• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Nilai patriotisme belia di Tanjung Sepat

Spread the love

Ketibaan bulan Ogos dan September saban tahun sering menimbulkan rasa patriotik dalam kalangan rakyat negara ini, terutamanya pada dua tarikh keramat, iaitu 31 Ogos dan 16 September. Di seluruh negara, pelbagai program telah diatur bagi menyemarak semangat kenegaraan kepada segmen masyarakat yang khusus.

Untuk golongan belia misalnya, penerapan nilai patriotisme ini memerlukan pendekatan yang berbeza, memandangkan mereka adalah generasi yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan. “Pendekatan yang selalunya berkesan adalah melalui penganjuran program dengan aktiviti yang bersifat santai, dan dekat dengan diri mereka; seperti konvoi bermotosikal, aktiviti riadah di tempat peranginan, gotong-royong membersihkan pantai, dan rewang menyediakan juadah makanan,” kata Faris Afiq Ikhwan Saifullah, Ketua Unit Komuniti Team Selangor.

Atas pemahaman inilah program Bike Week Team Selangor 2024 telah dianjurkan baru-baru ini sempena Hari Malaysia. Bertempat di Tanjung Sepat, Selangor, seramai lebih 100 orang peserta telah hadir dengan berkonvoi dari pelbagai daerah di Selangor. “Walaupun aktiviti konvoi bermotosikal ini bukanlah sesuatu yang baharu untuk mereka, namun dari maklum balas yang kami terima, kebanyakan peserta amat teruja menyertai Bike Week kali ini. Selain aktiviti yang menyeronokkan bersama rakan dan ahli keluarga, program kali ini mempunyai objektif yang khusus, iaitu menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri masing-masing bersempena tarikh yang amat penting untuk negara kita ini,” kata Faris lagi.

Menariknya, program ini turut disertai oleh Altimet, atau Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, ADN Lembah Jaya yang turut berkonvoi sejauh 100km bersama peserta dari kawasan beliau. “Perjalanan sejauh ini yang kebiasaannya akan meletihkan sesiapa sahaja yang menaiki motosikal, namun berbekalkan semangat kenegaraan dan patriotik yang tinggi, setiap daripada peserta kelihatan amat bersemangat menempuh perjalanan ini. Cuaca yang panas nampaknya tidak melemahkan semangat mereka untuk turut menjayakan aktiviti yang telah diatur,” katanya.

Antara program yang telah disusun oleh Team Selangor untuk Bike Week ini ialah penanaman anak pokok di kebun komuniti Kampung Ladang, pembersihan Pantai Batu Laut, dan aktiviti rewang dan jamuan nasi ambeng dan bubur sumsum. “Penduduk Tanjung Sepat kebanyakannya terdiri dari keturunan Jawa, kerana itulah kami memilih untuk mengetengahkan dua juadah ini kepada para peserta agar mereka sama-sama dapat menghargai tinggalan tradisi masyarakat Selangor yang rencam dan terdiri daripada pelbagai kelompok. Lebih menarik, ada di kalangan peserta yang menyatakan walaupun dia berketurunan Jawa, namun inilah kali pertama dia mempelajari secara dekat kaedah penyediaannya,” kata Faris.

Puan Saluah Mundagir, Ketua Kampung Ladang ketika ditemui turut teruja dengan sambutan yang diberi oleh para peserta. “Selain nasi ambeng, kami mencadangkan agar kita sama-sama menyedia dan menjamu peserta dengan bubur sumsum. Bubur ini sebenarnya adalah sejenis manisan ringkas yang disediakan oleh masyarakat Jawa untuk meraikan hari-hari istimewa, seperti ulangtahun kelahiran dan majlis keraian setempat. Bubur ini hanya menggunakan tepung gandum, air dan gula melaka sahaja, kerana ketidakmampuan generasi terdahulu menyediakan bahan masakan. Namun atas dasar merapatkan silaturrahim, biar pun ringkas, bubur sumsum ini tetap disediakan untuk dijamu kepada tetamu,” terangnya lagi.

Bike Week sebenarnya merupakan program yang julung kali diadakan oleh Team Selangor. Namun melihat kepada sambutan para peserta, dan kejayaan merealisasikan objektif program, terutamanya dalam menyuntik semangat patriotisme di kalangan mereka, saya pasti program ini diteruskan pada masa akan datang. Tidak dapat dinafikan penganjuran Bike Week ini amat meninggalkan kesan, bukan sahaja kepada peserta, malah kepada semua ahli penganjur dari Team Selangor sendiri. Selain daripada lokasinya, saya kira keberkatan dalam meluangkan masa bersama komuniti turut memainkan peranan,” kata Faris mengakhiri perbualan. Program Bike Week Team Selangor 2024 sempena Hari Malaysia ini turut dijayakan dengan kerjasama MPKL Zon 23, JPKK Ladang Batu, dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tanjung Sepat, Selangor.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation