Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar, Dzulfaidhi Hakimie Dzulraidi
Siasatan kematian seringkali menjadi perhatian masyarakat. Semua pihak mahu terlibat dalam meluahkan amarah kepada suspek di media sosial, memberikan komentar dan kritikan kepada pihak polis dan mahkamah, malah membuat tuduhan dan tekaan serta menjatuhkan “hukuman” lebih awal. Antara kes inkues yang menjadi topik utama di dada media dan tular di laman sosial termasuklah kes kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim pada tahun 2018. Pada tahun ini sahaja, terdapat beberapa siasatan kematian yang mendapat liputan luas seperti kes “Baby Syifaa” 15 bulan yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhan. Begitu juga dengan siasatan kematian anak syurga Zayn Rayyan Abdul Matiin, dan terkini, Nur Farah Kartini.
Apakah sebenarnya etika kita sebagai orang awam dalam mendepani isu-isu siasatan kematian seperti ini? Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Buraidah bin al-Husaib, Nabi SAW bersabda:
“Hakim itu ada tiga (jenis), dua berada di neraka dan satu lagi di syurga. (Pertama) seorang yang tahu kebenaran dan ia memutuskan dengannya, maka ia di syurga; (kedua) seorang yang tahu kebenaran, namun ia tidak memutuskan dengannya, maka ia di neraka; dan (ketiga) seorang yang tidak tahu kebenaran dan ia memutuskan untuk masyarakat dengan ketidaktahuan, maka ia di neraka.”
Hadith ini menggambarkan bahawa tugas seorang hakim/koroner adalah sangat berat dan menjadi penentu syurga-neraka kerana berkait dengan hak manusia. Seseorang hakim yang mengadili sesuatu kes perlu mengambil masa yang cukup untuk memahami dan mendalami kes tersebut. Sekiranya dia menetapkan keputusan dengan sambil lewa dan salah, maka dia telah berlaku zalim dan mengambil hak individu yang benar. Tambahan pula, jika sesebuah kes yang dibicarakan mendatangkan kemusykilan kepada hakim, dia perlu meminta tangguh sehingga kes itu menjadi lebih jelas. Justeru itu, masyarakat awam perlu memberikan masa yang cukup kepada pihak mahkamah dan hakim/koroner khususnya untuk menilai kes ini.
Terdapat beberapa prinsip penting dalam Islam yang perlu kita fahami. Pertama: prinsip keadilan. Islam menekankan keadilan dalam semua aspek kehidupan, terutamanya dalam sistem perundangan. Keadilan ini harus diutamakan walaupun terdapat desakan daripada pihak tertentu untuk mempercepatkan proses pengadilan. Kedua: prinsip kesabaran. Dalam menghadapi isu yang penuh emosi seperti ini, kesabaran adalah sangat penting. Ketiga: prinsip integriti. Masyarakat perlu mengelakkan daripada menyebarkan berita palsu, kenyataan fitnah, spekulasi tak berasas, dan menyebarkan dokumen sulit, yang boleh mengganggu proses pengadilan.
Masyarakat perlu sedar bahawa prosedur inkues atau siasatan kematian bukanlah proses mudah. Inkues merupakan proses penyiasatan yang dikendalikan oleh koroner bagi mengenal pasti sebab dan punca kematian. Di Malaysia, undang-undang inkues kematian telah dinyatakan dalam Kanun Acara Jenayah dan Arahan Amalan. Proses penyiasatan kematian ini pula dibahagikan kepada dua tahap, iaitu: a) Pra-prosiding inkues kematian. b) Prosiding inkues kematian.
Semasa prosiding inkues kematian dijalankan, koroner dikehendaki menilai keterangan bagi menjawab persoalan berikut bagi memutuskan sama ada wujud elemen jenayah dalam kes kematian tersebut: Siapakah si mati? Bagaimanakah si mati menemui ajalnya? Bilakah si mati menemui ajal? Apakah punca kematian si mati? Adakah kematian si mati disebabkan oleh perbuatan atau kecuaian mana-mana pihak?
Pada akhir prosiding inkues kematian, koroner dikehendaki menilai dan menganalisis segala bukti dan keterangan yang dikemukakan serta membuat keputusan berhubung dengan punca dan sebab kematian. Antara keputusan yang lazim diberikan oleh mahkamah berhubung dengan punca kematian adalah seperti nahas, kematian biasa, bunuh diri, khianat, kematian akibat perbuatan orang lain, dan keputusan terbuka (keputusan ini akan diberikan oleh mahkamah sekiranya mahkamah mendapati tidak ada keterangan yang mencukupi dikemukakan bagi membolehkan mahkamah menentukan punca sebenar kematian).
Sebagai kesimpulan, siasatan kematian sememangnya memerlukan pendekatan yang amat berhati-hati dan berlandaskan prinsip-prinsip keadilan. Orang ramai perlu memberi ruang dan masa serta kepercayaan kepada pihak berautoriti untuk menjalankan tugas mereka dengan teliti, adil, telus dan saksama. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu mengamalkan nilai kesabaran dan berintegriti dalam menunggu keputusan dari mahkamah koroner. Jangan kerana kita terlalu ghairah ingin menuntut keadilan, akhirnya kita sendiri yang diambil tindakan undang-undang. Semoga Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua dalam menghadapi ujian ini.
Dzulfaidhi Hakimie merupakan calon PhD Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, manakala Dr. Mohd Istajib adalah Pensyarah Kanan Program Sarjana Sains Kelestarian di Fakulti Sains, Universiti Malaya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment