PUTRAJAYA. 21 Januari 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE25) memfokuskan kepada ancaman keselamatan baharu seperti jenayah rentas sempadan, jenayah siber dan pemerdagangan manusia.
Katanya, kerjasama antarabangsa melalui perkongsian maklumat risikan dan operasi bersama adalah penting untuk menangani ancaman itu.
“Tidak mungkin satu ancaman keselamatan bentuk baru ini seumpama jenayah rentas sempadan yang bersifat ‘cyber crime’, penipuan atas talian, pemerdagangan manusia akan kita selesaikan secara bersendirian.
“Melainkan kita ada perkongsian, intelligent dan maklumat. Jadi itu mesej yang kita sampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Sidang Kemuncak AISSE25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sidang Kemuncak AISSE25 berlangsung selama tiga hari yang bermula semalam hingga esok dijangka menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dan global utama untuk inovasi keselamatan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata beliau berpuas hati dan bangga dengan penganjuran Sidang Kemuncak AISSE25 yang julung-julung kali diadakan.
Beliau berkata penganjuran yang julung kalinya diadakan itu telah menarik penyertaan 300 syarikat yang daripadanya merupakan pempamer tempatan.
“Penganjuran yang julung-julung kalinya kami adakan oleh polis.
“Saya anggap juga ini satu juga ukuran ‘success story’,” katanya.
Saifuddin juga menyasarkan kehadiran antara 5,000 hingga 7,000 pengunjung ke Sidang Kemuncak AISSE25.
Be the first to leave a comment