KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan tahanan di rumah dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen penghujung tahun ini.
Beliau berkata demikian dalam program Analisis Madani bertajuk Malaysia Aman: Kedaulatan dan Keselamatan yang disiarkan secara langsung di TV AlHijrah.
Tambahnya, ketika ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) giat menjalankan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara berkaitan penggubalan akta terbabit.
“KDN sedang dalam proses untuk meminda Akta Penjara 1995. Kelulusan Kabinet dari segi dasar sudah diperoleh. Ketika ini, KDN sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk menggubal (akta tahanan di rumah).
“Kita menjangkakan mungkin (dibentangkan) pada sesi Parlimen hujung tahun ini. Ini memandangkan buat masa ini belum ada undang-undang yang membolehkan tahanan rumah dijalankan. Yang ada sekarang ialah perintah pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib, atau parol,” katanya.
Turut sertai program itu adalah Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Mengikut portal rasmi Parlimen Malaysia, sesi terakhir Parlimen bagi tahun ini, iaitu mesyuarat ketiga persidangan Dewan Rakyat, akan berlangsung mulai 6 Oktober hingga 4 Disember tahun ini.
Sementara itu, Saifuddin berkata, bagi peringkat awal, KDN menyasarkan tahanan di rumah hanya dibolehkan kepada penghuni penjara yang berada dalam kategori ‘tahanan reman’ sahaja.
Katanya, buat permulaan, disasarkan mereka yang ditahan reman dalam penjara, bukannya mereka yang sudah disabitkan hukuman.
“Jumlah (tahanan reman) di penjara ketika ini sekitar 29,000 orang, termasuk 8,000 hingga 9,000 penghuni penjara (yang direman) atas kes berat seperti rogol atau bunuh.
“Namun, bagi kes berat, mereka ini kita ketepikan. Jadi, baki (tahanan reman) sekitar 20,000 orang disasarkan untuk tahanan rumah. Jika mereka disabitkan hukuman, tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman penjara kurang tiga tahun,” katanya.
Saifuddin turut menjelaskan bahawa faktor utama yang mendorong KDN untuk memperkenalkan RUU baharu itu adalah bagi mengurangkan kadar kesesakan di institusi penjara, yang ketika ini dihuni lebih 87,000 orang di seluruh negara.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment