Oleh: Dr. Mohd Khairi Ismail
Menurut laporan Jabatan Insolvensi Malaysia, kaum Melayu merupakan penyumbang utama kepada kadar muflis tertinggi di Malaysia dengan 15,586 kes atau 57.92 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan antara tahun 2020 hingga Mac 2024. Di samping itu, kaum Cina mencatatkan 6,917 kes, iaitu 25.71%, manakala kaum India menyumbang 2,324 kes atau 8.64%. Data ini menunjukkan bahawa kaum Melayu mempunyai kadar kebankrapan tertinggi, diikuti oleh kaum Cina dan India sepanjang tempoh tersebut. Situasi ini amat membimbangkan dan faktor seperti celik kewangan yang rendah, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia telah dikenal pasti sebagai pemacu utama salah urus kewangan, pengumpulan hutang, dan akhirnya muflis. Kekurangan pengetahuan kewangan ini menjejaskan keupayaan individu untuk membuat keputusan mengenai simpanan, belanjawan dan pelaburan.
Mereka daripada golongan berpendapatan rendah sukar untuk memahami implikasi jangka panjang hutang. Ini termasuk kadar faedah tinggi pada kad kredit, pinjaman peribadi, dan juga pinjaman hari gaji. Kekurangan pengetahuan tentang cara faedah terakru dan cabaran pengkompaunan hutang sering menyebabkan individu mengambil lebih banyak hutang daripada yang mereka mampu bayar. Sebagai contoh, adalah perkara biasa bagi orang ramai untuk mengambil beberapa pinjaman untuk menampung perbelanjaan segera. Apabila pembayaran balik menjadi tidak terurus, ramai yang terjebak dalam keberhutangan yang tinggi dan lebih teruk diistiharkan muflis.
Walaupun pelaburan adalah cara utama untuk membina kekayaan dari semasa ke semasa, tetapi pemahaman terhad tentang produk kewangan seperti saham, bon, atau pelan simpanan menyebabkan ramai rakyat Malaysia, terutamanya dalam kumpulan B40 (kumpulan berpendapatan terendah) tidak mampu menguruskannya dengan baik. Kekurangan kesedaran tentang cara pelaburan tersebut berfungsi, bersama-sama dengan keraguan atau ketakutan untuk mengambil risiko, menghalang individu daripada meneroka kaedah untuk mengembangkan simpanan mereka.
Tambahan lagi, disebabkan pengetahuan terhad tentang perkhidmatan kewangan formal, sesetengah individu beralih kepada sistem pinjaman tidak formal atau produk kewangan yang tidak mampan. Penyelesaian tunai pantas ini selalunya memberikan kelegaan jangka pendek tetapi mewujudkan kesukaran kewangan jangka panjang, kerana orang ramai terperangkap dalam kitaran hutang yang mereka berusaha untuk melarikan diri.
Menyedari kepentingan meningkatkan celik kewangan, kerajaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah memperjuangkan pendidikan kewangan yang lebih baik. Program yang dirangka kini menyasarkan generasi muda untuk menerapkan tabiat perancangan kewangan lebih awal. Inisiatif ini mengambilkira perkara asas seperti belanjawan, simpanan dan pelaburan, di samping memfokuskan pada pengurusan hutang untuk memecahkan kitaran salah urus kewangan dan muflis. Selain itu, menangani isu celik kewangan adalah kunci untuk membantu kaum Melayu dan kaum lain yang terdedah untuk mengelakkan daripada perangkap kewangan dan membina kestabilan ekonomi jangka panjang.
Penulis merupakan Felo Penyelidik Pasca Siswazah di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment