warga emas, malah menjadi asas kepada penuaan yang bermaruah dan menyokong kesejahteraan holistik melalui usaha kolaboratif masyarakat dan pelbagai institusi. Oleh itu, ayuh kita berganding bahu dalam mewujudkan penuaan bermaruah melalui kesihatan pergigian yang baik.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment