Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Bulan Rejab menyaksikan berlakunya peristiwa penting dalam sejarah Islam, iaitu kisah Israk Mikraj. Ia menjadi titik tolak dalam kewajipan mendirikan solat secara sistematik sebanyak lima waktu sehari semalam.
Asasnya, solat merupakan rutin harian seorang hamba bersama Allah SWT. Ia adalah masa untuk bersama bagi mengekspresikan rasa cinta dan kehambaan, berkomunikasi, memuji Allah SWT sebagai Tuhan bagi alam semesta, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang, serta meletakkan pengharapan serta penggantungan diri kepadaNya. Dalam jiwa kehambaan, wujud rasa cinta yang mengasyikkan, dan dalam jiwa kekhalifahan wujud rasa rendah diri yang mendalam. Manusia sebagai hamba yang lemah sentiasa perlukan petunjuk dari Allah SWT. Jadi dalam ibadat solat juga, minimum 17 kali sehari umat Islam memohon petunjuk jalan yang lurus, iaitu bukan jalan golongan yang dimurkai dan dibenci oleh Allah SWT.
Peristiwa Israk Mikraj merupakan kisah yang panjang, perjalanan yang jauh, dan ilustrasi tentang kecanggihan teknologi pengangkutan yang berlaku dalam tempoh semalaman sahaja. Baginda melalui Israk, iaitu perjalanan dari Masjidilharam di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis dan Mikraj iaitu perjalanan dari Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha dan baginda kembali semula ke Mekah.
Daripada kewajipan awal solat sebanyak 50 waktu selama 24 jam, Rasulullah SAW telah berunding dan meminta pengurangan bilangan waktu solat menjadi lima waktu sahaja. Ini kerana disebabkan baginda memahami kadar kemampuan umatnya yang terbatas. Sekiranya, umat Islam diwajibkan solat sebanyak 50 waktu, ibaratnya setiap jam mereka diperuntukkan dua waktu solat. Ini akan memberatkan umat Islam sementelah mereka juga ditaklifkan sebagai khalifah yang menuntut komitmen bukan sedikit bagi melaksanakan amanah dalam kehidupan harian.
Rayuan pengurangan waktu solat yang dilakukan Rasulullah SAW ini menjadi lima waktu yang dapat ditunaikan dalam ruang waktu yang luas di antara Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Dan ia selari dengan rutin harian biasa bagi manusia yang majoritinya beraktiviti di siang hari dan menikmati tidur yang panjang di malam hari.
Walaupun jumlah waktu telah diberi diskaun sebanyak 45 waktu oleh Allah SWT, tetapi masih ramai kalangan umat Islam yang alpa dan terleka dengan kehidupan duniawi hingga mengabaikan rukun Islam ini. Sedangkan ibadat solat merupakan tuntutan yang berat kepada seorang mukmin dan akan menjadi amalan pertama yang akan dihisab kelak di padang mahsyar. Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika buruk solatnya maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya solat fardunya tidak sempurna, maka Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku ini menunaikan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardunya itu. Kemudian dihitung seperti ini jua pada amalan-amalan yang lain. (HR al-Tirmizi)
Di samping itu, dalam menuju era kecerdasan buatan, umat Islam semakin hari menghadapi krisis kepintaran spiritual. Dalam kesibukan mengejar kemajuan teknologi, manusia seringkali lalai dalam mengingati Allah SWT. Sekiranya ditelusuri kecanggihan teknologi yang dialami oleh Rasulullah ketika peristiwa Israk dan Mikraj, pasti ramai akan terlopong dengan kadar kecepatan perjalanan baginda, tidak lain dan tidak bukan hanya bertujuan untuk menerima taklifan solat lima waktu.
Berbeza dengan manusia masa kini, ramai yang terleka dengan kecanggihan teknologi sehingga melupakan Allah SWT. Di saat Rasulullah memanfaatkan teknologi super pintar untuk mendekatkan hubungan manusia dengan Sang Pencipta, namun ramai yang berlumba-lumba mencipta dan menggunakan teknologi pintar merosakkan dan menghancurkan umat manusia. Semakin hari semakin ramai kalangan umat Islam yang mengambil mudah tentang solat, malah ramai yang tidak mendirikan solat tanpa rasa serba salah. Ramai orang yang pulun mencari rezki hingga terlupa beribadat kepada Sang Pemberi Rezki.
Ironinya, bila solat mula ditinggalkan, ia merupakan permulaan sebuah kehancuran bagi kehidupan manusia. Sesungguhnya, Allah telah memberi jaminan bagi orang yang mendirikan solat dengan sempurna mampu untuk mencegah diri daripada tingkahlaku yang keji, maksiat dan mungkar. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45: dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”
Realiti hari ini, masyarakat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai kebobrokan akhlak, gejala sosial dan tingkah laku jenayah. Berbagai masalah sosial dalam kalangan remaja dan dewasa, serta pelbagai jenayah yang berlaku seperti gejala rasuah, lumba haram, berzina, hubungan sejenis dan membunuh yang meningkat dari ke hari. Ditambah lagi dengan statistik keruntuhan rumahtangga yang semakin membimbangkan dan menggerunkan. Semakin manusia jauh dari Sang Penciptanya, semakin jauh kehidupan mereka dari landasan yang benar.
Namun begitu, sekiranya mereka belum mampu meninggalkan perbuatan keji dan mungkar setelah mendirikan solat, tetaplah istiqomah atau konsisten dalam mendirikan solat lima waktu. Ini kerana soal tidak kusyuk atau masih melakukan maksiat bukanlah sebuah justifikasi dasar dalam meninggalkan ibadat solat. Ia tetap sebuah kewajipan para hamba kepada Penciptanya. Dalam hal ini, pohonlah bantuan Allah melalui ibadat solat yang didirikan. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 45: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
Jelasnya, ibadat solat merupakan kewajipan asas bagi setiap orang Islam. Ia adalah rukun Islam kedua. Ibaratnya, solat sebagai tiang agama. Justeru ia wajib diperkukuhkan agar nilai keislaman tidak menjadi pudar, dayus dan mudah goyah sekaligus dapat menjadi benteng daripada tingkahlaku keji dan mungkar.
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment