Islam meraikan emosi

Spread the love

Oleh: Muhammad Shahmil Saidin, Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin

Merenung kembali seruan agama yang mengajar manusia agar bersikap matang dalam
setiap situasi dan berfikir terlebih dahulu adalah sesuatu yang perlu dititikberat. Emosi
merujuk kepada perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, gembira, takut, sayang, malu dan
lain-lain. Perasaan tersebut akan mempengaruhi tingkah laku luaran manusia sama ada
yang bersifat terkawal seperti mimik muka atau yang bersifat tidak terkawal seperti badan
berpeluh dan menggigil akibat ketakutan.


Sejak awal kelahiran, manusia sentiasa melalui perkembangan dalam pelbagai sudut seperti
pertumbuhan fizikal, psikologi dan mental. Begitu juga emosi yang merupakan suatu bentuk
daya kognitif yang terbentuk dan berkembang secara berperingkat semenjak awal kelahiran.
Emosi manusia juga turut dihiasi dengan pelbagai macam reaksi yang masing-masing
mempunyai tujuan dan adaptasi yang tertentu.


Hal ini bertepatan dengan wahyu Al-Quran dalam surah An-Najm, ayat 43 yang bermaksud,
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira)
tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.”


Al-Imam Imad Al-Din menyebutkan di dalam kitabya Tafsir Al-Qur’an Al-Azim yang lebih
dikenali sebagai Tafsir Ibn Kathir, bahawa Allah SWT telah menjadikan bagi hamba-
hambanya perasaan gembira dan sedih serta penyebab seseorang itu gembira dan sedih
adalah berbeza-beza. Ini juga menggambarkan bahawa Allah SWT mengawal dan mengatur
semua yang terjadi di dalam kehidupan kita. Fitrah manusia yang ketawa ketika gembira dan
menangis saat gagal sudah menjadi rencah suka duka dalam kehidupan. Ayat di atas juga
jelas menyatakan bahawa di dalam diri manusia mempunyai kepelbagaian reaksi, baik
dalam hal peribadi mahupun sosial yang juga disebut sebagai warna warni interaksi
kehidupan.


Rasulullah SAW juga menzahirkan rasa gembira Baginda bersama para sahabat. Malahan
Baginda juga bergurau senda dan tersenyum dengan isteri-isteri Baginda seperti disebutkan
dalam sebuah hadith yang bermaksud, “ Sungguh aku melihat Rasulullah SAW tersenyum
hingga gigi gerahamnya terlihat.” (Riwayat Muslim)


Hadith ini membuktikan bahawa Baginda juga menzahirkan rasa gembira di hadapan para
sahabat dengan penuh adab. Ketawa Baginda juga sangat sederhana dan tidak keterlaluan.
Oleh itu, dalam memupuk kecerdasan emosi, ianya perlu dipusatkan di bawah kawalan yang
benar agar reaksi kepada tingkah laku sejajar dengan kebenaran, seperti merasa gembira
dan bahagia apabila memperoleh sesuatu kenikmatan dan bersedih terhadap tekanan dan
kemaksiatan.


Emosi juga perlu dizahirkan apabila diperlukan sebagai respon kepada hal yang berlaku.
Contohnya apabila agama dihina dan dikutuk oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,
maka menjadi kewajiban bagi seorang muslim menyatakan pendiriannya terhadap isu
tersebut. Seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Taubah, ayat 73 yang bermaksud:
“Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan
bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka jahanam,
dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”.


Ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam perlu bangkit dengan emosi dukacita dan marah
sebagai reaksi terhadap penghinaan kepada agama.

Begitu juga dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik berkenaan
Saidina Uthman yang tanpa sengaja telah menjatuhkan cincin Rasulullah SAW ke dalam
perigi Aris. Di dalam riwayat menceritakan pencarian cincin tersebut dilakukan selama 3 hari
dan 3 malam dengan berbagai cara namun hasilnya masih sama. Oleh itu, para sahabat
berasa sedih dan memulaukan Saidina Uthman sebagai respon atas kehilangan cincin
tersebut dalam tempoh kurang dari 3 hari.


Peristiwa di atas menjadi isyarat bahawa mereka yang dalam keadaan sedih dibenarkan
untuk tidak bersosial atau berbicara dengan sesuatu pihak yang tertentu. Ini menunjukkan
bahawa Islam meraikan emosi seseorang. Walaupun terdapat hadith Rasulullah SAW yang
diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak
bertegur saudaranya melebihi tiga hari”, namun ia dibolehkan dengan syarat seseorang itu
perlu mengambil sikap bersederhana. Paling utama, dia perlulah mengembalikan semula
segala suka dan duka tersebut kepada Allah SWT dengan menzahirkan nilai-nilai
kehambaan yang bersulamkan rasa syukur di saat gembira, dan sabar di saat hiba.


Hakikatnya, emosi adalah salah satu cara untuk memahami diri sendiri dan orang sekitar
dengan menzahirkan reaksi wajah dan bahasa tubuh yang bersesuaian. Emosi juga
berperanan menyampaikan maklumat tentang apa yang dirasai dan dialami oleh seseorang.


Kesimpulannya, setiap manusia berhak beremosi dan menzahirkan perasaan sebagai
kaedah untuk pemeliharaan jiwa dan minda. Emosi yang sihat datang dari natijah keimanan
yang kuat serta diiringi dengan kecerdasan spiritual yang utuh sebagai pendorong
tingkahlaku sebenar. Malah, baginda Rasulullah SAW telah memberi panduan kepada
manusia untuk mempelajari dan memahami tentang reaksi emosi serta kaedah
pengurusannya.


Panduan dari baginda inilah yang menjadi asas kepada akhlak dan tingkahlaku manusia.
Oleh itu, usaha untuk mencapai kecerdasan emosi ini perlu dipandu dengan teras ilmu
agama yang benar bagi mencapai makna sebenar dalam kehidupan beragama.


Kedua-dua penulis dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.

Muhammad Shahmil Saidin

Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation