PUTRAJAYA, 5 September 2024 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yakin Ketua Setiausaha KUSKOP yang baharu Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud dapat membantu menjayakan wawasan kementerian membangunkan usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di seluruh negara.
Ewon berkata, keyakinannya itu berdasarkan pengalaman luas Khairul Dzaimee dalam pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan sebelum ini.
“Saya percaya dengan pengalaman besar Dato’ Sri Khairul di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Jabatan Imigresen akan membawa KUSKOP ke tahap yang lebih cemerlang.
“Saya mengalu-alukan kebersamaan beliau dalam keluarga besar KUSKOP serta komitmen bersama untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan negara khususnya kepada pemegang taruh dasar-dasar kementerian iaitu PMKS dan gerakan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas KSU KUSKOP daripada Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad kepada Khairul Dzaimee.
Dato’ Sri Suriani dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan berkuat kuasa hari semalam dan tempat beliau di KUSKOP diisi oleh Khairul Dzaimee yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Setiausaha KESUMA.
Ewon turut berkongsi wawasan dan hala tuju beliau di KUSKOP dan berharap KSU KUSKOP yang baharu dapat membantu menjayakan aspirasi itu.
“Saya membawa aspirasi Borneo dalam perbincangan-perbincangan kabinet dan kementerian dan saya rasa bertuah kerana KSU KUSKOP sebelum ini memahami aspirasi apabila kita maklumkan cabaran di Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan banyak program bimbingan keusahawanan.
Dalam tempoh dua tahun lebih, kita telah mewujudkan pelbagai inisiatif khusus untuk Sabah dan Sarawak, antaranya pembukaan Kampus Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Sabah dan Sarawak, Skim BEEP Plus dan Projek Tamu Desa khusus untuk Sabah dan Sarawak.
Ini telah memberi gambaran positif kepada rakyat khususnya usahawan dan PMKS di situ bahawa Kerajaan MADANI menjaga semua rakyat dan semua wilayah.
“Saya percaya pengalaman besar Dato’ Sri Khairul dapat membina kementerian ini dengan lebih baik sesuai dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kehendak rakyat,” katanya.
Sementara itu, Khairul Dzaimee memberi jaminan untuk memberi komitmen sepenuhnya bagi mengangkat kementerian dalam memajukan lagi agenda pembangunan usahawan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Terima kasih kepada KUSKOP kerana menerima saya melaksanakan amanah di bawah kementerian ini.
26 tahun yang lalu saya pernah berada di kementerian ini dan ketika itu, fokus kementerian sangat mudah iaitu francais, kontraktor dan pusat khidmat kontraktor dan juga lembaga pelesenan kenderaan perdagangan.
Saya juga amat memahami aspirasi Borneo kerana saya pernah berkhidmat di Sabah sebelum ini dan telah menjelajah ke pelusuk Sabah termasuk Tanduo dan di Sarawak,” katanya dan menambah beliau akan memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan aspirasi KUSKOP.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment