Oleh: Mohammad Ridhwan Rosli
Technical and Vocational Education and Training (TVET) semakin diiktiraf sebagai komponen penting dalam pembangunan tenaga kerja yang kompeten dan produktif. Namun, persepsi umum sering kali menghadkan TVET kepada golongan belia dan pelajar sahaja. Hakikatnya, TVET menawarkan peluang kepada semua lapisan masyarakat, termasuk orang awam, untuk mendapatkan kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan semasa. Pusat-pusat latihan bertauliah yang diiktiraf TVET di seluruh negara membuka pintu kepada pelbagai individu yang ingin meningkatkan kemahiran mereka, seterusnya menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Di Selangor, satu inisiatif unik telah dilaksanakan untuk mengubah paradigma ini. Team Selangor, di bawah inisiatif Menteri Besar Selangor, telah melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan pendekatan berasaskan TVET dalam memperkasakan komuniti. Menerusi kolaborasi strategik bersama Selangor Technical Development Centre (STDC), program TS Mahir: Kursus Gunting Rambut diperkenalkan sebagai platform untuk melatih sukarelawan dalam bidang kemahiran teknikal, di samping menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Stereotaip bahawa sukarelawan hanya terlibat dalam aktiviti seperti mengutip sampah dan menanam pokok masih lagi berakar umbi dalam masyarakat. Namun, pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Team Selangor membuktikan bahawa sukarelawan juga boleh memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti melalui kemahiran teknikal. Kursus gunting rambut ini, misalnya, menjadi contoh bagaimana TVET dapat melangkaui sekadar pengajaran kemahiran dan menjadi instrumen perubahan sosial.
Program TS Mahir bermula dengan taklimat kepada 50 sukarelawan yang berminat, diikuti dengan sesi temuduga untuk memilih peserta terbaik. Hasilnya, 20 sukarelawan berjaya disenarai pendek untuk mengikuti kursus ini secara percuma selama tiga bulan. Sepanjang tempoh latihan, peserta didedahkan kepada teori dan praktikal, termasuk pengendalian peralatan dan teknik gunting rambut yang profesional.
Apa yang membezakan program ini adalah elemen praktikal yang disertakan. Peserta diberi peluang untuk mengaplikasikan kemahiran mereka melalui program gunting rambut percuma di sembilan lokasi berbeza. Program ini menyasarkan lebih 540 komuniti setempat, terutamanya golongan B40 yang terkesan oleh kos sara hidup yang semakin meningkat. Inisiatif ini bukan sahaja memberikan manfaat langsung kepada komuniti, tetapi juga membina keyakinan diri peserta untuk menerapkan kemahiran mereka dalam situasi sebenar.
Selain itu, program ini turut memperkukuhkan prinsip asas sukarelawan, iaitu memberi tanpa mengharapkan balasan. Sukarelawan yang menyertai TS Mahir tidak sekadar menjalankan aktiviti biasa, tetapi turut menyumbang kepada pengurangan beban komuniti melalui perkhidmatan yang praktikal dan relevan.
Nilai tambah yang diperoleh peserta TS Mahir tidak terhenti selepas tamat program. Dengan sijil kemahiran yang diterima, mereka berpeluang untuk melanjutkan latihan atau membuka perniagaan sendiri dalam bidang dandanan rambut. Ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan mereka, tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi tempatan. Dalam jangka panjang, kemahiran ini dapat menjadi aset berharga untuk menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar.
Sebagai contoh, seorang peserta yang menyertai program ini mungkin memulakan perniagaan kecil-kecilan di kawasan tempat tinggal mereka. Selain menjana pendapatan, mereka juga boleh melibatkan diri dalam lebih banyak program komuniti seperti gunting rambut percuma untuk kanak-kanak sebelum musim persekolahan atau untuk warga emas di rumah kebajikan.
TVET memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada masyarakat yang progresif. Program seperti TS Mahir bukan sahaja melahirkan individu yang berkemahiran, tetapi juga membina masyarakat yang lebih inklusif dan saling menyokong. Melalui latihan teknikal, individu dapat menyumbang kepada komuniti mereka dengan cara yang lebih bermakna, berbanding hanya menjadi penerima bantuan.
Namun, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan TVET. Masih ramai yang menganggap TVET sebagai sesuatu yang sukar, memakan masa panjang, atau kurang relevan. Persepsi ini perlu diubah agar lebih ramai individu dapat melihat TVET sebagai peluang untuk membina masa depan yang lebih baik, baik untuk diri sendiri mahupun untuk komuniti mereka.
Kursus gunting rambut hanyalah salah satu contoh bagaimana TVET dapat digunakan untuk memperkasakan komuniti. Terdapat pelbagai kemahiran lain seperti memasak, menjahit, pertukangan, dan teknologi asas yang boleh diperkenalkan melalui program sukarelawan. Dengan pendekatan yang betul, kemahiran-kemahiran ini boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan pelbagai masalah sosial, daripada pengangguran hingga keperluan bantuan teknikal di kawasan luar bandar.
Sebagai tambahan, komuniti perlu diberikan akses kepada maklumat mengenai program-program TVET yang ditawarkan. Kerajaan dan institusi berkaitan boleh memainkan peranan penting dengan menyediakan maklumat ini melalui platform digital, pameran kerjaya, atau kempen kesedaran di peringkat komuniti.
Melalui program seperti TS Mahir, kita dapat melihat bagaimana TVET boleh menjadi platform yang bukan sahaja membangun individu, tetapi juga mengubah komuniti. Sukarelawan yang berkemahiran bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat tetapi juga menjadi pemangkin kepada perubahan positif yang lebih besar.
Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:
خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (Riwayat Ahmad).
Dengan prinsip ini, TVET dan inisiatif seperti TS Mahir mampu mengubah landskap sukarelawan di Malaysia, menjadikannya lebih inklusif, berdaya saing, dan relevan dengan keperluan masyarakat masa kini. Kini, tanggungjawab kita adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menyedari peluang yang ditawarkan oleh TVET, seterusnya membentuk masyarakat yang lebih berdikari dan progresif.
Penulis merupakan Ketua, Unit Latihan dan Pembangunan Team Selangor (LATIH).
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment