Serdang, 11 September 2024 – Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, Legasi Z Agro Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan Surat Hasrat (LOI) dengan empat pihak bagi memperkukuhkan komitmen mereka dalam pembangunan sektor pertanian negara.
Majlis pertukaran dokumen tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup pada Rabu.
Ketua Pegawai Operasi Legasi Z Agro, Azahar Shahimi berkata kerjasama tersebut melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, Madunia Sri Berkat, dan Komuniti Intervensi Dadah (DiC) Malaysia.
“Fokus utama inisiatif ini adalah untuk meningkatkan penyelidikan, pembangunan teknologi pertanian, serta memperkukuhkan pendidikan dan latihan industri dalam kalangan pelajar serta komuniti terlibat,”ujarnya.
Legasi Z Agro Sdn Bhd merupakan syarikat pembangunan pertanian berteknologi tinggi yang terletak di Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Legasi Z Agro merupakan anak syarikat Kumpulan Legasi Z Sufi yang terlibat dengan berbagai cabang perniagaan khususnya import export produk komoditi seperti gula dan gandum. Legasi Z Agro didirikan dengan matlamat untuk meningkatkan sektor pertanian negara dengan menggunakan teknologi canggih dan terkini.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Legasi, Datuk Seri Muez Abd Aziz berkata mereka bersyukur dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan UiTM Melaka dan KV Chenor untuk meningkatkan penyelidikan dan latihan industri dalam sektor pertanian, memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman praktikal berharga.
“Kami juga bekerjasama dengan Madunia Sri Berkat untuk memajukan pengeluaran komersial tumbuhan Sorghum dan Black Soldier Fly, menyumbang kepada kestabilan ekonomi pertanian. Selain itu, kami mengambil tanggungjawab sosial melalui program pemulihan bersama Komuniti Intervensi Dadah (DiC) Malaysia, di mana pertanian menjadi program pemulihan komuniti. Bersama-sama, kita membina masa depan yang lebih cerah.”
Manakala Pengarah Kumpulan Legasi Suhaila Abdul Kadir berkata pihaknya menekankan komitmen syarikat terhadap pertanian mampan.
“Di Legasi Z Agro, kami melabur ke dalam sektor pertanian yang mampan dan berdaya maju untuk masa depan. Melalui inovasi teknologi dan amalan pertanian cekap, kami berusaha mengurangkan impak alam sekitar sambil meningkatkan pengeluaran hasil. Kami komited untuk menyediakan penyelesaian berasaskan teknologi yang bukan sahaja menyokong kelestarian, tetapi juga membantu meningkatkan pendapatan komuniti tempatan,”ujarnya.
Legasi Z Agro berharap kerjasama strategik ini akan memberi impak positif terhadap pembangunan sektor pertanian di Malaysia serta menyokong pertumbuhan yang lebih mampan pada masa hadapan.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment