PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata 4.37 juta pekerja akan menerima manfaat daripada perintah gaji minimum baharu akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai 1 Februari 2025.
Kata KESUMA, langkah itu selaras dengan agenda ekonomi madani yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.
“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘menaikkan lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan menetapkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan tersebut.
Manakala, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuatkuasa akan bermula pada 1 Ogos 2025.
“Ini bagi memastikan majikan diberi tempoh yang mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing,” kata KESUMA.
Sementara itu, KESUMA menegaskan semua majikan diwajibkan untuk mematuhi perintah gaji minimum ini dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
Katanya, kegagalan majikan untuk mematuhi perintah gaji minimum itu merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Sementara itu, menurut KESUMA, bagi memastikan peralihan ini dapat berjalan lancar, kementerian itu telah menyediakan beberapa inisiatif sokongan kepada majikan dan pekerja.
KESUMA berkata ini termasuk melakukan sesi libat urus untuk majikan bagi memahami pelaksanaan perintah gaji minimum.
“Sebanyak 16 sesi libat urus dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 1,109 penyertaan persatuan majikan, wakil industri, kesatuan sekerja dan wakil pekerja, agensi kerajaan dan pakar antarabangsa seperti International Labour Organisation (ILO),” katanya.
Dalam pada itu, KESUMA turut membuat saluran aduan dan pemantauan bagi pekerja yang menghadapi isu ketidakpatuhan menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah, dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.
Katanya, kerjasama dengan agensi berkaitan turut dilakukan untuk memberi panduan dan bantuan kepada syarikat yang memerlukan penyesuaian dalam struktur gaji.
KESUMA mengingatkan bahawa gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.
Menurutnya, pelaksanaan perintah gaji minimum ini merupakan salah satu pendekatan besar KESUMA dalam meningkatkan pendapatan kaum pekerja selain pelaksanaan dasar gaji progresif dan usaha merancakkan latihan kemahiran sebagai kaedah meningkatkan keberhasilan dan gaji pekerja.
“Dengan pelaksanaan yang berkesan, bukan sahaja pendekatan-pendekatan ini dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“KESUMA menyeru semua majikan, pekerja dan pihak berkepentingan industri, untuk bekerjasama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan perintah gaji minimum baharu ini.
“Untuk maklumat lanjut mengenai perintah gaji minimum baharu, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di https://minimumwages.mohr.gov.my/. Untuk pertanyaan lanjut majikan atau pekerja boleh emel kepada minimumwages@mohr.gov.my,” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment