Muadzam Shah, 11 Disember 2024 – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sekali lagi melakar kejayaan apabila berjaya menganjurkan program derma darah “Setitis Darah, Sejuta Makna 3.0” bertempat di UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang. Program berkala ini merupakan kerjasama erat antara UNITEN Business School (UBS), Kelab Siswa Sihat (KESIS), dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), dengan matlamat membantu meningkatkan bekalan darah di hospital serta menyemai kesedaran tentang kepentingan menderma darah dalam kalangan masyarakat.
Program yang disemarakkan dengan semangat kesukarelawanan ini berjaya mengumpulkan sebanyak 54 beg darah, satu sumbangan yang mampu membawa sinar harapan kepada pesakit yang memerlukan. Bekalan darah tersebut akan digunakan bagi memenuhi keperluan pesakit di hospital, khususnya dalam kes-kes kecemasan dan pembedahan.
Penasihat program, Nik Amalena Najebah binti Nik Azman, menyifatkan program ini sebagai satu langkah proaktif dalam memenuhi tanggungjawab sosial universiti. Menurutnya, “Sumbangan ini membuktikan bahawa UNITEN bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, malah turut memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat. Terima kasih kepada semua penderma dan sukarelawan yang telah menjayakan program ini.”
Kejayaan program ini tidak mungkin tercapai tanpa khidmat dan dedikasi 11 orang ahli jawatankuasa, yang diketuai oleh Saudara Akmal Hisyam bin Mohd Rosli, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) di UNITEN. Pasukan jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merancang serta melaksanakan program secara lancar dan teratur, memastikan setiap aspek diuruskan dengan cekap.
Sebagai pengiktirafan atas usaha berterusan dalam penganjuran program derma darah, UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah telah dinobatkan sebagai “Penganjur Paling Aktif” oleh HTAA sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pahang. Pengiktirafan ini menjadi bukti komitmen UNITEN dalam melaksanakan program berimpak tinggi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
UNITEN dan UBS sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial, mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang bermanfaat dan bermakna. Ketua Jawatankuasa Program, Saudara Akmal Hisyam, turut berkongsi harapannya terhadap program ini. “Usaha murni ini diharapkan dapat diteruskan, kerana setiap titisan darah membawa sejuta makna kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment