PUTRAJAYA – Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) bukan sekadar sebuah acara tetapi satu inisiatif strategik yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pusat inovasi keselamatan, kerjasama, dan kepimpinan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata persidangan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari esok hingga 22 Januari ini.
Jelasnya, persidangan itu diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertemakan “Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration,” mencerminkan aspirasi untuk perpaduan, kerjasama, dan pembangunan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata AISSE’25 menyasarkan kehadiran lebih daripada 300 syarikat dari 48 negara.
Katanya ini termasuk jenama terkemuka seperti Barzan Holdings, BlackBerry, 1AETOS & DRON, Systems Consultancy Services, SAMSUNG, ELMU E, Dahua Technology and U Mobile.
“Acara ini akan menampilkan 109 syarikat tempatan dan 212 syarikat antarabangsa, yang mempamerkan teknologi terkini dalam keselamatan.
“Dengan anggaran kehadiran 5,000 pelawat perdagangan dan 1,000 peserta seminar, AISSE’25 merupakan platform strategik yang mengumpulkan pelbagai pihak daripada keselamatan siber, keselamatan awam, dan teknologi pemantauan pintar,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata acara itu akan menerima 60 delegasi antarabangsa dan 500 perwakilan tempatan, termasuk menteri-menteri ASEAN dan pemimpin global.
Beliau berkata kedudukan Malaysia di tangga ke-10 dalam Global Peace Index (GPI) 2024 membuktikan komitmen kita terhadap keamanan.
“AISSE’25 bukan sahaja sejajar dengan pencapaian ini tetapi turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16 yang memfokuskan kepada keamanan, keadilan, dan institusi kukuh.
“Tema AISSE’25 menyerlahkan tekad kita untuk memperkukuhkan perpaduan serantau, meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang, dan mempromosikan strategi keselamatan yang inovatif,” katanya.
Tambah Saifuddin, AISSE’25 bukan sekadar pameran, tetapi pemangkin kepada perkongsian strategik antara kerajaan dan industri.
Beliau berkata acara itu memberi fokus kepada penyelesaian keselamatan dalam bidang seperti keselamatan siber, teknologi pemantauan canggih, dan peralatan ketenteraan, yang bukan sahaja memperkukuhkan keselamatan tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi.
“Antara program utama ialah Ministerial Roundtable, dan Ministerial Keynote and Fireside Chat, yang menjadi landasan untuk memperkukuhkan hubungan antara pemimpin kerajaan dan sektor keselamatan global.
“Ministerial Roundtable akan menyediakan platform perbincangan berimpak tinggi untuk menangani ancaman seperti keselamatan siber dan teknologi baharu,” katanya.
Menurut Saifuddin lagi, Sidang Kemuncak AISSE dan CPS akan mengandungi 36 sesi persidangan, termasuk forum, ucaptama, Fireside Chat, dan bengkel yang menampilkan penceramah berprofil tinggi.
Katanya, demonstrasi produk dan penyelesaian teknologi daripada pempamer akan mempamerkan inovasi terkini dalam keselamatan.
“Ini termasuk produk dan penyelesaian teknikal yang dirancang untuk menangani cabaran keselamatan moden.
“Saya mengundang semua pihak, sama ada sebagai pelawat atau pempamer, untuk turut serta dalam AISSE’25.
“Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi kami di www.aisse.my.13.AISSE’25 adalah peluang untuk kita sama-sama membentuk masa depan yang lebih aman dan selamat,” katanya.
Saifuddin menegaskan bahawa AISSE’25 adalah lebih daripada sekadar acara.
Beliau berkata ia adalah usaha kolektif untuk mempromosikan keselamatan, perpaduan, dan inovasi.
“Marilah kita manfaatkan acara ini untuk bekerjasama, berkongsi idea, dan membina perkongsian strategik.
“Semoga AISSE’25 menjadi pemangkin kepada perkongsian baharu, penyelesaian inovatif, dan komitmen terhadap keamanan global,” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment