PUTRAJAYA: Mesyuarat ke-56 General Border Committee Malaysia-Thailand (GBC MALTHAI) telah berlangsung di Bangkok, Thailand mengukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan antara kedua-dua negara.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand TYT Mr Phumtham Wechayachai.
“Mesyuarat ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan yang melibatkan perkongsian maklumat mengenai perkara-perkara berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan khususnya yang melibatkan keselamatan sempadan kedua-dua buah negara.
“Mesyuarat ini juga membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan kerjasama operasi dan pembangunan kapasiti serta latihan secara bersama antara anggota keselamatan kedua-dua buah negara,” katanya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, hadir mewakili Ketua Setiausaha KDN yang merupakan Ahli Tetap Mesyuarat GBC MALTHAI.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), CP Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Selain itu, Timbalan Pengarah 1, Cawangan Khas PDRM CP Datuk Ts Ahmad Ramdzan Daud dan Timbalan Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Pertama (M) Vincent Rajamony.
Be the first to leave a comment