Oleh: Muhammad Shahmil Saidin, Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin
Sambutan tahun baru 2025 telah disambut sebagai meraikan adat kebiasaan di negara berbilang bangsa di Malaysia. Sedar atau tidak dengan bermulanya tahun baru tersebut juga menandakan telah hampir tibanya ‘tetamu’ yang amat dirindukan iaitu bulan Ramadan al-Mubarak.
Manakala bulan Rejab dan Syaaban merupakan bulan untuk membuat persediaan dan persiapan bagi seseorang hamba menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak. Bagi muslim yang berjaya menunaikan ibadah khusus dengan sempurna dalam bulan Ramadan, akan mendapat ganjaran pahala yang besar dan pengampunan daripada Allah SWT. Justeru, bulan Rejab merupakan salah satu bulan haram yang ditetapkan oleh Allah SWT sepertimana firmanNya:
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang betul, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu.” (Surah At-Taubah, 36)
Apa yang dimaksudkan oleh bulan haram dalam ayat tersebut ialah, Saidina Abdullah Ibn ‘Abbas RA menafsirkan bahawa Allah SWT telah mengkhususkan empat bulan (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) sebagai bulan-bulan haram iaitu diharamkan peperangan atau pertumpahan darah. Hal ini kerana, Allah SWT mengangkat kemuliaan bulan-bulan tersebut dengan menggandakan setiap amalan yang dilakukan di dalamnya sama ada amalan baik dan buruk. (Tafsir Ibn Kathir)
Dalam bulan Rejab juga terdapat peristiwa besar dalam sejarah Islam iaitu Israk dan Mikraj. Peristiwa ini menggambarkan perjalanan seorang hamba yang kembali kepada Allah SWT. Peristiwa ini juga menunjukkan pedoman bahawa dalam proses perjalanan kembali kepada Allah SWT, seseorang itu memerlukan kepada bimbingan seorang guru.
Dalam konteks peristiwa tersebut, peranan guru dilihat dalam tindakan Malaikat Jibril yang bermula daripada pembelahan dada Rasulullah SAW yang menunjukkan perlunya proses penyucian jiwa sebagai langkah pertama bagi seseorang murid yang ingin menuju kepada Allah SWT. Begitu juga perkataan dan tindakan Rasulullah SAW yang taat, tunduk, patuh dan bersuhbah kepada Malaikat Jibril menunjukkan sifat yang perlu ada bagi seorang murid kepada guru dalam menuju kepada Allah SWT.
Di samping itu juga, dalam bulan Rejab juga Allah SWT memujuk hambaNya agar terus utuh dan kuat dalam perjalanan dan penitian kembali kepada-Nya dengan memperbanyakkan ibadah.
Manakala dalam bulan Syaaban terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku antaranya ialah kefarduan berpuasa, perpindahan arah kiblat, anjuran berselawat dan malam nisfu Syaaban yang merupakan perintah dan hadiah kepada hambaNya yang beriman. Ketibaan bulan Ramadan pula disertai dengan kefarduan berpuasa, pengampunan daripada Allah SWT, peristiwa nuzul al-Quran, gandaan ganjaran pahala, dihadiahkan malam Lailatul Qadar dan lain-lain.
Susunan kedatangan ketiga-tiga bulan ini menjadi isyarat kepada muslim agar bersiap siaga dengan lebih awal bermula dari bulan Rejab dengan melatih diri dalam beribadah dengan tulus ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan mengharapkan redaNya.
Seorang hamba yang menagih kasih sayang Allah SWT perlu memanfaatkan bulan Rejab dengan memperbanyakkan taubat dan istighfar. Manakala dalam bulan Syaaban pula dengan memperbanyakkan ibadah puasa kerana ia bertepatan dengan hadith Rasulullah iaitu:
Maksudnya: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan-bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”. (Riwayat al-Nasa’ie, no. Hadith 2317).
Al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif membawakan kalam Abu Bakar al-Balkhi yang menggambarkan peranan hamba dalam melalui ketiga-tiga bulan ini iaitu Bulan Rejab sebagai bulan menanam, bulan Syaaban sebagai bulan menyiram tanaman itu, manakala Ramadan pula sebagai bulan menuai.
Selain itu, bulan Rejab juga diibaratkan seperti angin dan bulan Syaaban seperti awan yang membawa hujan, manakala Ramadan pula adalah hujan. Maka, sambutlah kedatangan bulan-bulan ini dengan sentiasa memperbaiki niat dalam setiap tindakan kita, melazimi doa, memperbanyakkan membaca al-Quran, bersedekah, memberi makan dan bangun beribadah di waktu malam.
Kesimpulannya, Rejab, Syaaban dan Ramadan merupakan bulan yang mempunyai kesinambungan yang tersendiri dalam penataan jalan kembali kepada Allah SWT demi menggapai redaNya. Seorang hamba yang soleh perlu menjadikan setiap detik dan saat dalam hidupnya sebagai ruang dan peluang untuk beribadah berdasarkan panduan al-Quran, al-Hadith.
Kedua-dua sumber primer ini telah mengajar manusia kaedah-kaedah pembersihan jiwa, cara beretika melalui akhlak-akhlak yang baik, tauhid yang murni dan kesepaduan bersama fiqh dan tasawwuf. Perasaan kehambaan akan terbit hasil daripada sentiasa melakukan segala perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Penulis dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment