Oleh: Nur Shuhada Ya’acob, Pensyarah, UNITEN Business School (UBS).
Dalam era digital yang serba canggih kini, ramai remaja melihat dunia ‘content creation’ (penciptaan kandungan digital) sebagai laluan kerjaya yang mudah dan menjanjikan kemewahan. Dengan hanya bermodalkan telefon pintar dan akses internet, sesiapa sahaja boleh memuat naik video, gambar, atau artikel di platform media sosial seperti TikTok, Instagram, dan YouTube. Melihat kejayaan individu yang mampu menjana pendapatan lumayan melalui kandungan digital, semakin ramai remaja mengambil keputusan drastik untuk tidak meneruskan pelajaran semata-mata kerana ingin menjadi ‘content creator’ (pencipta kandungan digital) sepenuh masa.
Namun, keputusan ini tidak selalu berlandaskan pemahaman yang mendalam tentang apa itu penciptaan kandungan digital yang berkualiti. Sebahagian besar remaja terpengaruh dengan kandungan viral yang sering kali bersifat sementara dan sensasi, tanpa menyedari bahawa kejayaan jangka masa yang panjang dalam bidang ini memerlukan lebih daripada sekadar populariti. Kandungan digital yang berkualiti menuntut usaha, konsistensi, kreativiti, dan tanggungjawab sosial yang besar. Dalam hal ini, menjadi penting untuk remaja memahami bahawa dunia penciptaan kandungan digital yang sebenar bukanlah jalan pintas kepada kejayaan. Meninggalkan pelajaran tanpa rancangan yang jelas hanya kerana ingin menjadi viral boleh membawa risiko besar, terutama jika mereka tidak mempunyai kemahiran atau strategi untuk kekal relevan di dunia digital.
Ikon tempatan dalam dunia penciptaan kandungan digital
Remaja boleh mencontohi pencipta kandungan digital yang berkualiti, yang bukan sahaja berjaya kerana viral, tetapi juga kerana kandungan yang mendidik, memberi inspirasi, dan relevan kepada penonton. Dalam masa yang sama, kita akan melihat betapa pentingnya pendidikan dalam membentuk asas yang kukuh, walaupun di dalam dunia digital yang serba pantas ini. Contoh terbaik pencipta kandungan digital ialah individu yang mampu memanfaatkan pendidikan dan kemahirannya untuk mencapai kejayaan bukan hanya melalui populariti, tetapi juga kualiti kandungannya. Sebagai contoh, ikon tempatan, Khairul Aming yang merupakan contoh pencipta kandungan digital yang berpendidikan, dan kejayaannya membuktikan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk kandungan digital yang berkualiti serta memberi inspirasi kepada orang ramai. Khairul Aming bukan sekadar fenomena penciptaan kandungan digital, tetapi juga lambang bagaimana seseorang yang berpendidikan boleh mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa melalui kandungan digital yang berkualiti, kreatif, dan bertanggungjawab.
Kelebihan pendidikan kepada pencipta kandungan digital
Pendidikan memberikan mereka kelebihan kompetitif dalam menghasilkan kandungan digital yang lebih baik, kerana mereka mempunyai penguasaan pengetahuan dan kemahiran. Dengan penguasaan pengetahuan dan kemahiran, pencipta kandungan digital mempunyai pengetahuan tentang teknik komunikasi yang berkesan. Mereka dapat memahami cara menyampaikan mesej dengan jelas dan menarik, membantu penonton untuk memahami kandungan dengan lebih baik. Selain itu, dengan pendidikan formal, pencipta kandungan digital dapat belajar kemahiran teknikal seperti penyuntingan video, reka bentuk grafik, dan penulisan yang berkualiti. Ini membolehkan mereka menghasilkan kandungan yang lebih profesional, bermanfaat dan menarik.
Seterusnya, mereka mempunyai kreativiti yang tinggi. Pendidikan seringkali mendorong pemikiran kritis dan kreatif. Pemikiran yang kritis dan kreatif dapat mengajar pencipta kandungan digital untuk menganalisis pelbagai sumber maklumat dan perspektif. Kemahiran ini membolehkan mereka melihat isu dari sudut pandang yang berbeza, menjadikan kandungan yang dihasilkan lebih mendalam dan informatif. Dengan kreativiti yang tinggi, pencipta kandungan dapat mencipta kandungan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi makna dan manfaat kepada penonton. Ini termasuk pendidikan, motivasi, dan inspirasi, yang boleh mempengaruhi kehidupan orang lain.
Seterusnya mereka akan mempunyai tanggungjawab sosial dan etika. Pendidikan juga membolehkan pencipta kandungan digital memahami isu-isu sosial dan etika yang penting. Mereka dapat menggunakan platform mereka untuk menyebarkan kesedaran tentang isu-isu yang relevan, seperti perubahan iklim, kesihatan mental, pendidikan dan teknologi, ekonomi, keadilan sosial, adat dan budaya dan pemerkasaan wanita. Secara tidak langsung, mereka dapat membangkitkan kesedaran dan menggalakkan dialog mengenai isu-isu ini, dan secara tidak langsung memberi impak positif kepada masyarakat dan membantu menyebarkan nilai-nilai yang baik.
Selain itu, mereka juga mempunyai peluang kerjaya yang lebih baik. Dengan pendidikan, pencipta kandungan bukan sahaja dapat memperluas pengetahuan dan kemahiran mereka tetapi juga membina jaringan yang kuat, yang sangat penting untuk mencapai kejayaan dalam dunia penciptaan kandungan yang kompetitif. Jaringan ini memberikan akses kepada peluang yang mungkin tidak tersedia tanpa pendidikan dan interaksi yang berkualiti. Pencipta kandungan yang berpendidikan sering kali dilihat sebagai seorang yang mempunyai kredibiliti yang tinggi dan lebih berwibawa. Ini dapat membantu mereka membina reputasi yang positif dan menarik lebih banyak pengikut. Dengan menghasilkan kandungan yang berkualiti dan bermakna, mereka berpeluang untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, mengharumkan nama mereka dan negara.
Kesimpulannya, pendidikan adalah kunci kejayaan dalam dunia penciptaan kandungan digital. Remaja perlu memahami bahawa kejayaan tidak hanya bergantung pada populariti, tetapi juga pada pengetahuan dan kemahiran. Dengan pendidikan, pencipta kandungan dapat menghasilkan karya yang berkualiti, meningkatkan kreativiti, dan memahami isu sosial yang penting. Ini membuka peluang kerjaya yang lebih baik dan membina reputasi yang kukuh. Oleh itu, mengimbangi aspirasi dalam dunia digital dengan pendidikan yang baik adalah penting untuk mencapai kejayaan dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Nur Shuhada Ya’acob,
Pensyarah,
UNITEN Business School (UBS),
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),
Kampus Sultan Haji Ahmad Shah,
Muadzam Shah, Pahang.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment