JKDNKA berjaya tumpaskan sindiket seludup rokok, minuman keras dan bongkar makmal haram proses arak tiruan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 September 2023 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) telah melaksanakan pelbagai operasi termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 14 September 2023.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam, Pengarah JKDNKA PDRM, CP Dato’ Sri Hazani Bin Ghazali berkata melalui operasi-operasi yang dijalankan tersebut seramai 3,764 individu telah ditahan dan pelbagai barangan seperti ubat–ubatan palsu, barang tidak bercukai kastam, haiwan dan hidupan liar telah dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM726,441,416.62.

Katanya lagi, pada 7 September 2023, hasil risikan yang dijalankan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman bersama Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras telah melancarkan tiga (3) serbuan di Kajang, Selangor.

“Hasil serbuan tersebut telah berjaya menumpaskan satu (1) sindiket kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam serta pembongkaran kewujudan dua (2) makmal haram memproses arak tiruan jenis liquor bagi pasaran di sekitar Lembah Klang. Seramai 10 individu terdiri daripada lima (5) lelaki dewasa warga tempatan dan lima (5) lelaki dewasa warganegara asing turut ditahan.

Rampasan juga dilakukan terhadap sejumlah 73,800 karton rokok pelbagai jenis dan 24,573 kotak minuman keras jenis liquor yang kedua-duanya tidak bercukai kastam. Jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM36,083,010.25 termasuk nilai cukai.” katanya.

Tambah Hazani, melalui serbuan tersebut juga, turut dirampas adalah peralatan dan mesin memproses minuman keras dan tiga (3) buah kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM395,575.00. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM36,478,585.25.

Katanya lagi, kesemua suspek telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor di bawah seksyen 116C Akta Kastam untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (D) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation