Oleh: Mohd Khairi Ismail
Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membuka peluang baharu dalam pelbagai sektor di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Menurut laporan terkini, lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia dijangka terpengaruh oleh AI dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Perubahan ini memberikan pelbagai kebaikan tetapi juga menuntut persediaan yang rapi untuk menghadapinya.
Kecerdasan buatan (AI) membawa pelbagai manfaat besar kepada dunia pekerjaan di Malaysia, terutamanya dalam meningkatkan produktiviti. Peningkatan produktiviti ini boleh berlaku kerana AI mampu melaksanakan tugas-tugas rutin dengan lebih pantas dan tepat berbanding manusia, ini menjadikannya alat yang sangat efektif dalam sektor seperti perkilangan, perkhidmatan kewangan, dan logistik.
Automasi yang diterapkan oleh AI boleh mengurangkan masa yang diperlukan untuk melengkapkan sesuatu proses kerja sambil memastikan ketepatan dan konsistensi yang tinggi. Ia sekali gus membantu organisasi mengoptimumkan sumber dan kos.
Dalam masa yang sama, AI juga mencipta peluang kerja baharu dalam bidang berkemahiran tinggi seperti pengurusan data, pembangunan perisian, analisis data, dan keselamatan siber. Pekerja-pekerja berpeluang meningkatkan kemahiran mereka bagi menceburi sektor ini, menjadikan tenaga kerja negara lebih kompetitif di peringkat global.
Selain itu, AI turut membantu mempercepatkan proses dalam sektor perkhidmatan awam, seperti pengurusan data, permohonan lesen, dan perkhidmatan kesihatan. Pada masa sama, penggunaan AI membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan yang lebih pantas, efisien, dan responsif.
Keupayaan AI menganalisis data besar secara pantas juga membolehkan perniagaan dan organisasi membuat keputusan yang lebih tepat dan strategik, yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam sektor Pendidikan pula, AI dapat mempersonalisasikan pembelajaran untuk memenuhi keperluan pelajar dan meningkatkan keberkesanan pendidikan.
AI juga dapat dimanfaatkan dalam bidang perubatan dimana mempermudah diagnosis penyakit dengan lebih cepat dan tepat, membantu doktor memberi rawatan yang lebih baik. Secara tidak langsung juga, penerapan AI tidak hanya meningkatkan produktiviti tetapi juga memperbaiki kualiti hidup rakyat Malaysia.
Walau bagamanapun, bagi menghadapi impak AI, ia memerlukan pelaburan yang signifikan dalam pendidikan dan latihan bagi memastikan tenaga kerja di sesebuah negara terus relevan dengan keperluan masa depan. Kerajaan, institusi pendidikan, dan sektor swasta seharusnya bekerjasama menyediakan program latihan yang menyasarkan bidang berkemahiran tinggi seperti sains data, pengaturcaraan, dan kejuruteraan yang melibatkan penggunaan AI.
Pendidikan teknologi harus dimulakan sejak usia awal dan diteruskan di peringkat dewasa melalui latihan berterusan, memastikan literasi digital diperkasakan di semua peringkat. Ini merangkumi kemahiran asas seperti penggunaan perisian komputer hingga kemahiran lanjutan seperti pengaturcaraan.
Sementara itu, kerajaan juga perlu menggubal undang-undang dan polisi bercirikan adaptif untuk melindungi pekerja yang mungkin kehilangan pekerjaan akibat automasi. Pendapatan asas universal boleh dipertimbangkan sebagai langkah perlindungan bagi golongan rentan, memastikan keseimbangan sosial di tengah perubahan teknologi.
Selain itu, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) AI perlu ditingkatkan untuk memastikan sesebuah negara terus kompetitif dalam persaingan teknologi global. Usaha ini tidak hanya membantu menghasilkan teknologi yang sesuai dengan konteks tempatan tetapi juga membina keupayaan negara dalam inovasi.
Masyarakat juga perlu dididik mengenai perubahan yang bakal berlaku melalui kempen kesedaran yang memperkenalkan kebaikan AI. Dari aspek kerjasama antarabangsa, negara seperti Malaysia perlu membina jaringan dengan negara lain untuk berkongsi pengetahuan, teknologi, dan amalan terbaik dalam penerapan AI. Kolaborasi ini akan mempercepatkan pemindahan teknologi dan kepakaran ke dalam negara, sekali gus memperkukuhkan asas ekonomi digital untuk masa depan.
Oleh itu, tidak dapat dinafikan AI menawarkan pelbagai peluang besar untuk meningkatkan taraf hidup dan produktiviti di melalui automasi tugas rutin, pengoptimuman perkhidmatan, dan analisis data yang lebih efisien.
Namun, untuk memastikan manfaat ini dapat dinikmati secara menyeluruh, persediaan rapi diperlukan dalam beberapa aspek penting. Bagi sektor pendidikan, tenaga kerja perlu dilengkapi dengan kemahiran baharu melalui program latihan dan peningkatan literasi digital di semua peringkat umur, memastikan mereka relevan dengan keperluan teknologi masa depan.
Dari sudut perundangan, kerajaan perlu menggubal polisi yang melindungi pekerja yang terkesan oleh automasi, seperti memperkenalkan pendapatan asas universal untuk golongan rentan. Budaya masyarakat juga perlu diubah dengan meningkatkan kesedaran tentang manfaat AI dan mengurangkan ketakutan terhadap kehilangan pekerjaan melalui kempen pendidikan dan dialog terbuka yang dianjurkan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Dengan strategi yang menyeluruh, termasuk pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kolaborasi antarabangsa untuk mempercepatkan pemindahan teknologi, negara bukan sahaja dapat memanfaatkan AI untuk pertumbuhan ekonomi tetapi juga membangunkan masyarakat yang inklusif, inovatif, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Penulis merupakan Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan Pensyarah (Ekonomi), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu. Beliau boleh dihubungi di khairiismail@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment