KUALA LUMPUR, 22 Januari 2025 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan dokumen Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tahun 2025 dengan tema “Transformasi Melonjak Prestasi”.
Beliau berkata, dokumen itu menggariskan 21 strategi, 5 pemboleh daya dan 196 program atau aktiviti termasuk 20 program perdana serta 6 KPI untuk tahun 2025.
“Ia merangkumi aspek penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.
“Pelaksanaan kesemua program dan projek yang dirancang akan memanfaatkan 508,498 usahawan dan bakal usahawan serta koperasi,” katanya ketika berucap menyampaikan Amanat Kepada Warga KUSKOP tahun 2025, di Dewan Menara Bank Rakyat, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ewon berharap komitmen semua warga Kementerian dan Agensi terus diperkasakan untuk membantu usahawan menggiatkan lagi aktiviti perniagaan mereka.
Beliau yakin, pendekatan yang dirangka di bawah perancangan strategik ini akan menghasilkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan.
“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab memacu agenda pembangunan usahawan dan koperasi, saya pasti kita semua berada dalam kedudukan terbaik untuk
melaksanakan segala inisiatif yang digariskan di bawah Perancangan Strategik KUSKOP
2025 yang menjurus ke arah penskalaan dan pengantarabangsaan usahawan serta
pemerkasaan koperasi, sebagai persediaan untuk RMKe-13.
“Saya berharap program tahun 2025 dilaksanakan secara objektif, berstruktur, strategik
dan efektif agar bantuan dan kemudahan yang diberikan kepada usahawan dan koperasi sampai tepat pada masa dan memberi impak yang besar terhadap prestasi perniagaan mereka,” katanya.
Ewon berkata, fokus juga perlu diberikan kepada pencapaian outcome pelaksanaan program dan tidak hanya kepada output sahaja.
“Ini kerana kejayaan sebenar program seharusnya dilihat dari sudut outcome. Ini kerana ia mencerminkan sejauh mana sesuatu program keusahawanan atau skim pembiayaan itu dapat memberi impak positif kepada usahawan PMKS dan juga koperasi,” katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa pembangunan keusahawanan, Ewon yakin tahun 2025 akan memberi kejayaan yang lebih cemerlang.
“Kita akan terus membina satu pasukan KUSKOP yang komited untuk membuat yang terbaik supaya rakyat merasai hasil perkhidmatan kita sepanjang berada di Kementerian ini.
“Saya akan terus mengamalkan dasar pintu terbuka kepada persatuan-persatuan usahawan, koperasi-koperasi dan pemain-pemain sektor PMKS untuk mendapatkan input dan pandangan berkenaan isu semasa di peringkat operasi dan pelaksanaan dalam menyantuni mereka sebagai pelanggan Kementerian ini,” katanya.
Selain itu katanya, kolaborasi dalam perkongsian sumber dan kepakaran dengan Kementerian dan Agensi juga akan diperkasakan.
“Begitu juga kerjasama dengan organisasi korporat dan swasta agar inisiatif yang dilaksanakan lebih strategik dan bersasar untuk memenuhi keperluan semasa usahawan, PMKS dan Koperasi.
Ewon berkata, tahun 2025 merupakan tahun yang amat penting bagi Malaysia, kerana ia merupakan tahun terakhir bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan keduanya, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
“KUSKOP mempunyai sasaran-sasaran penting yang perlu dicapai pada penghujung RMKe-12, baik daripada aspek sasaran peningkatan pertumbuhan KDNK, eksport dan produktiviti PMKS juga daripada aspek jumlah perolehan koperasi.
“KUSKOP juga akan menjadi tuan rumah kepada penganjuran mesyuarat dan beberapa program utama sempena kepengerusian ASEAN.
“Antaranya ialah 19th ASEAN Coordinating Committee on Micro, Small and Medium Enterprises (ACCMSME), 8th ASEAN Inclusive Business (IB) Forum dan pelancaran ASEAN Centre of Excellence on Green Transition di CEDAR SME Bank,” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment